Saturday, October 19, 2013

Amirul Ketuai Bantahan Tempoh Kempen PRK USIM

Nilai,  18 Oktober - Suasana USIM kembali hangat dengan tempoh kempen PRK yang cuma 1 hari seperti yang dimaklumkan pada notis Pemilihan MPP.

Lebih 20 orang mahasiswa terdiri daripada pencadang, penyokong calon dan mahasiswa mewakili pemilih memenuhi Bahagian HEP USIM untuk menyatakan bantahan.

Krew USIMKini berjaya mendapatkan wakil pelajar yang membuat bantahan terhadap keputusan berkenaan, saudara Amir Amirul (gambar kiri), Tahun 3, Fakulti Sains dan Teknologi.

Berikut adalah temubual kami bersama beliau:

USIMKini (UK): Apa yang membuatkan saudara terpanggil untuk membuat bantahan?

Amirul (A): Saya hanya fikirkan keadilan bagi calon-calon. Masa yang diperuntukkan (24 jam) tidak memadai dan berbeza dengan sesi lepas yang mana berjumlah 2 hari. Cuba bayangkan calon yang kelasnya penuh dari pagi sampai malam seperti Fathi. Bagaimana beliau mahu berkempen ke setiap fakulti? Bagi calon yang tidak ada kelas atau kelasnya sedikit, ini satu bonus. Jadi, saya nampak sedikit ketidakadilan di situ. Saya tidak nampak alasan mengapa ia (kempen) menjadi 1 hari. Bila peluang mahasiswa untuk mengenali calon? Adakah cukup dengan datang pada Malam Pengenalanan? Mustahil. Kita adalah lebih 8, 000 pelajar Sarjana Muda di 7 fakulti. 1 hari tidak memadai. Facebook? Bila waktu puncak

UK: Kami dimaklumkan, saudara telah bertemu dengan Encik Nasrul Hakim, Ketua Bahagian HEP USIM, boleh kongsikan apa yang saudara bincangkan?

A: Kita bawakan satu surat permohonan supaya dilanjutkan tempoh kempen kepada 2 hari. Adalah tidak logik dengan jumlah calon mendaftar yang lebih 40 orang, nak berkempen dalam tempoh 24 jam. Sesi lepas, calon cuma 30 orang dan masa berkempen adalah 2 hari. Selain itu, kita usulkan juga supaya PRK dianjakkan ke 24 Oktober 2013. 

UK: Justeru, apa jawapan En. Nasrul?

A: Beliau menerima baik usul kami dan beliau menjamin, ia akan dibawa untuk perhatin TNC HEPA, Prof. Dato' Dr. Asin Dollah. Kami amat menghargai keprihatinan beliau. Cuma, saya kurang bersetuju apabila beliau mencadangkan kepada calon memanfaatkan tempoh kempen sehari ini dengan tidak menghadiri kelas (sehingga cukup 80% kehadiran sahaja). Berkempen untuk pemilihan MPP bukan alasan untuk calon tidak hadir ke kuliah. Kuliah tetap keutamaan sebagai mahasiswa. 

UK: Sebagai kesimpulan, apa yang saudara ingin tegaskan?

A: Mahasiswa tidak akan berganjak daripada keputusan ini. Kami mahukan tempoh kempen 2 hari kepada calon dan tarikh PRK diubah kepada 24 Oktober. Saya jamin, tidak akan ada sebarang kekacauan sebagaimana yang berlaku pada sesi PRK IPTA lain. Kita menjunjung dasar USIM yang mahukan suasana PRK yang aman dan harmoni. USIM ada cara yang tersendiri dan selama ini pun kita berbangga dengan cara kita menguruselia PRK. Saya akui, HEP USIM berjaya mengurus proses PRK dengan baik. Apa yang kami mahukan, cuma keadilan kepada calon-calon. 

PRK USIM: Tempoh Kempen Sehari Timbulkan Kekecohan. Klikhttp://usimkini.blogspot.com/2013/10/prk-usim-tempoh-kempen-sehari-timbulkan.html 

No comments:

Post a Comment