Tuesday, May 27, 2014

USIMKini Kembali

Selepas beberapa tempoh tidak membekalkan maklumat terkini kepada warga USIM, kumpulan media kami yang sudah bermula sejak 5 tahun lalu dengan penyampaian yang profesional, telus, provokatif, mencabar, kini kembali dengan wajah baru, gandingan krew baru, dan berita yang lebih telus dan segar.

Pendekatan USIMKini dikira berjaya mencetus satu suasana persaingan yang sihat dan kompeten kepada mahasiswa USIM dalam mencorakkan suasana kampus dengan apa jua program dan pendekatan. Selepas mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan sepanjang tahun berlalu, USIMKini tampil sebagai portal berita mahasiswa USIM yang menjadi pilihan warga USIM dalam mengikuti perkembangan kampus.

Kumpulan media USIMKini masih lagi mengekalkan kerahsiaan identiti demi menjaga profesionalisme dan juga memperjuangkan kebebasan media kewartawanan yang menyokong agenda pencerahan dan memperjuangkan kebenaran. Sumber kami tepat, pelbagai, merentas pangkat - dari tukang cuci sehingga NC -, merentas sempadan - dari KKNC ke FST - dengan pantas. Ternyata perkara ini penting kerana wujudnya usaha untuk menghentikan usaha pencerahan melalui medan penulisan kewartawanan seperti ini.

Malangnya, selepas kumpulan media USIMKini bertukar ganti, kredibiliti USIMKini sedikit tercalar apabila dipandng sebagai media yang hanya bersifat provokatif, berat sebelah, picisan, dan muncul ketika suasana kampus berada pada tahap yang paling hangat iaitu Pilihan Raya Kampus. Perkara ini sangatlah disesali krew USIMKini walaupun ianya hanyalah perbuatan tidak bertanggungjawab salah seorang krew yang dilihat mempunyai kepentingan tertentu.

USIMKini sudahpun mengambil langkah untuk mengembalikan semula imej profesional kami dalam membekalkan info terkini kepada warga USIM. Nantikan laporan kami tentang kampus dan kisahnya, pandangan-pandangan kritis mahasiswa, daya saing kepimpinan mahasiswa dan pentadbiran USIM dalam membawa imej Islam dan falsafah pendidikannya, dan pelbagai lagi.

Harus diingatkan, USIMKini tidak hanya melapor. USIMKini menyediakan bahan segar untuk mahasiswa berfikir.

Salam perjuangan dunia kewartawanan,
Krew USIMKini.

Sebarang artikel, bahan berita, atau jemputan untuk mengadakan liputan khusus untuk program anjuran anda bolehlah dihantar ke emel usimkinionline@gmail.com

Follow kami di Facebook: USIM Kini