Tuesday, October 22, 2013

Malam Pengenalan Calon Meriah




Nilai, 21 Oktober – Dewan Kuliah Pusat 3 (DKP3) USIM semalam telah menyaksikan Majlis Pengenalan Calon berlangsung dengan begitu meriah
.
Majlis yang dimulakan seawal jam 8.00 malam itu turut dihadiri oleh Naib Canselor dan TNC Hepa USIM. Kehadiran ratusan pelajar USIM yang memenuhi dewan telah menambahkan lagi kemeriahan majlis dan menggamatkan suasana.

Clappers yang telah dibekalkan oleh pihak HEP turut dilihat berjaya menghangatkan lagi suasana.Seramai 15 calon kerusi umum dan 22 calon kerusi fakulti telah membentangkan manifesto masing-masing.Setiap calon diberi masa 3 minit untuk memperkenalkan diri seterusnya membentangkan idea dan hala tuju mereka.

Krew Usimkini turut dimaklumkan bahawa pihak keselamatan USIM telah mengetatkan kawalan di pintu pagar utama USIM dengan tidak membenarkan pelajar yang tidak membawa kad matrik masuk ke dalam kampus.

Beberapa rungutan turut diterima daripada pelajar yang tidak tahu berkenaan penguatkuasaan kawalan ini yang disifatkan 'saat akhir'. Walaubagaimanapun, ada yang akhirnya dibenarkan masuk.

Berdasarkan tinjauan awal krew USIMKini, antara calon umum 'panas' adalah Azmil, Syakirin, Fathi, Azizi (MPP sesi lepas), dan Naqib. Walaubagaimanapun, terdapat insiden 'boo' calon yang disifatkan oleh mantan YDP MPP USIM, saudara Razif sebagai perbuatan yang tidak wajar bagi pelajar Universiti Islam.

Memetik kenyataan daripada status Facebook beliau, "Bersorak menyokong itu tidak bermasalah. "Boo" itu yg saya fikir kurang sesuai. Walaupun ada beberapa aksi penyokong yg agak lucu bila mengajuk gaya calon lain, tapi saya fikir ia kurang sesuai dengan status kita sebagai Universiti Islam."

Calon 'kontroversi' daripada Pembina USIM, Asyrat turut menjadi mangsa 'boo' hadirin. Umum mengetahui Pembina adalah wakil ISMA di peringkat anak muda. ISMA pula sering dikaitkan dengan isu-isu seperti rasis, cenderung kepada UMNO dan PERKASA.

NC USIM, Prof. Dato' Dr. Asma Ismail turut melahirkan keterujaan melihat penganjuran Malam Pengenalan Calon tersebut.

"Saya sangat-sangat kagum dengan semangat calon dan penyokong masing-masing. MPP sesi lepas di bawah saudara Razif telah membawa MPP ke satu tahap yang saya akui sebagai high standard. 

Menjadi cabaran kepada MPP baru untuk mencapai standard tersebut malah untuk menandingi pencapaian tersebut."

"Apa yang saya mahu tegaskan, sudah sampai masanya kita tinggalkan isu-isu remeh dan tidak relevan bagi pelajar. Kita sedang menuju the next level for USIM."

Rata-rata manifeso membahaskan sekitar keselamatan pelajar, akademik dan sahsiah. Walaubagaimanapun, manifesto Amirul menggamatkan suasana kerana beliau berhasrat untuk memperjuangkan kebenaran pemakaian jeans dan selipar ke dalam perpustakaan.

Selain itu, Haziq, calon kerusi fakulti FPSK yang menang tanpa bertanding turut menghiburkan hadirin dengan jenaka santai beliau yang ingin mengusulkan pembuatan kopiah putih bercap USIM.

Calon-calon umum lain yang turut bertanding adalah Azizul Azhar, Riza Asma'a, Amirul, Shafi'e, Hadi, Taqwudin, Huzaifah dan Khairunnisa' 

No comments:

Post a Comment