Akhir-akhir ini, beberapa isu yang
berlaku menunjukkan reaksi umat Islam terhadap perkembangan politik tanahair
memberi isyarat bahawa pemikiran politik kita sedang berada didalam krisis.
Apatah lagi perkembangan politik kita sejak dahulu lagi tidak banyak mendidik
rakyatnya banyak berfikir. Hubungan antara Islam dan politik sejak dulu lagi
diwacanakan, ada yang menerima secara total, tak kurang juga yang menolak atas
dasar ia adalah sistem yang lahir dari Barat, maka segala-gala yang datang
darinya jua ikut menjadi haram. Fenomena inilah yang dikritik kebanyakan ulama
kontemporari, antaranya Yusuf al Qaradhawi mengkritik gejala ini sebagai
fenomena pemahaman terlalu literal terhadap nas-nas muamalah termasuk politik.
Abul
A’la al-Maududi dalam penulisannya ‘Teori Politik Islam’ mengulas hubungan ini
dalam bab awalnya menyatakan bahawa bentuk kekuasaan adalah sebahagian daripada
cabang agama. Malangnya pertalian yang dilihat antara Islam dan politik tak
lain hanyalah satu bentuk kekuasaan ekslusif lalu melahirkan
penghukum-penghukum. Pastinya kita tidak dapat melupakan satupersatu isu yang
berlegar di langit media arus perdana. Belum sampai 3 hari selepas Pilihanraya
Umum ke-13, parti-parti bertanding mula menuding jari. Pakatan Rakyat
menyalahkan sistem pilihanraya yang didakwa tidak telus. Barisan Nasional lebih
feudal, menyalahkan kaum cina atas kegagalan mereka meraih majoriti undi.
Ramadhan
baru ini sedikit sebanyak mengganggu fokus kita. Isu ‘bak kut teh’, isu ratu
cantik, isu video raya anjing, isu surau jadi tokong (?). Terkadang lahir resah
dihati melihatkan kepada sebahagian kita yang menjadi macai pembodohan
ini.
Lalu
apa sebenarnya kita lihat? Tidak lain hakikat yang terzahir adalah kejahilan
masyarakat kita untuk memahami isu melalui pokok pangkalnya, tidak cukup
sekadar ulasan-ulasan membabi buta hanya berasas sentimen dan doktrinisasi.
Nilai-nilai keilmuan, keintelektualan hilang kadangkala disebabkan oleh ahli-ahli
politik berkepentingan, bukan dengan matlamat ikhlas mencerahkan masyarakat,
tetapi sebagai satu lagi bentuk kecanduan agar memihak kepadanya. Apa pula
pilihan yang diberi kepada kita? Samada memilih mereka, atau jika tidak,
berhadapan dengan mereka. Nadanya seakan serupa nada George W Bush ketika
kononnya memerangi keganasan, antara bersama Amerika atau bersama keganasan.
Tiada pilihan lain. Bukankah nada yang hampir sama juga pernah diungkap Firaun
yang diceritakan didalam Al-Quran, “...aku tidak perlihatkan kepada kalian
melainkan apa yang aku lihat” (Surah Ghafir: 29). Apakah benar kita tak
punya pilihan lain? Atau kita hanya tak diberi peluang melihat pilihan lain?
Mahasiswa dan Agenda Pembodohan
Bagi
mahasiswa USIM, pastinya masih segar di fikiran kita program doktrinisasi dan
pembodohan yang tertimpa keatas kita lewat program ‘Taklimat Isu Lahad Datu’
beberapa bulan dahulu. Bukan hanya isu tersebut tidak dijelaskan secara ilmiah,
lebih teruk lagi ‘taklimat’ tersebut menyajikan tohmahan-tohmahan dangkal
keatas beberapa perjuangan gerakan mahasiswa serta parti-parti politik yang
tidak sebulu dengan mereka. Tayangan video keganasan ketika himpunan BERSIH
menjadi acara kemuncak ‘taklimat’ itu. Video ucapan Nurul Izzah kononnya
memperlekeh anggota keselamatan pula menjadi ‘penyeri majlis’. Program
Mensyukuri Nikmat Keamanan juga baru-baru ini ternyata membawa visi
doktrinisasi yang sama.
‘Taklimat’ Isu Lahad Datu |
Ketika
agenda-agenda pembodohan terus-menerus berjalan, wacana-wacana intelektual dan
ilmiah pula menerima nasib jauh berbeza. Forum-forum, dialog terbuka,
kuliah-kuliah yang dilihat ‘tidak sekapal’ dengan pemerintah terpaksa
berhadapan karenah birokrasi yang sangat meloyakan! Oh ya, debat pula sangat jauh
sekali. Sebahagian besarnya dicantas begitu sahaja. Hasilnya fungsi universiti
sebagai tempat mencari kebenaran ternyata gagal (rujuk ‘Pendidikan Mencari
Kebenaran’, Prof Dr. Zulkifli Abd Razak, Utusan Malaysia – 12 Oktober
2010). Agenda-agenda pembodohan terancang ini dengan jelas menghina, bukan
hanya penghinaan keatas golongan muda terpelajar – mahasiswa, ahli-ahli
akademik, sekian ramai professor dan ‘ulama, malah satu penghinaan besar keatas
peranan institusi keilmuan ummah ini. Justeru wajah suasana kampus harus
diubah.
Memperkasa Kepimpinan Mahasiswa
Pilihanraya
Kampus (PRK) kali ini bukan lagi medan politik kampung. Manifesto-manifesto
calon harus matang. Calon yang dipilih seharusnya yang memiliki watak
kemahasiswaan merangkumi 4 elemen terpenting – intelektualisme, idealisme,
spiritualisme, dan aktivisme. Kesemuanya saling bergantungan antara satu
dengan yang lain. Intelektualisme memandu idealisme dengan kekuatan ilmu dan
tradisi aqliah agar kekuatan azam dan cita-cita tidak berdiri atas dasar ikutan
semata-mata. Aktivisme pula gerakan mencapai cita-cita, manakala spiritualisme
sebagai aspek kawalan bagi kesemua elemen lain (rujuk ‘Mahasiswa Bitara:
Persiapan Menciptakan Peribadi Unggul, Mohammad Fazril Salleh – 1 Oktober
2013).
PRK ini benar-benar pentas anak muda
terpelajar. Ia harus berjalan dengan penuh optimis dan kewaspadaan. Calon-calon
tidak harus takut membawa mesej perubahan. Mahasiswa pula perlu mempersiap diri
dengan segala macam ilmu dan kefahaman – agar kelompok besar anak muda
terpelajar ini mampu memaknakan diri dalam masyarakat sosial, dalam dan luar
kampus. Ayuh, berangkatlah!
“Ke-mana layang-layang nak pergi, tali
di-tangan kita”
Mahasiswa Prihatin
5
Oktober 2013
Bandar
Baru Nilai.
No comments:
Post a Comment