Friday, September 27, 2013

Tarikh PRK USIM Terus Menjadi Teka-Teki




27 September, Nilai - Terus menjadi teka-teki. Mungkin itu ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan mengenai tarikh Pilihanraya Kampus (PRK) bagi pemilihan MPP USIM yang masih belum diumumkan oleh pihak pengurusan Universiti sehingga sekarang.

Tarikh PRK USIM dilihat sebagai sangat penting kerana semua kelab dan persatuan yang bernaung di Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) sudah dibubarkan dan perlu menunggu penubuhan kabinet MPP terlebih dahulu sebelum setiap persatuan mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing.

Beberapa kampus seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaysia Sabah sudah memaklumkan tentang pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar di tempat masing-masing.

USIMKini telah menghubungi Mohamad Razif Mohamad Fuad, Yang Dipertua MPP USIM untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tarikh PRK.

"Saya memohon maaf kerana pihak kami masih tidak dimaklumkan apa-apa berkenaan tarikh PRK. Apa yang pasti, selepas 8 Oktober iaitu genap setahun pelantikan MPP secara rasmi. Terima kasih," kata beliau ringkas melalui laman sosial Facebook.

Sekiranya dilihat daripada tarikh pengundian sesi lepas, USIM sudah melepasi tempoh setahun daripada tarikh sebenar iaitu 25 September 2013. 

Pilihanraya kampus merupakan satu perkara yang dinanti-nantikan oleh kebanyakan mahasiswa di seluruh kampus kerana ia bertujuan memilih kepimpinan tertinggi di peringkat mahasiswa dalam kabinet Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). - USIMKini

No comments:

Post a Comment