Thursday, 24 October 2013

Nurul Syakirin Menang Undian Tertinggi PRK USIM


Nilai, 25 Sept - Debaran menantikan keputusan penuh pilihan raya kampus USIM akhirnya berakhir apabila calon umum daripada Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Nurul Syakirin Ahmad Najid memperoleh undian tertinggi

Syakirin mengatasi 15 calon umum yang lain dengan mendapat undian sebanyak 6879 undi. Ia mengatasi undian tertinggi kepada Razif (6214undi) pada PRK USIM sesi 2012/2013.

Beliau disusuli oleh calon umum daripada Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Nik Muhammad Naqib Mokhjamil yang memperoleh 6139 undi. Calon-calon lain ialah Azmil (FPQS) sebanyak 5924 undi, Azizi Alias (FST) 5684 undi, Fathi Saifulbahrin sebanyak 5114 undi, Riza Asma'a sebanyak 4268 undi, Taqwudin sebanyak 4055 undi, Khairunnisa' sebanyak 3536 undi, Amir Zuhair sebanyak 3235 undi, Azizul Azhar sebanyak 2995 undi, Nurhadi sebanyak 2948 undi,  Amarul sebanyak 2395 undi, Huzaifah sebanyak 1991 undi, Asyraf Amran sebanyak 1922 undi dan Amirul sebanyak 1686 undi.


Manakala bagi 3 kawasan fakulti yang melibatkan pertandingan 5 penjuru (FKP), 4 penjuru (FSU) dan 3 penjuru (FST), turut menyaksikan persaingan yang sengit dan sihat antara calon-calon yang bertanding.

Bagi perebutan dua kerusi FST, calon Nabihah Fauzi dan Irsyad dipilih sebagai pemenang dengan masing-masing mendapat 1027 undi dan 1127 undi, mengatasi calon seorang lagi, Farhah Khalida.

Pertandingan di FSU pula menyebelahi calon Muhammad Asri (723 undi) dan Raihan Nasir (597 undi)

Kerusi FKP tidak kurang sengitnya apabila pengundi memilih Faridz Ishak dan Musfirah yang masing-masing beroleh 973 undi dan 978 undi, menewaskan 3 calon lain.

Keputusan diumumkan oleh TNC HEPA, Prof. Dato' Dr. Mohamed Asin Dollah yang mewakili Naib Canselor yang mempunyai urusan luar.

Fakulti Pergigian mencatatkan keputusan keluar mengundi tertinggi. Dalam ucapan aluan beliau, Dato' Asin mengucapkan syukur dan tahniah kepada semua pelajar dan Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan kerana proses pilihan raya kampus pada tahun ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dan mengekalkan rekod proses pemilihan MPP yang aman.

Usimkini mengucapkan tahniah kepada semua calon yang bertanding, tidak kira yang menang atau kalah, atas kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan dalam mendukung semangat kepimpinan mahasiswa di kampus. -Usimkini

Wednesday, 23 October 2013

Lintas Langsung Pemilihan MPP USIM 2013/2014

Kredit: Ubaydullah Khairuddin

8.35 pagi - Pusat-pusat pengundian mula dibuka di kawasan fakulti-fakulti. Beberapa Pegawai Pusat Teknologi Maklumat (PTM) menyelenggara tempat pengundian sebelum dibuka untuk pengundian jam 9 pagi. Beberapa pengawal keselamatan turut berada di pusat pengundian untuk memantau keadaan.

9.00 pagi - Pelajar mula turun mengundi. FSU mendahului peratusan tertinggi diikuti FPBU dan FKP. Dua buah bas pelajar USIM DQ kelihatan berada di kampus.

10.38 pagi - FPSK dan FPg mendahului diikuti FPBU dan FSU. Antara faktor yang dilihat menyumbang kepada peningkatan mendadak ini adalah jumlah pelajar fakulti-fakulti berkenaan yang sedikit.

11.05 pagi - Berlaku sedikit kekecohan di FKP apabila pelajar Tahun 1 mengadu yang kad matrik mereka tidak dapat dikesan melalui sistem eUndi. Hal ini kemudiannya dirujuk kepada Ketua Pusat Pengundian.

12.30 tengahari Suasana di beberapa pusat pengundian semakin meriah dengan pengundi yang berpusu-pusu hadir. Beberapa calon umum dilihat berlegar-legar di fakulti lain sambil beramah mesra dengan siswa/i.

1.36 petang - Terdapat laporan server down di FSU menyebabkan proses pengundian tergendala hampir 10 minit

2.15 petang - Peratusan keseluruhan pengundian setakat ini yang tertinggi adalah FPg 97%, dan yang terendah adalah FKP 50%. 

2.35 petang - Dilaporkan ada sedikit isu di FSU apabila seorang pemilih 'diminta' supaya mengundi calon-calon tertentu di kerusi fakulti oleh petugas PRK di luar pusat mengundi (dari kalangan pelajar), juga di dalam pusat mengundi (staf). Pemilih terbabit dikhabarkan akan membuat laporan kepada Ketua Pusat Pengundian.

4. 05 petang - Server di FSU sekali lagi bermasalah dan kali ini lebih lama menyebabkan pengundian sekali lagi tergendala. Walaubagaimanapun, sistem dapat dipulihkan seperti sediakala beberapa ketika kemudian.


5. 00 petang - Pengundian ditutup dengan menyaksikan FPg (98.69%), FPQS (84.91%) dan FPBU (82.60%) menduduki tangga teratas dalam peratusan keluar mengundi.

Tuesday, 22 October 2013

Malam Pengenalan Calon Meriah




Nilai, 21 Oktober – Dewan Kuliah Pusat 3 (DKP3) USIM semalam telah menyaksikan Majlis Pengenalan Calon berlangsung dengan begitu meriah
.
Majlis yang dimulakan seawal jam 8.00 malam itu turut dihadiri oleh Naib Canselor dan TNC Hepa USIM. Kehadiran ratusan pelajar USIM yang memenuhi dewan telah menambahkan lagi kemeriahan majlis dan menggamatkan suasana.

Clappers yang telah dibekalkan oleh pihak HEP turut dilihat berjaya menghangatkan lagi suasana.Seramai 15 calon kerusi umum dan 22 calon kerusi fakulti telah membentangkan manifesto masing-masing.Setiap calon diberi masa 3 minit untuk memperkenalkan diri seterusnya membentangkan idea dan hala tuju mereka.

Krew Usimkini turut dimaklumkan bahawa pihak keselamatan USIM telah mengetatkan kawalan di pintu pagar utama USIM dengan tidak membenarkan pelajar yang tidak membawa kad matrik masuk ke dalam kampus.

Beberapa rungutan turut diterima daripada pelajar yang tidak tahu berkenaan penguatkuasaan kawalan ini yang disifatkan 'saat akhir'. Walaubagaimanapun, ada yang akhirnya dibenarkan masuk.

Berdasarkan tinjauan awal krew USIMKini, antara calon umum 'panas' adalah Azmil, Syakirin, Fathi, Azizi (MPP sesi lepas), dan Naqib. Walaubagaimanapun, terdapat insiden 'boo' calon yang disifatkan oleh mantan YDP MPP USIM, saudara Razif sebagai perbuatan yang tidak wajar bagi pelajar Universiti Islam.

Memetik kenyataan daripada status Facebook beliau, "Bersorak menyokong itu tidak bermasalah. "Boo" itu yg saya fikir kurang sesuai. Walaupun ada beberapa aksi penyokong yg agak lucu bila mengajuk gaya calon lain, tapi saya fikir ia kurang sesuai dengan status kita sebagai Universiti Islam."

Calon 'kontroversi' daripada Pembina USIM, Asyrat turut menjadi mangsa 'boo' hadirin. Umum mengetahui Pembina adalah wakil ISMA di peringkat anak muda. ISMA pula sering dikaitkan dengan isu-isu seperti rasis, cenderung kepada UMNO dan PERKASA.

NC USIM, Prof. Dato' Dr. Asma Ismail turut melahirkan keterujaan melihat penganjuran Malam Pengenalan Calon tersebut.

"Saya sangat-sangat kagum dengan semangat calon dan penyokong masing-masing. MPP sesi lepas di bawah saudara Razif telah membawa MPP ke satu tahap yang saya akui sebagai high standard. 

Menjadi cabaran kepada MPP baru untuk mencapai standard tersebut malah untuk menandingi pencapaian tersebut."

"Apa yang saya mahu tegaskan, sudah sampai masanya kita tinggalkan isu-isu remeh dan tidak relevan bagi pelajar. Kita sedang menuju the next level for USIM."

Rata-rata manifeso membahaskan sekitar keselamatan pelajar, akademik dan sahsiah. Walaubagaimanapun, manifesto Amirul menggamatkan suasana kerana beliau berhasrat untuk memperjuangkan kebenaran pemakaian jeans dan selipar ke dalam perpustakaan.

Selain itu, Haziq, calon kerusi fakulti FPSK yang menang tanpa bertanding turut menghiburkan hadirin dengan jenaka santai beliau yang ingin mengusulkan pembuatan kopiah putih bercap USIM.

Calon-calon umum lain yang turut bertanding adalah Azizul Azhar, Riza Asma'a, Amirul, Shafi'e, Hadi, Taqwudin, Huzaifah dan Khairunnisa' 

Friday, 18 October 2013

Amirul Ketuai Bantahan Tempoh Kempen PRK USIM

Nilai,  18 Oktober - Suasana USIM kembali hangat dengan tempoh kempen PRK yang cuma 1 hari seperti yang dimaklumkan pada notis Pemilihan MPP.

Lebih 20 orang mahasiswa terdiri daripada pencadang, penyokong calon dan mahasiswa mewakili pemilih memenuhi Bahagian HEP USIM untuk menyatakan bantahan.

Krew USIMKini berjaya mendapatkan wakil pelajar yang membuat bantahan terhadap keputusan berkenaan, saudara Amir Amirul (gambar kiri), Tahun 3, Fakulti Sains dan Teknologi.

Berikut adalah temubual kami bersama beliau:

USIMKini (UK): Apa yang membuatkan saudara terpanggil untuk membuat bantahan?

Amirul (A): Saya hanya fikirkan keadilan bagi calon-calon. Masa yang diperuntukkan (24 jam) tidak memadai dan berbeza dengan sesi lepas yang mana berjumlah 2 hari. Cuba bayangkan calon yang kelasnya penuh dari pagi sampai malam seperti Fathi. Bagaimana beliau mahu berkempen ke setiap fakulti? Bagi calon yang tidak ada kelas atau kelasnya sedikit, ini satu bonus. Jadi, saya nampak sedikit ketidakadilan di situ. Saya tidak nampak alasan mengapa ia (kempen) menjadi 1 hari. Bila peluang mahasiswa untuk mengenali calon? Adakah cukup dengan datang pada Malam Pengenalanan? Mustahil. Kita adalah lebih 8, 000 pelajar Sarjana Muda di 7 fakulti. 1 hari tidak memadai. Facebook? Bila waktu puncak

UK: Kami dimaklumkan, saudara telah bertemu dengan Encik Nasrul Hakim, Ketua Bahagian HEP USIM, boleh kongsikan apa yang saudara bincangkan?

A: Kita bawakan satu surat permohonan supaya dilanjutkan tempoh kempen kepada 2 hari. Adalah tidak logik dengan jumlah calon mendaftar yang lebih 40 orang, nak berkempen dalam tempoh 24 jam. Sesi lepas, calon cuma 30 orang dan masa berkempen adalah 2 hari. Selain itu, kita usulkan juga supaya PRK dianjakkan ke 24 Oktober 2013. 

UK: Justeru, apa jawapan En. Nasrul?

A: Beliau menerima baik usul kami dan beliau menjamin, ia akan dibawa untuk perhatin TNC HEPA, Prof. Dato' Dr. Asin Dollah. Kami amat menghargai keprihatinan beliau. Cuma, saya kurang bersetuju apabila beliau mencadangkan kepada calon memanfaatkan tempoh kempen sehari ini dengan tidak menghadiri kelas (sehingga cukup 80% kehadiran sahaja). Berkempen untuk pemilihan MPP bukan alasan untuk calon tidak hadir ke kuliah. Kuliah tetap keutamaan sebagai mahasiswa. 

UK: Sebagai kesimpulan, apa yang saudara ingin tegaskan?

A: Mahasiswa tidak akan berganjak daripada keputusan ini. Kami mahukan tempoh kempen 2 hari kepada calon dan tarikh PRK diubah kepada 24 Oktober. Saya jamin, tidak akan ada sebarang kekacauan sebagaimana yang berlaku pada sesi PRK IPTA lain. Kita menjunjung dasar USIM yang mahukan suasana PRK yang aman dan harmoni. USIM ada cara yang tersendiri dan selama ini pun kita berbangga dengan cara kita menguruselia PRK. Saya akui, HEP USIM berjaya mengurus proses PRK dengan baik. Apa yang kami mahukan, cuma keadilan kepada calon-calon. 

PRK USIM: Tempoh Kempen Sehari Timbulkan Kekecohan. Klikhttp://usimkini.blogspot.com/2013/10/prk-usim-tempoh-kempen-sehari-timbulkan.html 

Thursday, 17 October 2013

PRK USIM: Tempoh Kempen Sehari Timbulkan Kekecohan

Nilai, 18 Oktober - Pilihanraya USIM yang dijangkakan suram pada tahun ini sedikit 'panas' apabila ramai mulai sedar yang tempoh berkempen cuma 1 hari.


Menurut Amir, salah seorang pencadang calon, adalah mustahil untuk berkempen cuma dalam tempoh 24 jam. 


"Tahun lepas 2 hari diperuntukkan untuk tempoh berkempen. Tahun ni cuma 1 hari. Saya masih tidak dapat menerima kenyataan ini. Saya akan cuba buat bantahan sekiranya dibenarkan."


Jumlah calon yang mendaftar pada tahun ini meningkat mendadak dengan hampir 20 orang bakal bertanding di kerusi umum dan lebih 20 orang bertanding di kerusi fakulti. Jumlah yang kami peroleh daripada sumber HEP adalah seramai hampir 50 orang calon kerusi fakulti dan umum yang mendaftar

Jumlah calon yang bertanding pada PRK sesi 2012/2013 adalah 31 orang sahaja berbanding hampir 50 orang pada kali ini. Oleh itu, tempoh 1 hari dilihat amat tidak wajar kerana sesi lepas memperuntukkan 2 hari tempoh berkempen.

Seorang pelajar, Ain  ketika dihubungi berkata, "Tahun lepas calon tak seramai tahun ni tapi kempen 2 hari. Tahun ni calon sangat ramai tapi sehari. Amat tak logik. Tak mustahil akan timbul kekecohan."

Krew USIMKini sempat menghubungi Hamidi, mantan Presiden MPP UIAM untuk mendapatkan komentar, "Tempoh kempen PRK di UIAM adalah selama 2 hari. Pada hemat saya, tidak wajar USIM tetapkan hanya sehari dengan jumlah calon yang lebih ramai berbanding sebelumnya.", ujar beliau.

PRK USIM dijangka akan berlangsung pada 23 Oktober 2013 dan penamaan calon adalah pada 21 Oktober 2013. - USIMKini

Wednesday, 9 October 2013

Razif Umum Hadiah Untuk Mahasiswa USIM

Gambar daripada Facebook MPP USIM

10 Oktober, NILAI – Mantan YDP MPP, Razif semalam mengumumkan 'hadiah' yang dijanjikan untuk diberikan sebagaimana yang tertera pada manifesto beliau dan Exco-exco MPP sesi 2012/2013.

Beliau berkata, antara 'hadiah' tersebut adalah pengoperasian kafe Pusat Tamhidi dan surau siswi Pusat Tamhidi, perhentian bas Pusat Tamhidi, pembesaran perhentian bas di FPQS dan FEM, penyediaan khemah dan tikar tambahan untuk solat Jumaat di KK1, penyelarasan harga makanan di Kafe KK1 dan peningkatan kawalan keselamatan oleh pihak polis di rumah sewa pelajar.

Selain daripada itu, beliau turut membentangkan beberapa isu berkaitan pelajar yang telah diselesaikan oleh barisan MPP sesi 2012/2013. "Bagi yang nak tahu secara menyeluruh, boleh dapatkan dalam majalah al-Mishkat, majalah khas MPP di web MPP mulai esok.", ujar beliau.

Ucapan Prof. Dato' Dr. Asin Dollah, TNC HEPA kemudiannya mengumumkan perkembangan pembinaan Masjid USIM yang akan bermula tahun depan dengan kos RM29 juta. Selain daripada itu, beliau juga mengumumkan penukaran tender baru Kafe KK1 berikutan kes keracunan yang berlaku baru-baru ini.

 PRK USIM pada kali ini dijangka akan lebih sengit daripada tahun-tahun sebelumnya dengan ura-ura menyatakan bahawa beberapa fakulti sudah menyiapkan jentera masing-masing baik secara rasmi atau 'bawah tanah' - USIMKini

PRK USIM: Pendaftaran Calon Berjalan Lancar




10 Oktober, Nilai - Proses awal pilihan raya kampus bagi Pemilihan MPP USIM sesi 2013/2014 bermula hari ini apabila sesi pendaftaran calon dibuka jam 9.0 pagi tadi.

Kami sempat menemubual calon dari FPQS, Azmil yang sudah menunggu sejak jam 8.30 pagi. "Saya jangka, pendaftaran sudah dibuka jam 9 pagi sebagaimana yang tertera pada notis tetapi terpaksa menunggu hampir sejam sebelum dapat mendaftar. Apapun, terima kasih kepada HEP kerana pendaftaran berjalan lancar."

Sesi pendaftaran melibatkan bayaran proses sebanyak RM20 sebagai wang cagaran Borang Penamaan Calon. Pelajar-pelajar yang mendaftar diminta untuk memasukkan butiran peribadi mereka ke dalam sistem e-Undi dan mengambil gambar sebagai rekod.

Kebanyakan pelajar yang ingin bertanding hadir bersama-sama dengan pencadang dan penyokong masing-masing. Menurut peraturan terbaru bermula sesi 2012/2013, setiap pencalonan perlu disokong oleh dua orang penyokong dan seorang pencadang. Ia berbeza berbanding sesi 2011/2012 yang mensyaratkan 5 orang sebagai penyokong untuk setiap calon.

Kelihatan mantan YDP MPP, saudara Razif di
bilik pendaftaran
Hasil pemerhatian dan tinjauan rambang krew USIMKini mendapati, proses pendaftaran calon pada hari ini turut dihadiri oleh mantan pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar, termasuk bekas Yang DiPertua, saudara Razif.

USIMKini dimaklumkan, beberapa calon dilihat hadir mendaftar dengan ditemani oleh bekas MPP terdahulu yang menjadi pencadang mereka. 

Beberapa bekas pimpinan JAKSA dan sekretariat fakulti juga hadir untuk mendaftarkan diri sebagai calon. Amir Zuhair yang pada awalnya menafikan untuk bertanding turut kelihatan mendaftar sebagai calon.

Proses pendaftaran akan diteruskan sehingga petang ini dan akan berakhir petang esok. 

Manakala proses penamaan calon akan diadakan pada 21 Oktober, disusuli dengan pembentangan manifesto dalam sesi pengenalan calon pada sebelah malam hari yang sama. - USIMKini