Monday, September 10, 2012

Tarikh PRK USIM masih jadi teka-teki?

10 Sept, Nilai - Terus menjadi teka-teki. Mungkin itu ungkapan paling sesuai digambarkan mengenai tarikh pilihanraya kampus (PRK) bagi pemilihan MPP USIM yang masih belum diumumkan oleh pihak pengurusan Universiti sehingga sekarang.


Tarikh PRK dilihat sebagai sangat penting dan dengan kegiatan pelajar di kampus kerana semua kelab dan persatuan yang bernaung di Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) sudah dibubarkan dan perlu menunggu penubuhan kabinet MPP terlebih dahulu sebelum setiap persatuan mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing.

Menurut seorang bekas pimpinan MPP USIM yang enggan dinamakan, tarikh pilihanraya kampus tidak harus disembunyikan oleh HEP kerana ia mengganggu perancangan takwim aktiviti persatuan pelaja.

"Sudah ditangguh sejak Mac lalu. 6 bulan tanpa sebarang notis untuk pemilihan MPP adalah suatu yang membantutkan perancangan aktiviti mahasiswa," ujarnya yang bakal bergraduasi pada bulan November ini.

Penundaan tarikh pilihanraya kampus sebelum ini ekoran daripada arahan di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang ingin menjalankan pilihanraya kampus secara serentak di semua IPT seluruh negara. Walau bagaimanapun, tarikh sebenar PRK tidak dimaklumkan secara khusus.

Baru-baru ini, kenyataan daripada Datuk Maslan Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menguatkan lagi dakwaan bahawa PRK akan dijalankan dalam masa terdekat.

Ekoran daripada kenyataan tersebut, beberapa kampus dilaporkan telah mula membuat persiapan untuk pemilihan MPP walaupun notis rasmi daripada bahagian HEP dan KPT belum lagi dikeluarkan.

Usimkini telah menghubungi Encik Hazrul Fareeza Harun, Penolong Pendaftar Unit Pengurusan Fasiliti dan Perkhidmatan HEP (gambar) untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tarikh PRK.

"Saya memohon maaf kerana tiada hak untuk mengeluarkan apa-apa komen atau kenyataan berkenaan pemilihan MPP ini. Mohon rujuk segala notis yang akan atau dikeluarkan jika ada. Terima kasih," kata beliau ringkas melalui laman sosial Facebook.

Pilihanraya kampus merupakan penganjuran yang dinanti-nantikan oleh kebanyakan mahasiswa di seluruh kampus kerana ia bertujuan memilih kepimpinan tertinggi di peringkat mahasiswa dalam kabinet Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). - Usimkini

No comments:

Post a Comment