Thursday, October 24, 2013

Nurul Syakirin Menang Undian Tertinggi PRK USIM


Nilai, 25 Sept - Debaran menantikan keputusan penuh pilihan raya kampus USIM akhirnya berakhir apabila calon umum daripada Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Nurul Syakirin Ahmad Najid memperoleh undian tertinggi

Syakirin mengatasi 15 calon umum yang lain dengan mendapat undian sebanyak 6879 undi. Ia mengatasi undian tertinggi kepada Razif (6214undi) pada PRK USIM sesi 2012/2013.

Beliau disusuli oleh calon umum daripada Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Nik Muhammad Naqib Mokhjamil yang memperoleh 6139 undi. Calon-calon lain ialah Azmil (FPQS) sebanyak 5924 undi, Azizi Alias (FST) 5684 undi, Fathi Saifulbahrin sebanyak 5114 undi, Riza Asma'a sebanyak 4268 undi, Taqwudin sebanyak 4055 undi, Khairunnisa' sebanyak 3536 undi, Amir Zuhair sebanyak 3235 undi, Azizul Azhar sebanyak 2995 undi, Nurhadi sebanyak 2948 undi,  Amarul sebanyak 2395 undi, Huzaifah sebanyak 1991 undi, Asyraf Amran sebanyak 1922 undi dan Amirul sebanyak 1686 undi.


Manakala bagi 3 kawasan fakulti yang melibatkan pertandingan 5 penjuru (FKP), 4 penjuru (FSU) dan 3 penjuru (FST), turut menyaksikan persaingan yang sengit dan sihat antara calon-calon yang bertanding.

Bagi perebutan dua kerusi FST, calon Nabihah Fauzi dan Irsyad dipilih sebagai pemenang dengan masing-masing mendapat 1027 undi dan 1127 undi, mengatasi calon seorang lagi, Farhah Khalida.

Pertandingan di FSU pula menyebelahi calon Muhammad Asri (723 undi) dan Raihan Nasir (597 undi)

Kerusi FKP tidak kurang sengitnya apabila pengundi memilih Faridz Ishak dan Musfirah yang masing-masing beroleh 973 undi dan 978 undi, menewaskan 3 calon lain.

Keputusan diumumkan oleh TNC HEPA, Prof. Dato' Dr. Mohamed Asin Dollah yang mewakili Naib Canselor yang mempunyai urusan luar.

Fakulti Pergigian mencatatkan keputusan keluar mengundi tertinggi. Dalam ucapan aluan beliau, Dato' Asin mengucapkan syukur dan tahniah kepada semua pelajar dan Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan kerana proses pilihan raya kampus pada tahun ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dan mengekalkan rekod proses pemilihan MPP yang aman.

Usimkini mengucapkan tahniah kepada semua calon yang bertanding, tidak kira yang menang atau kalah, atas kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan dalam mendukung semangat kepimpinan mahasiswa di kampus. -Usimkini

Lintas Langsung Pemilihan MPP USIM 2013/2014

Kredit: Ubaydullah Khairuddin

8.35 pagi - Pusat-pusat pengundian mula dibuka di kawasan fakulti-fakulti. Beberapa Pegawai Pusat Teknologi Maklumat (PTM) menyelenggara tempat pengundian sebelum dibuka untuk pengundian jam 9 pagi. Beberapa pengawal keselamatan turut berada di pusat pengundian untuk memantau keadaan.

9.00 pagi - Pelajar mula turun mengundi. FSU mendahului peratusan tertinggi diikuti FPBU dan FKP. Dua buah bas pelajar USIM DQ kelihatan berada di kampus.

10.38 pagi - FPSK dan FPg mendahului diikuti FPBU dan FSU. Antara faktor yang dilihat menyumbang kepada peningkatan mendadak ini adalah jumlah pelajar fakulti-fakulti berkenaan yang sedikit.

11.05 pagi - Berlaku sedikit kekecohan di FKP apabila pelajar Tahun 1 mengadu yang kad matrik mereka tidak dapat dikesan melalui sistem eUndi. Hal ini kemudiannya dirujuk kepada Ketua Pusat Pengundian.

12.30 tengahari Suasana di beberapa pusat pengundian semakin meriah dengan pengundi yang berpusu-pusu hadir. Beberapa calon umum dilihat berlegar-legar di fakulti lain sambil beramah mesra dengan siswa/i.

1.36 petang - Terdapat laporan server down di FSU menyebabkan proses pengundian tergendala hampir 10 minit

2.15 petang - Peratusan keseluruhan pengundian setakat ini yang tertinggi adalah FPg 97%, dan yang terendah adalah FKP 50%. 

2.35 petang - Dilaporkan ada sedikit isu di FSU apabila seorang pemilih 'diminta' supaya mengundi calon-calon tertentu di kerusi fakulti oleh petugas PRK di luar pusat mengundi (dari kalangan pelajar), juga di dalam pusat mengundi (staf). Pemilih terbabit dikhabarkan akan membuat laporan kepada Ketua Pusat Pengundian.

4. 05 petang - Server di FSU sekali lagi bermasalah dan kali ini lebih lama menyebabkan pengundian sekali lagi tergendala. Walaubagaimanapun, sistem dapat dipulihkan seperti sediakala beberapa ketika kemudian.


5. 00 petang - Pengundian ditutup dengan menyaksikan FPg (98.69%), FPQS (84.91%) dan FPBU (82.60%) menduduki tangga teratas dalam peratusan keluar mengundi.

Tuesday, October 22, 2013

Malam Pengenalan Calon Meriah




Nilai, 21 Oktober – Dewan Kuliah Pusat 3 (DKP3) USIM semalam telah menyaksikan Majlis Pengenalan Calon berlangsung dengan begitu meriah
.
Majlis yang dimulakan seawal jam 8.00 malam itu turut dihadiri oleh Naib Canselor dan TNC Hepa USIM. Kehadiran ratusan pelajar USIM yang memenuhi dewan telah menambahkan lagi kemeriahan majlis dan menggamatkan suasana.

Clappers yang telah dibekalkan oleh pihak HEP turut dilihat berjaya menghangatkan lagi suasana.Seramai 15 calon kerusi umum dan 22 calon kerusi fakulti telah membentangkan manifesto masing-masing.Setiap calon diberi masa 3 minit untuk memperkenalkan diri seterusnya membentangkan idea dan hala tuju mereka.

Krew Usimkini turut dimaklumkan bahawa pihak keselamatan USIM telah mengetatkan kawalan di pintu pagar utama USIM dengan tidak membenarkan pelajar yang tidak membawa kad matrik masuk ke dalam kampus.

Beberapa rungutan turut diterima daripada pelajar yang tidak tahu berkenaan penguatkuasaan kawalan ini yang disifatkan 'saat akhir'. Walaubagaimanapun, ada yang akhirnya dibenarkan masuk.

Berdasarkan tinjauan awal krew USIMKini, antara calon umum 'panas' adalah Azmil, Syakirin, Fathi, Azizi (MPP sesi lepas), dan Naqib. Walaubagaimanapun, terdapat insiden 'boo' calon yang disifatkan oleh mantan YDP MPP USIM, saudara Razif sebagai perbuatan yang tidak wajar bagi pelajar Universiti Islam.

Memetik kenyataan daripada status Facebook beliau, "Bersorak menyokong itu tidak bermasalah. "Boo" itu yg saya fikir kurang sesuai. Walaupun ada beberapa aksi penyokong yg agak lucu bila mengajuk gaya calon lain, tapi saya fikir ia kurang sesuai dengan status kita sebagai Universiti Islam."

Calon 'kontroversi' daripada Pembina USIM, Asyrat turut menjadi mangsa 'boo' hadirin. Umum mengetahui Pembina adalah wakil ISMA di peringkat anak muda. ISMA pula sering dikaitkan dengan isu-isu seperti rasis, cenderung kepada UMNO dan PERKASA.

NC USIM, Prof. Dato' Dr. Asma Ismail turut melahirkan keterujaan melihat penganjuran Malam Pengenalan Calon tersebut.

"Saya sangat-sangat kagum dengan semangat calon dan penyokong masing-masing. MPP sesi lepas di bawah saudara Razif telah membawa MPP ke satu tahap yang saya akui sebagai high standard. 

Menjadi cabaran kepada MPP baru untuk mencapai standard tersebut malah untuk menandingi pencapaian tersebut."

"Apa yang saya mahu tegaskan, sudah sampai masanya kita tinggalkan isu-isu remeh dan tidak relevan bagi pelajar. Kita sedang menuju the next level for USIM."

Rata-rata manifeso membahaskan sekitar keselamatan pelajar, akademik dan sahsiah. Walaubagaimanapun, manifesto Amirul menggamatkan suasana kerana beliau berhasrat untuk memperjuangkan kebenaran pemakaian jeans dan selipar ke dalam perpustakaan.

Selain itu, Haziq, calon kerusi fakulti FPSK yang menang tanpa bertanding turut menghiburkan hadirin dengan jenaka santai beliau yang ingin mengusulkan pembuatan kopiah putih bercap USIM.

Calon-calon umum lain yang turut bertanding adalah Azizul Azhar, Riza Asma'a, Amirul, Shafi'e, Hadi, Taqwudin, Huzaifah dan Khairunnisa' 

Saturday, October 19, 2013

Amirul Ketuai Bantahan Tempoh Kempen PRK USIM

Nilai,  18 Oktober - Suasana USIM kembali hangat dengan tempoh kempen PRK yang cuma 1 hari seperti yang dimaklumkan pada notis Pemilihan MPP.

Lebih 20 orang mahasiswa terdiri daripada pencadang, penyokong calon dan mahasiswa mewakili pemilih memenuhi Bahagian HEP USIM untuk menyatakan bantahan.

Krew USIMKini berjaya mendapatkan wakil pelajar yang membuat bantahan terhadap keputusan berkenaan, saudara Amir Amirul (gambar kiri), Tahun 3, Fakulti Sains dan Teknologi.

Berikut adalah temubual kami bersama beliau:

USIMKini (UK): Apa yang membuatkan saudara terpanggil untuk membuat bantahan?

Amirul (A): Saya hanya fikirkan keadilan bagi calon-calon. Masa yang diperuntukkan (24 jam) tidak memadai dan berbeza dengan sesi lepas yang mana berjumlah 2 hari. Cuba bayangkan calon yang kelasnya penuh dari pagi sampai malam seperti Fathi. Bagaimana beliau mahu berkempen ke setiap fakulti? Bagi calon yang tidak ada kelas atau kelasnya sedikit, ini satu bonus. Jadi, saya nampak sedikit ketidakadilan di situ. Saya tidak nampak alasan mengapa ia (kempen) menjadi 1 hari. Bila peluang mahasiswa untuk mengenali calon? Adakah cukup dengan datang pada Malam Pengenalanan? Mustahil. Kita adalah lebih 8, 000 pelajar Sarjana Muda di 7 fakulti. 1 hari tidak memadai. Facebook? Bila waktu puncak

UK: Kami dimaklumkan, saudara telah bertemu dengan Encik Nasrul Hakim, Ketua Bahagian HEP USIM, boleh kongsikan apa yang saudara bincangkan?

A: Kita bawakan satu surat permohonan supaya dilanjutkan tempoh kempen kepada 2 hari. Adalah tidak logik dengan jumlah calon mendaftar yang lebih 40 orang, nak berkempen dalam tempoh 24 jam. Sesi lepas, calon cuma 30 orang dan masa berkempen adalah 2 hari. Selain itu, kita usulkan juga supaya PRK dianjakkan ke 24 Oktober 2013. 

UK: Justeru, apa jawapan En. Nasrul?

A: Beliau menerima baik usul kami dan beliau menjamin, ia akan dibawa untuk perhatin TNC HEPA, Prof. Dato' Dr. Asin Dollah. Kami amat menghargai keprihatinan beliau. Cuma, saya kurang bersetuju apabila beliau mencadangkan kepada calon memanfaatkan tempoh kempen sehari ini dengan tidak menghadiri kelas (sehingga cukup 80% kehadiran sahaja). Berkempen untuk pemilihan MPP bukan alasan untuk calon tidak hadir ke kuliah. Kuliah tetap keutamaan sebagai mahasiswa. 

UK: Sebagai kesimpulan, apa yang saudara ingin tegaskan?

A: Mahasiswa tidak akan berganjak daripada keputusan ini. Kami mahukan tempoh kempen 2 hari kepada calon dan tarikh PRK diubah kepada 24 Oktober. Saya jamin, tidak akan ada sebarang kekacauan sebagaimana yang berlaku pada sesi PRK IPTA lain. Kita menjunjung dasar USIM yang mahukan suasana PRK yang aman dan harmoni. USIM ada cara yang tersendiri dan selama ini pun kita berbangga dengan cara kita menguruselia PRK. Saya akui, HEP USIM berjaya mengurus proses PRK dengan baik. Apa yang kami mahukan, cuma keadilan kepada calon-calon. 

PRK USIM: Tempoh Kempen Sehari Timbulkan Kekecohan. Klikhttp://usimkini.blogspot.com/2013/10/prk-usim-tempoh-kempen-sehari-timbulkan.html 

Friday, October 18, 2013

PRK USIM: Tempoh Kempen Sehari Timbulkan Kekecohan

Nilai, 18 Oktober - Pilihanraya USIM yang dijangkakan suram pada tahun ini sedikit 'panas' apabila ramai mulai sedar yang tempoh berkempen cuma 1 hari.


Menurut Amir, salah seorang pencadang calon, adalah mustahil untuk berkempen cuma dalam tempoh 24 jam. 


"Tahun lepas 2 hari diperuntukkan untuk tempoh berkempen. Tahun ni cuma 1 hari. Saya masih tidak dapat menerima kenyataan ini. Saya akan cuba buat bantahan sekiranya dibenarkan."


Jumlah calon yang mendaftar pada tahun ini meningkat mendadak dengan hampir 20 orang bakal bertanding di kerusi umum dan lebih 20 orang bertanding di kerusi fakulti. Jumlah yang kami peroleh daripada sumber HEP adalah seramai hampir 50 orang calon kerusi fakulti dan umum yang mendaftar

Jumlah calon yang bertanding pada PRK sesi 2012/2013 adalah 31 orang sahaja berbanding hampir 50 orang pada kali ini. Oleh itu, tempoh 1 hari dilihat amat tidak wajar kerana sesi lepas memperuntukkan 2 hari tempoh berkempen.

Seorang pelajar, Ain  ketika dihubungi berkata, "Tahun lepas calon tak seramai tahun ni tapi kempen 2 hari. Tahun ni calon sangat ramai tapi sehari. Amat tak logik. Tak mustahil akan timbul kekecohan."

Krew USIMKini sempat menghubungi Hamidi, mantan Presiden MPP UIAM untuk mendapatkan komentar, "Tempoh kempen PRK di UIAM adalah selama 2 hari. Pada hemat saya, tidak wajar USIM tetapkan hanya sehari dengan jumlah calon yang lebih ramai berbanding sebelumnya.", ujar beliau.

PRK USIM dijangka akan berlangsung pada 23 Oktober 2013 dan penamaan calon adalah pada 21 Oktober 2013. - USIMKini

Thursday, October 10, 2013

Razif Umum Hadiah Untuk Mahasiswa USIM

Gambar daripada Facebook MPP USIM

10 Oktober, NILAI – Mantan YDP MPP, Razif semalam mengumumkan 'hadiah' yang dijanjikan untuk diberikan sebagaimana yang tertera pada manifesto beliau dan Exco-exco MPP sesi 2012/2013.

Beliau berkata, antara 'hadiah' tersebut adalah pengoperasian kafe Pusat Tamhidi dan surau siswi Pusat Tamhidi, perhentian bas Pusat Tamhidi, pembesaran perhentian bas di FPQS dan FEM, penyediaan khemah dan tikar tambahan untuk solat Jumaat di KK1, penyelarasan harga makanan di Kafe KK1 dan peningkatan kawalan keselamatan oleh pihak polis di rumah sewa pelajar.

Selain daripada itu, beliau turut membentangkan beberapa isu berkaitan pelajar yang telah diselesaikan oleh barisan MPP sesi 2012/2013. "Bagi yang nak tahu secara menyeluruh, boleh dapatkan dalam majalah al-Mishkat, majalah khas MPP di web MPP mulai esok.", ujar beliau.

Ucapan Prof. Dato' Dr. Asin Dollah, TNC HEPA kemudiannya mengumumkan perkembangan pembinaan Masjid USIM yang akan bermula tahun depan dengan kos RM29 juta. Selain daripada itu, beliau juga mengumumkan penukaran tender baru Kafe KK1 berikutan kes keracunan yang berlaku baru-baru ini.

 PRK USIM pada kali ini dijangka akan lebih sengit daripada tahun-tahun sebelumnya dengan ura-ura menyatakan bahawa beberapa fakulti sudah menyiapkan jentera masing-masing baik secara rasmi atau 'bawah tanah' - USIMKini

PRK USIM: Pendaftaran Calon Berjalan Lancar




10 Oktober, Nilai - Proses awal pilihan raya kampus bagi Pemilihan MPP USIM sesi 2013/2014 bermula hari ini apabila sesi pendaftaran calon dibuka jam 9.0 pagi tadi.

Kami sempat menemubual calon dari FPQS, Azmil yang sudah menunggu sejak jam 8.30 pagi. "Saya jangka, pendaftaran sudah dibuka jam 9 pagi sebagaimana yang tertera pada notis tetapi terpaksa menunggu hampir sejam sebelum dapat mendaftar. Apapun, terima kasih kepada HEP kerana pendaftaran berjalan lancar."

Sesi pendaftaran melibatkan bayaran proses sebanyak RM20 sebagai wang cagaran Borang Penamaan Calon. Pelajar-pelajar yang mendaftar diminta untuk memasukkan butiran peribadi mereka ke dalam sistem e-Undi dan mengambil gambar sebagai rekod.

Kebanyakan pelajar yang ingin bertanding hadir bersama-sama dengan pencadang dan penyokong masing-masing. Menurut peraturan terbaru bermula sesi 2012/2013, setiap pencalonan perlu disokong oleh dua orang penyokong dan seorang pencadang. Ia berbeza berbanding sesi 2011/2012 yang mensyaratkan 5 orang sebagai penyokong untuk setiap calon.

Kelihatan mantan YDP MPP, saudara Razif di
bilik pendaftaran
Hasil pemerhatian dan tinjauan rambang krew USIMKini mendapati, proses pendaftaran calon pada hari ini turut dihadiri oleh mantan pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar, termasuk bekas Yang DiPertua, saudara Razif.

USIMKini dimaklumkan, beberapa calon dilihat hadir mendaftar dengan ditemani oleh bekas MPP terdahulu yang menjadi pencadang mereka. 

Beberapa bekas pimpinan JAKSA dan sekretariat fakulti juga hadir untuk mendaftarkan diri sebagai calon. Amir Zuhair yang pada awalnya menafikan untuk bertanding turut kelihatan mendaftar sebagai calon.

Proses pendaftaran akan diteruskan sehingga petang ini dan akan berakhir petang esok. 

Manakala proses penamaan calon akan diadakan pada 21 Oktober, disusuli dengan pembentangan manifesto dalam sesi pengenalan calon pada sebelah malam hari yang sama. - USIMKini

Monday, October 07, 2013

PRK USIM Bukan Lagi Pilihan Raya Kampung


Akhir-akhir ini, beberapa isu yang berlaku menunjukkan reaksi umat Islam terhadap perkembangan politik tanahair memberi isyarat bahawa pemikiran politik kita sedang berada didalam krisis. Apatah lagi perkembangan politik kita sejak dahulu lagi tidak banyak mendidik rakyatnya banyak berfikir. Hubungan antara Islam dan politik sejak dulu lagi diwacanakan, ada yang menerima secara total, tak kurang juga yang menolak atas dasar ia adalah sistem yang lahir dari Barat, maka segala-gala yang datang darinya jua ikut menjadi haram. Fenomena inilah yang dikritik kebanyakan ulama kontemporari, antaranya Yusuf al Qaradhawi mengkritik gejala ini sebagai fenomena pemahaman terlalu literal terhadap nas-nas muamalah termasuk politik.

Abul A’la al-Maududi dalam penulisannya ‘Teori Politik Islam’ mengulas hubungan ini dalam bab awalnya menyatakan bahawa bentuk kekuasaan adalah sebahagian daripada cabang agama. Malangnya pertalian yang dilihat antara Islam dan politik tak lain hanyalah satu bentuk kekuasaan ekslusif lalu melahirkan penghukum-penghukum. Pastinya kita tidak dapat melupakan satupersatu isu yang berlegar di langit media arus perdana. Belum sampai 3 hari selepas Pilihanraya Umum ke-13, parti-parti bertanding mula menuding jari. Pakatan Rakyat menyalahkan sistem pilihanraya yang didakwa tidak telus. Barisan Nasional lebih feudal, menyalahkan kaum cina atas kegagalan mereka meraih majoriti undi.

Ramadhan baru ini sedikit sebanyak mengganggu fokus kita. Isu ‘bak kut teh’, isu ratu cantik, isu video raya anjing, isu surau jadi tokong (?). Terkadang lahir resah dihati melihatkan kepada sebahagian kita yang menjadi macai pembodohan ini. 

Lalu apa sebenarnya kita lihat? Tidak lain hakikat yang terzahir adalah kejahilan masyarakat kita untuk memahami isu melalui pokok pangkalnya, tidak cukup sekadar ulasan-ulasan membabi buta hanya berasas sentimen dan doktrinisasi. Nilai-nilai keilmuan, keintelektualan hilang kadangkala disebabkan oleh ahli-ahli politik berkepentingan, bukan dengan matlamat ikhlas mencerahkan masyarakat, tetapi sebagai satu lagi bentuk kecanduan agar memihak kepadanya. Apa pula pilihan yang diberi kepada kita? Samada memilih mereka, atau jika tidak, berhadapan dengan mereka. Nadanya seakan serupa nada George W Bush ketika kononnya memerangi keganasan, antara bersama Amerika atau bersama keganasan. Tiada pilihan lain. Bukankah nada yang hampir sama juga pernah diungkap Firaun yang diceritakan didalam Al-Quran, “...aku tidak perlihatkan kepada kalian melainkan apa yang aku lihat” (Surah Ghafir: 29). Apakah benar kita tak punya pilihan lain? Atau kita hanya tak diberi peluang melihat pilihan lain?

Mahasiswa dan Agenda Pembodohan

Bagi mahasiswa USIM, pastinya masih segar di fikiran kita program doktrinisasi dan pembodohan yang tertimpa keatas kita lewat program ‘Taklimat Isu Lahad Datu’ beberapa bulan dahulu. Bukan hanya isu tersebut tidak dijelaskan secara ilmiah, lebih teruk lagi ‘taklimat’ tersebut menyajikan tohmahan-tohmahan dangkal keatas beberapa perjuangan gerakan mahasiswa serta parti-parti politik yang tidak sebulu dengan mereka. Tayangan video keganasan ketika himpunan BERSIH menjadi acara kemuncak ‘taklimat’ itu. Video ucapan Nurul Izzah kononnya memperlekeh anggota keselamatan pula menjadi ‘penyeri majlis’. Program Mensyukuri Nikmat Keamanan juga baru-baru ini ternyata membawa visi doktrinisasi yang sama.


‘Taklimat’ Isu Lahad Datu
Ketika agenda-agenda pembodohan terus-menerus berjalan, wacana-wacana intelektual dan ilmiah pula menerima nasib jauh berbeza. Forum-forum, dialog terbuka, kuliah-kuliah yang dilihat ‘tidak sekapal’ dengan pemerintah terpaksa berhadapan karenah birokrasi yang sangat meloyakan! Oh ya, debat pula sangat jauh sekali. Sebahagian besarnya dicantas begitu sahaja. Hasilnya fungsi universiti sebagai tempat mencari kebenaran ternyata gagal (rujuk ‘Pendidikan Mencari Kebenaran’, Prof Dr. Zulkifli Abd Razak, Utusan Malaysia – 12 Oktober 2010). Agenda-agenda pembodohan terancang ini dengan jelas menghina, bukan hanya penghinaan keatas golongan muda terpelajar – mahasiswa, ahli-ahli akademik, sekian ramai professor dan ‘ulama, malah satu penghinaan besar keatas peranan institusi keilmuan ummah ini. Justeru wajah suasana kampus harus diubah.

Memperkasa Kepimpinan Mahasiswa

Pilihanraya Kampus (PRK) kali ini bukan lagi medan politik kampung. Manifesto-manifesto calon harus matang. Calon yang dipilih seharusnya yang memiliki watak kemahasiswaan merangkumi 4 elemen terpenting – intelektualisme, idealisme, spiritualisme, dan aktivisme. Kesemuanya saling bergantungan antara satu dengan yang lain. Intelektualisme memandu idealisme dengan kekuatan ilmu dan tradisi aqliah agar kekuatan azam dan cita-cita tidak berdiri atas dasar ikutan semata-mata. Aktivisme pula gerakan mencapai cita-cita, manakala spiritualisme sebagai aspek kawalan bagi kesemua elemen lain (rujuk ‘Mahasiswa Bitara: Persiapan Menciptakan Peribadi Unggul, Mohammad Fazril Salleh – 1 Oktober 2013).

PRK ini benar-benar pentas anak muda terpelajar. Ia harus berjalan dengan penuh optimis dan kewaspadaan. Calon-calon tidak harus takut membawa mesej perubahan. Mahasiswa pula perlu mempersiap diri dengan segala macam ilmu dan kefahaman – agar kelompok besar anak muda terpelajar ini mampu memaknakan diri dalam masyarakat sosial, dalam dan luar kampus. Ayuh, berangkatlah!

“Ke-mana layang-layang nak pergi, tali di-tangan kita”

Mahasiswa Prihatin
5 Oktober 2013
Bandar Baru Nilai.

Tarikh Pilihan Raya Kampus 20 IPTA


7 Oktober, Nilai - Tarikh Pilihan Raya Kampus seluruh IPTA sudah tersebar. Gambar di atas menunjukkan senarai tarikh PRK bagi 20 buah IPTA seluruh Malaysia.

PRK USIM ditetapkan pada 24 Oktober serentak dengan USM, UNIMAS, dan UMS. Bagi universiti-universiti 'panas' seperti UM dan UKM, Pilihan Raya Kampus diadakan pada 23 Oktober, sehari lebih awal dari USIM.

UIAM yang terkenal sebagai kubu kuat Pro-Mahasiswa dijadualkan akan mengadakan Pilihan Raya Kampus pada 30 Oktober 2013.

Walaupun UM, UKM, UIA dan lain-lain IPTA zon tengah kekal dengan sistem Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa, USIM tetap kekal dengan sistem individu tanpa melibatkan mana-mana kumpulan. 

"Kita akan kekal dengan cara ini dan saya fikir, pelajar kita juga tidak ada masalah dengannya. Sistem sebagaimana IPTA lain (UKM, UM, UIA) tidak sesuai dilaksanakan di USIM."

"Biarlah PRK di USIM berlangsung dengan cara kami sendiri tanpa sebarang provokasi, pergaduhan dan pertelingkahan. Apatah lagi, kami membawa imej Universiti Islam.", ujar YDP MPP USIM, Mohamad Razif Mohamad Fuad ketika ditemuramah krew USIMKini.

Thursday, October 03, 2013

Anwar Idrus Menang Undian Tertinggi Pilihanraya SLC


3 Oktober, Nilai - Debaran untuk menanti siapakah yang bakal menduduki kerusi kepimpinan Syariah Law Club (SLC) sudah terjawab. Keputusan Pilihanraya Syariah Law Club baru diumumkan sebentar tadi di DKS 1.6 FSU.


Anuar Idrus
Undian yang diadakan seawal jam 8 pagi tadi menyaksikan pelajar Syariah dan Undang-Undang Tahun 3 mendahului peratusan turun mengundi tertinggi. 

Calon yang menang undian tertinggi adalah Anwar Idrus (Fiqh dan Fatwa), diikuti Ahmad Shaher Mohd Fuad, Nurul Basirah, Athyrah Hanim, Mohd Syahid Badaruddin dan Abdul Alem.

Manakala, calon yang tidak berjaya adalah Norsyahidah, Siti Sarah, Azizah, Nur Sheha, Masliza, Siti Hajar, Azhar, Ahmad Farid dan satu-satunya pelajar antarabangsa yang bertanding, Robi'ul Islam. 

Anwar Idrus yang juga adalah Pengerusi USIM DSLR Club dikatakan bakal membawa beberapa perubahan khususnya kepada kebajikan pelajar FSU.

Walaubagaimanapun, SLC mengamalkan sistem giliran dan untuk sesi kali ini, giliran bagi pelajar Syariah dan Undang-Undang untuk mengemudi barisan kepimpinan SLC.

Pihak kami masih cuba untuk mendapatkan maklumat terbaru. Antara yang dijangka menduduki kerusi pengerusi SLC adalah Ahmad Shaher.

Antara isu-isu yang bakal dihadapi oleh barisan baru kepimpinan SLC adalah isu recognition, masalah pendingin hawa di surau dan juga parkir motor berbumbung.

Wednesday, October 02, 2013

Teka-Teki Tarikh PRK USIM Terjawab



2 Oktober, Nilai - Satu sumber daripada HEP telah memaklumkan, berikut adalah tarikh-tarikh penting bagi Pilihanraya Kampus USIM bagi sesi 2013/2014.


04/10/2013 - Pengesahan Daftar Pemilih
08/10/2013 - Notis Pemilihan
10-11/10/2013 - Hari Pendaftaran Calon
21/10/2013 - Hari Penamaan Calon dan Malam Pengenalan Calon
23/10/2013 - Pemantauan Jawatankuasa Audit
24/10/2013 - Hari Pengundian


Ia sekaligus menjawab teka-teka tarikh PRK USIM. USIM adalah antara IPTA yang awal mengumumkan tarikh PRK berbanding IPTA lain. 

Dalam perkembangan lain, satu bengkel bagi Jentera HEP telah diadakan di sebuah kem di Selangor dengan dihadiri lebih 50 orang pelajar daripada Tahun 1 hingga Tahun 4. Pelajar terbabit akan turut bertindak sebagai Pembantu Urusetia bagi PRK sesi kali ini

Dikhabarkan, PRK pada kali ini menyaksikan persaingan sengit dengan adanya calon-calon yang didakwa telah melalui 'latihan khas' oleh HEP untuk sebagai persediaan menjadi MPP. - USIMKini 

Kebakaran Hutan Berdekatan FEM


2 Oktober, Nilai - Satu kebakaran telah dilaporkan berlaku sekitar jam 2 petang tadi di hutan kecil berdekatan Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM).

Kebakaran tersebut menyebabkan asap hitam menyelubungi USIM selama lebih 1 jam. Pihak Bomba dilihat berada di sana untuk memadamkan kebakaran 15 minit kemudiannya.

Punca kebakaran masih dalam siasatan dan ia disyaki kerana impak cuaca panas melampau yang melanda Nilai kebelakangan ini. - USIMKini

Tuesday, October 01, 2013

PRK USIM: 50 Pelajar Sertai Bengkel Jentera HEP



1 Oktober, Nilai - Seramai hampir 50 orang pelajar Tahun 1 hingga Tahun 4 dilaporkan telah menyertai Bengkel Jentera HEP pada hujung minggu lepas bagi menghadapi Pilihanraya Kampus USIM yang masih menjadi teka-teki tarikhnya. 

Menurut salah seorang peserta, beliau menyertai bengkel jentera HEP tersebut adalah berdasarkan ajakan rakannya. 

"Pada awalnya, saya tidak tahu berkenaan bengkel ini. Saya cuma diajak oleh rakan saya pada hari Jumaat baru-baru ini ini satu bengkel bagi membantu pilihanraya kampus.", ujarnya.

Krew USIMKini juga mendapat maklumat bahawa para pelajar ini juga akan bertindak sebagai Pembantu Urusetia bagi Pilihanraya Kampus USIM. Bengkel Jentera HEP USIM bermula agak lambat berbanding IPTA lain seperti UiTM yang sudah bermula sejak awal September.

Menurut sumber, bengkel tersebut turut dihadiri bekas Ketua Jentera HEP utk Pilihanraya Kampus 2012/2013 yang kini sedang menunggu untuk bergraduasi.

Dalam perkembangan lain, pihak pentadbiran fakulti mula giat mencari calon-calon untuk dihantar sebagai wakil dalam PRK USIM. Beberapa fakulti seperti FKP, FST dan FSU dikhabarkan sudah mempunyai calon-calon yang berkaliber untuk mewakili fakulti.

Pilihan raya kampus di USIM diadakan secara terbuka dan mana-mana pelajar yang sah berdaftar layak untuk mendaftar sebagai calon, termasuk pelajar antarabangsa. - USIMKini

Friday, September 27, 2013

iCEPS 9: Najwa Latif Tampil Dengan Imej Berjubah


Konsert Simfoni Akustika Gaza-Syria sempena iCEPS 9 diwarnai dengan kehadiran selebriti tanahair seperti Najwa Latif, Sham Kamikaze dan Amir Ukays.

Apa yang mencuri tumpuan hadirin adalah sosok gadis yang lahir pada 23 Mei 1995, Najwa Latif yang tampil berjubah pada malam ini. 

"Saya berdebar sebenarnya. Pertama kali datang USIM.", ujar beliau kepada hadirin.

Najwa menyampaikan beberapa buah lagu pada konsert sebentar tadi. Antaranya ialah Adamu dan Sahabat.

Rata-rata hadirin terutamanya mahasiswa USIM memuji penampilan Najwa Latif yang dilihat agak 'mesra' dengan iklim USIM sebagai sebuah IPTA Islam.

Antara komen yang mencuit hati adalah daripada Azizi, Exco Biro Pembangunan Sahsiah dan Kerohanian MPP, "Najwa Latif pun berjubah bila masuk USIM, tp kalau mahasiswi USIM sendiri pun masih 'failed' bab pemakaian (aurat )..eden xtahu nak kato apolah jang..".- USIMKini

[Edisi Siasat #2] Krew USIMKini Terima Ugutan


27 September, Nilai - Salah seorang krew USIMKini menerima ugutan bunuh, sebentar tadi.

Menurutnya, beliau tidak mengenali individu yang menggunakan nama 'Brader Mansuh' yang menulis 'Woi. Kalau ko siasat lg pasal forum tu, ko tak hidup lama!' kepadanya. Ugutan kedua tertulis 'BANGSAT! KO REPOT KAT POLIS, SIAP KO! AKU BAWAK TURUN GENG AKU. DASAR PEMBANGKANG. X SUKA BN KO KELUARLA DARI MLYSIA!'.

Namun krew kami masih belum memutuskan sama ada mahu membuat laporan polis mengenai perkara itu atau tidak.

“Saya percaya ugutan bunuh yang diterima sebentar tadi ada kena mengena dengan isu forum 'Mensyukuri Nikmat Kemerdekaan' yang cuba kami bongkarkan. Saya berserah dan pasrah dengan ugutan ini dan masih dalam perbincangan sama ada akan membuat laporan polis atau tidak.", katanya..

Minggu lepas, USIM dihebohkan lagi dengan satu penganjuran forum yang mana pengisiannya berunsur politik dan tuduhan-tuduhan liar kepada pihak pembangkang. Forum tersebut diadakan di DKP 2 pada jam 10.30 pagi, 20 September 2013 (Jumaat). 

Program sebegini adalah kali kedua diadakan selepas Taklimat Keselamatan Isu Lahad Datu yang berakhir dengan luahan tidak puashati mahasiswa USIM kerana secara jelasnya penceramah menuding jari kepada pembangkang (Pakatan Rakyat) sebagai punca berlaku nya kekecohan di Malaysia seperti siri demonstrasi BERSIH dan lain-lain.

Kami mengambil kesempatan untuk menjejaki siapa sebenarnya 'Brader Mansuh' di laman carian Google. Ini jawapan yang kami peroleh di http://bradermansuh.blogspot.com/



Krew USIMKini tidak akan berputus asa untuk terus menyiasat isu ini hingga menemui jawapannya. - USIMKini

Tarikh PRK USIM Terus Menjadi Teka-Teki




27 September, Nilai - Terus menjadi teka-teki. Mungkin itu ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan mengenai tarikh Pilihanraya Kampus (PRK) bagi pemilihan MPP USIM yang masih belum diumumkan oleh pihak pengurusan Universiti sehingga sekarang.

Tarikh PRK USIM dilihat sebagai sangat penting kerana semua kelab dan persatuan yang bernaung di Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) sudah dibubarkan dan perlu menunggu penubuhan kabinet MPP terlebih dahulu sebelum setiap persatuan mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing.

Beberapa kampus seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaysia Sabah sudah memaklumkan tentang pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar di tempat masing-masing.

USIMKini telah menghubungi Mohamad Razif Mohamad Fuad, Yang Dipertua MPP USIM untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tarikh PRK.

"Saya memohon maaf kerana pihak kami masih tidak dimaklumkan apa-apa berkenaan tarikh PRK. Apa yang pasti, selepas 8 Oktober iaitu genap setahun pelantikan MPP secara rasmi. Terima kasih," kata beliau ringkas melalui laman sosial Facebook.

Sekiranya dilihat daripada tarikh pengundian sesi lepas, USIM sudah melepasi tempoh setahun daripada tarikh sebenar iaitu 25 September 2013. 

Pilihanraya kampus merupakan satu perkara yang dinanti-nantikan oleh kebanyakan mahasiswa di seluruh kampus kerana ia bertujuan memilih kepimpinan tertinggi di peringkat mahasiswa dalam kabinet Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). - USIMKini

[Edisi Siasat #1] Isu Forum 'Mensyukuri Nikmat Keamanan'

Klik untuk paparan lebih jelas
27 September, Nilai - Inbox krew USIMKini dihujani dengan lebih 30 emel daripada mahasiswa USIM mewakili peserta yang hadir yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap program tersebut.

Program tersebut dikatakan mengkehendaki setiap JAKSA Kolej Kediaman mencari 250 orang pelajar untuk memenuhkan DKP 2 bagi tujuan forum tersebut. Pengisiannya pula lebih kepada serangan terhadap sebelah pihak sahaja. 

Menurut seorang pelajar Tahun 1 yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, "Kami datang untuk forum mencintai negara, malangnya kami dihidangkan dengan isu-isu politik yang bersifat tuduhan dan tidak berasas. Saya amat kecewa."

"Kalau benar ia satu fakta, bukan begini caranya. Ini menyerang, bukan menerang. Islam tak ajar sebegini.", ujar seorang siswi Tahun 1.

Krew USIMKini melihat, ia seakan mempunyai kaitan dengan penganjuran Taklimat Isu Keselamatan Lahad Datu di USIM yang pernah heboh satu ketika dahulu. Klik juga di siniKemungkinan besar, pihak yang sama telah mencaturkannya. 

Anda ada info berkenaan forum tersebut? Sila emel ke usimkinionline@gmail.com

Shaher Winnable Candidate Pilihanraya SLC?




27 September, Nilai - Mood siswa/i Fakulti Syariah dan Undang-Undang kembali hangat dengan adanya Pilihanraya Syariah Law Club yang dijadualkan akan berlangsung pada 3 Oktober 2013 ini.



Menurut satu sumber, beberapa orang calon sudah mengadakan perancangan teliti untuk merebut kerusi 'panas' Syariah Law Club pada kali ini. Seramai 15 orang calon akan bertanding bagi merebut jawatan sebagai perwakilan Syariah Law Club.



Calon-calon tersebut adalah Ahmad Farid, Anuwar Syafiq, Atyrah Hanim, Azhar Zakaria, Maszliza Abdoll Malik, Siti Hajar, Noor Sheha, Syahid, Nurul Basirah, Abdul Alem, Siti Sarah, Shaher, Azizah Alias, Norsyahidah dan seorang pelajar antarabangsa daripada Bangladesh, Robi'ul Islam.

Ahmad Shaher calon kegemaran?


Antara calon yang disebut-sebut bakal menjawat jawatan Pengerusi SLC  adalah Ahmad Shaher. Beberapa sumber yang diperoleh menyatakan, misi Shaher cukup jelas iaitu memperjuangkan isu recognition Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang (SMSU).



Ia adalah isu yang menghantui pelajar SMSU sejak sekian lamanya dan masih tidak menemui titik penyelesaian. "Shaher mampu bawa isu ni dengan jayanya. Saya yakin dengan kredibiliti beliau. Pelajar Fiqh Fatwa tak ada masalah untuk menyokong beliau sebab isu recognition memang satu keutamaan bagi SMSU. ", ujar seorang siswa Tahun 2 Fiqh dan Fatwa.



Sementara itu, tanda tanya terus menjalar dalam kalangan mahasiswa; "Bilakah tarikh Pilihanraya Kampus USIM?"


Friday, September 13, 2013

Malam Cinta Rasul Bakal Gamit Ribuan Pengunjung


ICEPS 9 pada kali ini bakal membawakan kepada anda Malam Cinta Rasul yang menampilkan Habib Syech Assegaf yang dikenali ramai dengan Qasidah Ya Hanana. Kehadirannya dijangka bakal menarik lebih 3000 hadirin sekitar Lembah Klang ke majlis ini.

Beberapa mahasiswa yang ditemui menzahirkan kegembiraan dengan kedatangan Habib Syech ke USIM.

"Alhamdulillah, ini pertama kali Habib Syech datang USIM. Sebelum ni cuma tengok di kaca televisyen.", ujar Asri, pelajar FST.

"Semoga bumi USIM akan bergema dengan selawat dan lontaran qasidah kerinduan kepada Baginda SAW. Terbaik ICEPS 9!", kata Farhana, pelajar Tahun 1.

Di sebalik ambang Malam Cinta Rasul, terdapat sedikit isu yang tersebar di Facebook. Syihan, mahasiswa Tahun 4 Fiqh dan Fatwa membangkitkan isu 'Qasidah 60k' dengan mengkritik keras majlis tersebut yang mana mana kos keseluruhannya adalah RM60 ribu.

Beberapa penjelasan ringkas telah diberikan oleh pihak penganjur namun, beliau masih 'menyerang' penganjuran Malam Cinta Rasul dan menyifatkannya sebagai 'pembaziran wang rakyat'.

Krew USIMKini sedang berusaha untuk mendapatkan penjelasan penuh daripada wakil pihak penganjur ICEPS 9 dan Malam Cinta Rasul. Laporan penuh akan dikeluarkan sedikit masa lagi - USIMKini

Lagi Kes Pecah Rumah Di Desa Anggerik



13 September, Nilai - Satu lagi kejadian pecah rumah dilaporkan berlaku di Desa Anggerik. Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 4.30 - 5 pagi ketika semua penghuni rumah tersebut sedang tidur.

Mengikut sumber, suspek berbangsa Cina, mewarnakan rambutnya, dan berbadan gempal. Pihak Bahagian Keselamatan USIM masih menyiasat tentang perkara ini. Dalam masa yang sama, satu kes lain berlaku juga pada awal pagi tadi melibatkan suspek yang sama di Desa Anggerik.

YDP MPP USIM, saudara Razif mengingatkan siswa/i USIM yang menetap di rumah-rumah sewa supaya tidak lalai dalam menjaga keselamatan kerana majoriti kes pecah rumah berpunca daripada kelalaian pelajar sendiri. - USIMKini

Wednesday, September 11, 2013

USIM Menghadapi Masalah Bekalan Air



11 September, Seremban - Laporan paip pecah bersaiz 48 inci di bulatan Court Mammoth Nilai. Kerja-kerja pembaikan bermula pada jam 6:00 pagi dan di jangka siap pada jam 9:00 malam. Kawasan terlibat gangguan bekalan air ialah seluruh kawasan Bandar Baru Nilai, Arab Malaysian, Nilai Impian, Nilai 3, Nilai 7 Inland Port, Batu 10 hingga Batu 14 Jalan Labu, Kampung Jijan, seluruh Kawasan Kampung Gadong, Gadong SC, Felda Sendayan, Bandar Sri Sendayan, Sendayan Indah, Bukit Sendayan, Taman Gadong Jaya Fasa 1 hingga Fasa 4, Taman Semarak 1 & 2, Industri Recron, Industri Nilai, Industri Ringan, seluruh kawasan Batang Benar, Sungai Mahang, Jimah Baru, Jimah Lama Port Dickson, Lenggeng dan sekitar kawasan.

Krew USIMKini menemubual beberapa pelajar Tahun 1 yang ditemui di sekitar kampus. Menurut mereka, Kolej Kediaman 1 menghadapi masalah air dan mereka sedang mencari kawasan di sekitar USIM yang masih ada bekalan air untuk mandi.

"Kami ke Bangunan Tamhidi ni sebab air tidak ada di KK1. Harapnya malam ni selesailah isu air ni. Susah bila tak ada air ni. Paling penting, untuk mandi.", ujar seorang pelajar Tahun 1.

Sehubungan dengan itu, pelajar dinasihatkan supaya tidak membazir dalam pengunaan air. Bekalan air dijangka pulih pada jam 9 malam ini. -USIMKini



Sunday, September 08, 2013

Perompak Tidak Berseluar Di Desa Anggerik

Gambar hiasan
8 September, Nilai - Pelajar luar kampus terutamanya sekitar Desa Anggerik gempar dengan kejadian pecah rumah yang berlaku baru-baru ini jam 4 pagi, 4 September 2013.

Mengikut sumber yang diperoleh, suspek adalah seorang lelaki berbadan gempal, rambut berwarna kuning dan tidak memakai seluar. Dipercayai, suspek adalah pengamal ilmu hitam. Suspek juga dikaitkan dengan beberapa kes pecah rumah sebelum ini di Desa Anggerik.


Antara mangsa kejadian adalah Faridz, pelajar Tahun 2 FKP. Beliau menjelaskan, "Saya nampak orang tersebut tapi seakan-akan separuh sedar. Dia menyedari saya sedang melihatnya lalu dia berlari dan keluar dari rumah."


Beberapa siri kejadian disyaki dilakukan oleh lelaki ini kerana modus operandinya sama; merompak dalam keadaan tidak memakai seluar. Pihak polis telah menjalankan siasatan dan kawalan dengan lebih ketat beberapa hari ini.


YDP MPP USIM, Razif turut mengingatkan siswa dan siswi USIM untuk mempertingkatkan usaha menjaga keselamatan di rumah masing-masing lanjutan daripada peristiwa itu. Sebarang aduan boleh dibuat terus ke http://srcusim.com/online-complaint-form.html


Menurut sumber daripada Bahagian Keselamatan USIM, kebanyakan kes pecah rumah adalah berpunca daripada kecuaian pelajar sendiri dalam isu keselamatan di rumah sewa masing-masing.

Thursday, September 05, 2013

USIM TERIMA KEMASUKAN PELAJAR BAHARU SARJANA MUDA 2013/2014

NILAI, 2 Sept – Sesi pendaftaran Pelajar Baharu Sarjana Muda Sesi Akademik 2013/2014 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertempat di Stadium Tertutup Nilai berjalan dengan lancar. Kaunter pendaftaran yang dibuka secara rasmi bermula jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang mula dibanjiri oleh para pelajar dan ibu-bapa masing-masing yang sejak awal pagi lagi telah berada di perkarangan stadium.
Bagi sesi kemasukan kali ini, USIM menerima kemasukan pelajar tertinggi sejak ditubuhkan iaitu seramai 2,444 orang pelajar. Menawarkan 26 pilihan program pengajian di peringkat Sarjana Muda melalui 8 buah fakultinya antaranya  Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) telah membuka peluang pendidikan tinggi yang luas buat pelajar lepasan aliran sekolah agama di Malaysia.
Antara program pengajian yang menerima kemasukan tertinggi adalah Sarjana Muda Komunikasi (102 pelajar), Sarjana Muda Sains Bioteknologi Makanan (100 pelajar), Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi (217 pelajar), Sarjana Muda Pengajian Quran dan Multimedia (231 pelajar), Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa (317 pelajar) dan Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat (116).
YBhg. Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail yang meluangkan masa meninjau suasana pendaftaran, turut mengambil kesempatan melawat kaunter-kaunter khas yang diwujudkan bagi melicinkan proses pendaftaran serta beramah mesra dengan para pelajar dan ibu-bapa yang berada di sekitar Stadium. Turut bersama beliau YBhg. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah dan Pendaftar, Encik Muhammad Haizuan Rozali.
“Alhamdulillah, pertambahan berganda permohonon kemasukan ke USIM iaitu kita menerima  23,483 permohonan pada tahun ini mengatasi unjuran pelajar iaitu 2,553 tempat sahaja. Ini memberi indikasi jelas bahawa USIM semakin dikenali dan menjadikan IPTA pilihan pertama pelajar untuk menyambung pengajian. Dalam hal ini, promosi dan penjenamaan USIM yang merupakan satu-satunya IPTA yang menawarkan sistem pengajian yang mengintegrasikan ilmu Aqli dan Naqli dalam silibus akademiknya kepada masyarakat telah berjaya memberi impak yang besar “ kata Naib Canselor.
Tambahnya lagi “Kemasukan pelajar antarabangsa juga amat baik sekali iaitu seramai 95 pelajar antaranya dari Afghanistan, Libya, Jordan, Nigeria, Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura.  Selepas ini, mereka akan mengikuti Minggu Taaruf yang dikendalikan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar bermula 2 hingga 5 September ini”.
Antara pengisian menarik sepanjang Minggu Taaruf ini adalah Eksplorasi USIM, Taklimat Kokurikulum, Motivasi, Dialog Kemerdekaan dan Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar bersama YAB Dato’ Seri Utama Muhamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan.

Disediakan oleh :
Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar StraComm.