Sunday, September 16, 2012

300 siswa Pandan desak kekalkan dekan FPSK

16 Sept, Nilai - Kira-kira 300 pelajar di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Kampus Pandan hadir dalam satu pertemuan tergempar bersama Naib Canselor USIM, Prof. Dato' Dr. Muhammad Muda pada hari Khamis, 13 September yang lalu. 

Pertemuan tersebut diadakan atas kehendak NC sendiri berikutan satu memorandum yang diterima oleh beliau daripada wakil pelajar FPSK berhubung isu kontrak dekan fakulti tersebut yang ditamatkan dan tidak diteruskan lagi.

Menurut seorang siswa dari kampus Pandan yang enggan disebutkan nama, pertemuan pada malam Jumaat itu diadakan di Dewan Ibn Sina, FPSK.

"Kami dimaklumkan, Dato' (NC) nak jumpa semua pelajar yang turunkan tandatangan menyokong memorandum tersebut. Beliau kelihatan sangat kesal dengan kami walaupun apa yang kami buat adalah untuk kebaikan fakulti. Sekurang-kurangnya, dengarlah suara kami.

Yang pasti, ucapan Dato' pada malam itu sedikit mengejutkan kami," ujarnya melalui laman sosial Facebook.

Katanya, memorandum tersebut adalah pernyataan bertulis biasa daripada pimpinan pelajar di fakulti itu, bertujuan untuk mendapatkan penjelasan mengenai penamatan kontrak dekan, Prof. Dato' Dr. Nik Mohd Nasri Nik Ismail (gambar) yang dilihat dibuat secara 'tergesa-gesa'.

"Sekarang fakulti kami dalam tempoh bersiap sedia menghadapi kunjungan daripada MQA untuk meninjau program perubatan di sini. Isu ini sedikit merencatkan proses persiapan apabila dekan yang sudah lama bersama-sama kami tidak diteruskan khidmatnya walaupun rekod beliau sebelum ini cemerlang," tambah pelajar itu lagi.

Dalam pertemuan pada malam tersebut turut dihadiri oleh beberapa pegawai pentadbiran fakulti, beberapa wakil dekan fakulti lain dan pegawai kanan Canselori dan HEP.

Dato' NC dalam ucapan beliau mengatakan, keputusan tersebut telah diterima di peringkat pengurusan Universiti dan sudah ada pemangku dekan selepas Prof. Dato' Dr. Nik Mohd Nasri.

Tambah beliau lagi, pihak Universiti juga telah mengemukakan cadangan yang lebih baik dan tidak akan meminggirkan fakulti di Pandan Indah tersebut.

Walau bagaimanapun, rata-rata pelajar yang turun hadir ke pertemuan pada malam tersebut tidak berpuas hati kerana tiada sebarang penjelasan yang menyakinkan diberikan oleh Dato' NC, sebaliknya hanya penegasan beliau terhadap keputusan sedia ada akan dikekalkan.

Mereka dikatakan tetap dengan pendirian untuk mengekalkan dekan terdahulu bagi memenuhi keperluan persediaan fakulti dan kehendak pelajar untuk selesa serta yakin menghadapi kunjungan wakil MQA.

Pada 29 Ogos lalu, satu notis telah dikeluarkan mengenai makluman penamatan kontrak dekan FPSK yang mengejutkan semua warga fakulti tersebut. Prof. Dato' Dr. Nik Mohd Nasri merupakan dekan pertama FPSK sejak 8 tahun lalu. Beliau menerajui fakulti itu dengan cemerlang dan telah membawa pelbagai kemajuan dalam pentadbiran serta pengurusan fakulti.

Wakil Usimkini kini sedang cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada sumber terdekat atau terus daripada pimpinan Medical Student Club (MSC) yang membuat memorandum tersebut. - Usimkini

2 comments:

  1. Saya rasa elok diperhalusi dan difahami istilah "penamatan kontrak" seperti yang ditulis diatas. Istilah lain seperti lantikan kontrak dan penyambungan kontrak juga perlu difahami oleh pelajar.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas teguran.
    Kami mengambil maklum akan perkara tersebut dan akan disunting oleh editor. Apapun untuk makluman saudara Hafezf, laporan kami adalah mengikut seperti apa yang dinyatakan oleh wakil pelajar perubatan Pandan.

    Kami memohon maaf sekiranya ia mengundang konotasi yang tidak tepat dengan situasi sebenar. Kesilapan amat dikesali.

    Salam hormat

    ReplyDelete