Wednesday, September 19, 2012

Isu MUET: NC umum pelajar MUET Tahap 2 layak bergraduasi

[KEMASKINI] 18 Sept, Nilai - Berita baik akhirnya diterima oleh kumpulan pelajar yang telah selesai pengajian sesi lepas apabila Naib Canselor USIM, Prof. Dato' Dr. Muhammad Muda memaklumkan semua pelajar yang mendapat MUET Tahap 2 layak untuk bergraduasi dan diberi peluang untuk menyertai majlis konvokesyen akan datang.

Pengumuman itu dibuat ketika Majlis Naib Canselor Bertemu Mahasiswa di Dewan Kuliah Pusat 3, malam tadi.

Makluman tersebut memberi kelegaan kepada ramai pelajar, terutamanya yang masih tidak melepasi MUET Tahap 3 yang sebelum ini menjadi syarat utama untuk bergraduasi, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat Senat yang terbaru.

Majlis konvokesyen USIM dijangkakan akan diadakan pada hujung bulan November depan. Isu syarat MUET untuk bergraduasi sebelum ini cukup hangat diperkatakan di kalangan pelajar senior yang tersekat untuk meneruskan proses graduasi dan mendapatkan transkrip akademik mereka.

Walau bagaimanapun, Dato' NC mengingatkan bahawa pihak pengurusan Universiti sentiasa mengharapkan agar pelajar terus berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk melepasi syarat tersebut kerana kelonggaran kali ini berkemungkinan hanya untuk pelajar senior sebelum ini sahaja dan yang terakhir akan diberikan.

Dalam penerangan lanjut NC, beliau bersama-sama Timbalan Naib Canselor (Akademik) akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat dengan pelajar tahun 4 sesi akademik kali ini bagi membincangkan rangka prospek dan kerjaya masa hadapan pelajar.

Hal ini termasuk membincangkan hasil usaha pelajar dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) yang banyak menghasilkan projek dan produk bermutu tetapi tidak dikomersialkan dengan baik.

Dalam majlis itu juga, beberapa pengumuman dan sesi penerangan beberapa isu juga dibentangkan oleh Naib Canselor. Antaranya, isu pembangunan kampus seperti pembinaan kolej kediaman di dalam kampus yang kedua dan pembangunan prasarana fakulti-fakulti.

Tinjauan krew Usimkini yang mengikuti sesi majlis tersebut mendapati, kebanyakan soalan yang diutarakan oleh pelajar ketika sesi dialog berkisar mengenai isu-isu kebajikan dan kewangan seperti bayaran yuran antarabangsa, pengurusan Usim Tijarah dan hal ehwal kolej kediaman. 

Meskipun kehadiran pelajar sedikit mengecewakan dan banyak kerusi kosong dengan anggaran kira-kira 180 orang sahaja yang hadir, namun majlis tetap diteruskan dengan lancar. - Usimkini

No comments:

Post a Comment