Sunday, November 23, 2014

Esei: GAGASAN DAN WAWASAN PROFESSOR AHMAD IBRAHIM PASCA ERA NATRAH

GAGASAN DAN WAWASAN PROFESSOR AHMAD IBRAHIM PASCA ERA NATRAH
Oleh: Amir Hafyan (Buku Jalanan Nilai)

MUQODDIMAH

Ternyata keputusan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Singapura pada 2 Disember 1950, Hakim Brown merupakan suatu tamparan pahit yang perlu diterima oleh semua watan pada masa itu. Segala usaha[1] yang sebelum ini dilakukan demi untuk menyelamatkan ‘Aqidah seorang anak gadis yang bernama Natrah nampaknya tidak membuahkan hasil sementelah mereka sudah menjangka lebih awal bahawa mungkin ada ‘tangan luar’ yang akan turut campur tangan kerana merasakan betapa mahal harga yang perlu dibayar jika maruah mereka tercalar untuk kali ini.[2] Namun mungkin individu yang lebih merasakan pahitnya dan hanya mampu pasrah terhadap ketentuan keputusan Mahkamah itu tentunya Professor Ahmad Ibrahim (1916-1999)[3] yang juga merupakan peguam yang mewakili Natrah pada ketika itu dalam usaha untuk menyelamatkan beliau di muka pengadilan yang dikuasai oleh penjajah British pada ketika itu.

Namun yang demikian bukanlah penamat untuk segalanya bagi beliau. Merasakan masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kedudukan undang-undang Islam di Malaysia, terlalu banyak idea dan gagasan yang telah diusulkan oleh Profesor Ahmad Ibrahim demi memastikan martabat undang-undang ini sebagai law of the land seperti yang telah diputuskan dalam kes Ramah v Laton[4] seperti yang diiktiraf setaraf dengan undang-undang Sivil di negara ini.

Diingatkan juga, tulisan ini sekadarlah ‘pinggiran’ jika hendak dibandingkan dengan nama-nama besar yang pernah menulis tentang idea dan gagasan Islamisasi Undang-Undang yang diusulkan Profesor Ahmad Ibrahim seperti contoh Profesor Diraja Ungku Aziz, Tan Sri Profesor Dr. Mohd Kamal Hasan, Dato’ Seri Hj. (Dr) Harussani Hj. Zakaria, Allahyarham Tan Sri Harun Hashim[5] , Profesor Dr Abdul Aziz Bari[6] sehinggalah seorang pakar dalam undang-undang adat di rantau ini, M.B. Hooker juga telah menulis artikel yang sama dengan bertajuk, ‘ Islamic and Malaysian Law: The Contribution of Professor Ahmad Ibrahim’ yang dimuatkan di dalam buku The Malaysian Legal Essays (1986).[7]

 
GAGASAN ISLAMISASI UNDANG-UNDANG

Walaupun Profesor Ahmad Ibrahim mempunyai latar belakang pendidikan dari Barat[8], namun atas keyakinan beliau terhadap konsep Undang-Undang Islam ini, beliau telah pernah membuat satu kenyataan penting dalam satu syarahan umum di School of Oriental and African Studies, Universiti London, dengan katanya, “I have not surprise, may not now, may be in the next decade, you all will agree with our Islamic Family Law”.[9]

Kenyataan beliau ini walaupun belum sepenuhnya Undang-Undang Islam dilaksanakan pada masa itu, tetap memberikan suatu sinar harapan dan keyakinan bahawa sudah tiba masanya gagasan Islamisasi Undang-Undang yang digagaskan beliau ini patut diteruskan oleh generasi sekarang, agar selari dengan harapan beliau untuk menaik-tarafkan kedudukan Undang-Undang Islam seterusnya melihat Undang-Undang Islam sendiri dapat dilaksanakan di negara ini.

Mengenai perkara ini, Profesor Ahmad Ibrahim dalam bukunya, Melalui Simpang Dua Jalan[10] sebagai ulasan kepada tulisan oleh Muhammad Asad[11], telah bersependapat dengan beliau bahawa budaya dari Barat telah menyebabkan ada daripada golongan-golongan khususnya belia yang berpendidikan Barat terikut- ikut dan seterusnya membuat suatu pemahaman mengenai Islam itu seakan sama sahaja dengan pemikiran-pemikiran yang dicetuskan oleh manusia, seperti pemikiran yang yang dihasilkan oleh orang-orang Barat. Melalui buku ini, Profesor Ahmad Ibrahim ‘menasihati’ belia-belia Melayu yang berpelajaran Barat, iaitu dengan memberi penerangan pengajaran dan akhlak Islam sebagai ‘the way of life’.

Kelahiran buku tulisan beliau ini pastinya menjadi ‘tamparan’ yang sungguh hebat pada ketika itu dengan latar belakang penulisnya juga yang bukan sebarangan. Sesuatu yang sangat menarik untuk diketahui juga ialah rumusan oleh Profesor Ahmad Ibrahim dalam buku beliau ini, iaitu:
“Islam tidak perlu lagi diperbaiki sebagaimana sesetengah pendapat Muslim. Ia telah sendirinya lengkap dan cukup sempurna. Yang hendak kita perbaiki ialah sikap atau perhatian kita terhadap agama, kemalasan kita, kelalaian, kesingkatan pandangan.”

Penjajahan Inggeris di Tanah Melayu menyaksikan kemasukan Undang-Undang Inggeris melalui ‘Charter of Justice’ di Tanah Melayu termasuklah Singapura pada masa itu yang sebahagian daripada negeri-negeri Selat. Selain itu, pewartaan Ordinan Undang-Undang Sivil (The Civil Law Ordinance 1937) yang memperuntukkan secara jelas akan pemakaian undang-undang Inggeris di Tanah Melayu.[12] Kesannya, undang-undang Islam ketika itu telah mengalami kemerosotan sehingga dilihat sangat terpinggir. Sebagai seorang yang kuat keyakinannya kepada cita-cita meletakkan undang-undang dan pentadbiran perundangan Islam pada tempatnya, beliau telah menyebut:

"We should be confident of the superiority of Islamic law because its basis comes from revelation from Allah Who is Wise and All Embracing in His knowledge. As students and practitioners in the law we have seen how many principles of English law, especially in the field of family law, have been amended so that they have nearer to those of Islamic Law. When I was a young lawyer in Singapore in the Maria Hertogh case[13], I see how cruel the English law in that case was. At that time English law gave the right of custody and control over a child to the father. The welfare of the child was not taken into consideration at all. Since then the English has been changed and the welfare of the child has come to be the paramount consideration in the decision of the Court.[14]

Melalui pemerhatian beliau Undang-Undang Inggeris mempunyai kekuatannya tersendiri kerana akan terdapat perubahan dalam Undang-Undang Inggeris itu sendiri yang mengikut keperluan masyarakat dan menurut beliau bahawa perlunya perubahan dalam Undang-Undang Islam selagi mana sesuatu perkara tidak melibatkan prinsip asal dalam Islam yang termaktub dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah. Aspek undang-undang yang diasaskan melalui Ijtihad perlulah disemak sentiasa agar sentiasa memenuhi tuntutan masa, tempat dan keadaan. Bagi beliau, masih terdapat banyak ruang-ruang untuk mentafsirkan undang-undang dalam mencapai matlamat bersandarkan kepada Hadis mengenai kisah Mu’az Bin Jabal yang ketika itu menjadi gabenor di Yaman.[15]


REFORMASI UNDANG-UNDANG

Dalam memastikan segala agenda untuk meletakkan Undang-Undang Islam agar setaraf dengan Undang-Undang Sivil, beberapa cadangan dan idea telah dikemukakan oleh Professor Ahmad Ibrahim, baik daripada segi idea penubuhan Mahkamah Syari'ah hinggalah kepada penggubalan beberapa undang-undang yang berkaitan dengan hal-ehwal orang-orang Islam di Malaysia. Menariknya, beliau juga telah menggagaskan idea Common Law di Malaysia dalam usaha untuk mengurangkan pengaruh undang-undang Inggeris di Malaysia dan mencadangkan penghapusan secara mutlak (total repeal) Akta Undang-Undang Undang Sivil 1956[16] yang merujuk kepada pemakaian Undang-Undang Inggeris.[17] Ini kerana undang-undang di Malaysia berkembang melalui undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dan keputusan-keputusan Hakim. Oleh itu, tidak perlu lagi merujuk kepada Undang-Undang Inggeris untuk mengisi lacuna dalam undang-undang sedia ada sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta 1956.[18]Penghapusan ini jua sekaligus bertujuan untuk mengembalikan keunggulan Undang-Undang Islam itu sendiri. Ini selari dengan Kanun Sivil Mesir 1948 yang membenarkan rujukan undang-undang dibuat kepada pemakaian adat, prinsip Undang-Undang Islam, prinsip Ekuiti dan natural law.[19] Pemakaian adat ini boleh diterima pakai jika amalan itu berdasarkan kepada metodologi penggubalan hukum berlandaskan kepada hukum Syarak. Ini adalah kerana amalan itu juga lahir daripada Ijtihad yang bertujuan untuk memenuhi keperluan keadilan dan sosial semasa.

Beliau juga menggalakkan pelajar-pelajar yang belajar dalam pengajian Undang-Undang Syari’ah untuk belajar mengenai undang-undang Sivil dalam mempersiapkan graduan yang memiliki kesepaduan dalam kedua-dua sistem; sistem yang berteraskan Common Law British dan Undang-Undang Islam, serta mampu menangani masalah yang timbul daripada keduanya. Ini dibuktikan dengan penubuhan Kulliyyah Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)[20] yang menawarkan pengajian kedua-dua subjek Undang-Undang, selari dengan misi dan visi Universiti tersebut iatu ‘untuk mengintegrasikan Undang-Undang Sivil dengan Undang-Undang Islam.’[21]

 
PINDAAN ARTIKEL 121 (1A) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Campur tangan Mahkamah Sivil dalam urusan Undang-Undang Islam masih berlaku walaupun telah diwujudkan bidang kuasa dalam Jadual 9 Senarai II (Senarai Negeri) Perlembagaan Persekutuan. Kekeliruan ini dapat dilihat dalam banyak kes antaranya kes Che Omar Che Soh v Pendakwa Raya[22] yang disifatkan oleh Profesor Ahmad sebagai ‘mengejutkan’. Hakim dalam kes itu memutuskan bahawa perkataan ‘Islam’ dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan yang dimaksudkan hanya merangkumi perkara berhubung dengan upacara dan adat-istiadat sahaja kerana itulah ma’na yang dikehendaki oleh perlembagaan semasa penjajahan British. Professor Ahmad dalam komennya mempersoalkan mengapa Hakim masih terikat dengan penjajah dalam membuat tafsiran sedangkan negara sudah lama mencapai kemerdekaan. Bagi beliau, jelaslah Mahkamah Sivil ‘gagal’ menunaikan tanggungjawabnya dalam menghuraikan undang-undang Islam berdasarkan sumbernya yang asal dan sewajarnya tanggungjawab itu diberi kepada Mahkamah Syari’ah yang lebih berkelayakan mengenai hal tersebut. Hal ini menyebabkan cadangan kepada memasukkan klausa 1A[23] dalam Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan yang dilihat dapat mengelakkan berlakunya konflik bidang-kuasa antara kedua-dua Mahkamah Syari’ah dan Sivil pada masa akan datang. Ini sekaligus dapat meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syari’ah dan sepatutnya bebas daripada mana-mana campur tangan daripada Mahkamah Sivil.
 

KHOTIMAH

Professor Ahmad Ibrahim mempunyai wawasan yang sangat jelas dalam menentukan hala-tuju proses dan perkembangan Undang-Undang Islam di Malaysia, dan tidak keterlaluan jika dikatakan beliaulah perintis kepada perkembangan pengajian undang-undang di Malaysia, samada Undang-Undang Syariah atau Sivil. Antaranya dibuktikan dengan penulisan beliau dalam makalah-makalah, kertas kerja dan sebagainya sehinggalah mencadangkan beberapa idea yang praktikal untuk menjayakan agenda ini. Beliau juga amat menitik-beratkan usaha untuk memperbaikkan mana-mana sistem dalam kehakiman Undang-Undang Islam, baik daripada segi prosedur dan pentadbiran kehakiman Islam itu sendiri hinggalah kepada ketelitian seseorang Hakim Mahkamah Syari’ah dalam mengeluarkan keputusan agar masyarakat awam akan mematuhi dan menghormati keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah Syari’ah, sekaligus dengan sendirinya dapat mengembalikan semula kedudukan Mahkamah Syari’ah ke kedudukan yang unggul dan dihormati oleh semua.


Alhamdulillah.


(AL-Fatihah buat Professor Ahmad Ibrahim)



23/11/2014
2.35 p.m.
PT 5372, Taman Desa Anggerik, Nilai.


[RUJUKAN]

[1] Antaranya, Taha Kalu telah menubuhkan suatu badan yang dinamakan Natrah Action Committee (NAC) untuk melancarkan kempen dan mengutip derma daripada orang ramai untuk menanggung kos perbelanjaan perbicaraan mahkamah mengenai hak penjagaan ke atas Natrah.

[2] Natrah ‘In the name of Love’, DS Fatini Yaacob, penerbitan UTM.

[3] Permata PengIslahan Perundangan Islam, Biografi Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Ahmad Mohamed Ibrahim, penerbitan Institut Kemajuan Islam Malaysia(IKIM).

[4] (1927) 6 FMSLRM

[5] ‘Memorial Notice: Professor Tan Sri Ahmad Ibrahim’, 1999 3 MLJ 1.

[6] ‘Ahmad Ibrahim and The Islamisation of Law in Malaysia’ dalam kumpulan Monograph on Selected Malay Intellectuals.

[7] Permata PengIslahan Perundangan Islam, Biografi Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Ahmad Mohamed Ibrahim, Bab 1, m/s 1.

[8] Diterima masuk ke St John’s College, Universiti Cambridge pada bulan Oktober 1936 semasa beliau berumur 20 tahun.

[9] Dilaporkan oleh Dato’ Abu Zahar Nika Ujang, Permata PengIslahan Perundangan Islam, Biografi Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Ahmad Mohamed Ibrahim, Bab 10, m/s: 176.

[10] Buku ini ialah tulisan pertama beliau yang diterbitkan pada November 1948 oleh K.B. Press, Singapura.

[11] Islam at The Crossroad.

[12] Section 2 The Civil Law Ordinance. Selain itu, konsep Binding Precedent juga diperkenalkan dengan pengenalan Undang-Undang Inggeris ini.

[13] [1951] MLJ 64.

[14] Ahmad Mohamed Ibrahim, “Superiority of The Islamic System of Justice’, [1994] 4 IIU Law Journal 1.

[15] Ahmad Mohamed Ibrahim, ‘Towards an Islamic Law for Muslims in Malaysia’, (1985) 12 JMCL, 37, 40.

[16] Seksyen 3 dan Seksyen 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956.

[17] Sekatan-Sekatan dalam Pelaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia,Profesor Ahmad Ibrahim,Al-Ahkam Jilid 4

[18] Ahmad Ibrahim, Common Law di Malaysia, (1989) 1(1) Kanun 3-25.

[19] Permata PengIslahan Perundangan Islam, Biografi Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Ahmad Mohamed Ibrahim, Bab 10, m/s 164.

[20] Serentak dengan penubuhan Universiti Islam Antarabangsa pada 1 Julai 1983.

[21] Permata PengIslahan Perundangan Islam, Biografi Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Ahmad Mohamed Ibrahim, Bab 5, m/s 76.

[22] [1982] 2 MLJ 55.

[23] [1989] 2 MLJ xviii.

Saturday, November 01, 2014

PRK Hambar - Pendaftaran Calon MPP Masih Dibuka

Pendaftaran calon MPP yang dijadualkan selama dua hari bermula 30 dan 31 Oktober baru-baru ini dibuka ruang dan kelonggaran oleh Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP USIM. Menurut sumber, kekurangan pencalonan dan kehambaran suasana PRK menyebabkan pihak HEP selaku penggerak PRK memberi kebenaran kepada mana-mana mahasiswa yang ingin mendaftar menjadi calon pada hari penamaan calon, iaitu 5 November 2014, Rabu nanti.


Maklumat itu diperolehi daripada jawapan En. Hazrul Fareeza Harun, salah seorang ahli jawatankuasa penggerak Pemilihan MPP USIM yang membenarkan salah seorang siswi yang meminta kebenaran untuk mendaftar pada hari penamaan calon disebabkan beliau tidak berada di USIM pada hari pendaftaran calon. Perkara ini disahkan apabila kami mendapat satu screenshot WhatsApp yang yang menunjukkan pihak HEP memberi toleransi dan menggalakkan agar pertandingan berlaku di semua fakulti.


Pendaftaran calon semalam menyaksikan seramai 28 orang sahaja mendaftar untuk bertanding MPP, 10 daripadanya merebut kerusi umum dan selebihnya bertanding di kerusi fakulti. Sehingga kini, hanya Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan dan Fakulti Ekonomi & Muamalat sahaja yang mengalami pertandingan masing-masing tiga penjuru dan empat penjuru.

Selain itu, dua orang siswa dan siswi yang cuba mendaftar sebagai MPP dilaporkan gagal mendaftar sebagai calon kerana gagal memenuhi syarat-syarat layak bertanding seperti yang ditetapkan di dalam AUKU.