Thursday, September 05, 2013

USIM TERIMA KEMASUKAN PELAJAR BAHARU SARJANA MUDA 2013/2014

NILAI, 2 Sept – Sesi pendaftaran Pelajar Baharu Sarjana Muda Sesi Akademik 2013/2014 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertempat di Stadium Tertutup Nilai berjalan dengan lancar. Kaunter pendaftaran yang dibuka secara rasmi bermula jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang mula dibanjiri oleh para pelajar dan ibu-bapa masing-masing yang sejak awal pagi lagi telah berada di perkarangan stadium.
Bagi sesi kemasukan kali ini, USIM menerima kemasukan pelajar tertinggi sejak ditubuhkan iaitu seramai 2,444 orang pelajar. Menawarkan 26 pilihan program pengajian di peringkat Sarjana Muda melalui 8 buah fakultinya antaranya  Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) telah membuka peluang pendidikan tinggi yang luas buat pelajar lepasan aliran sekolah agama di Malaysia.
Antara program pengajian yang menerima kemasukan tertinggi adalah Sarjana Muda Komunikasi (102 pelajar), Sarjana Muda Sains Bioteknologi Makanan (100 pelajar), Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi (217 pelajar), Sarjana Muda Pengajian Quran dan Multimedia (231 pelajar), Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa (317 pelajar) dan Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat (116).
YBhg. Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail yang meluangkan masa meninjau suasana pendaftaran, turut mengambil kesempatan melawat kaunter-kaunter khas yang diwujudkan bagi melicinkan proses pendaftaran serta beramah mesra dengan para pelajar dan ibu-bapa yang berada di sekitar Stadium. Turut bersama beliau YBhg. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah dan Pendaftar, Encik Muhammad Haizuan Rozali.
“Alhamdulillah, pertambahan berganda permohonon kemasukan ke USIM iaitu kita menerima  23,483 permohonan pada tahun ini mengatasi unjuran pelajar iaitu 2,553 tempat sahaja. Ini memberi indikasi jelas bahawa USIM semakin dikenali dan menjadikan IPTA pilihan pertama pelajar untuk menyambung pengajian. Dalam hal ini, promosi dan penjenamaan USIM yang merupakan satu-satunya IPTA yang menawarkan sistem pengajian yang mengintegrasikan ilmu Aqli dan Naqli dalam silibus akademiknya kepada masyarakat telah berjaya memberi impak yang besar “ kata Naib Canselor.
Tambahnya lagi “Kemasukan pelajar antarabangsa juga amat baik sekali iaitu seramai 95 pelajar antaranya dari Afghanistan, Libya, Jordan, Nigeria, Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura.  Selepas ini, mereka akan mengikuti Minggu Taaruf yang dikendalikan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar bermula 2 hingga 5 September ini”.
Antara pengisian menarik sepanjang Minggu Taaruf ini adalah Eksplorasi USIM, Taklimat Kokurikulum, Motivasi, Dialog Kemerdekaan dan Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar bersama YAB Dato’ Seri Utama Muhamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan.

Disediakan oleh :
Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar StraComm.

No comments:

Post a Comment