Monday, September 24, 2012

Poster kempen calon PRK disabotaj

24 Sept, Nilai - Fasa kempen bagi pilihan raya kampus untuk Pemilihan MPP 2012 dicemari dengan insiden yang kurang demokratik apabila sebahagian pasukan penyokong bagi calon yang bertanding mendakwa, poster-poster yang digantung telah dibuang oleh pihak tertentu awal pagi semalam.

Menurut Basri, wakil penyokong bagi calon umum no.2, Razif Fuad, kebanyakan poster yang digantung malam semalam di kawasan tumpuan utama seperti PKP dan foyer fakulti-fakulti telah diturunkan oleh pihak tertentu.

"Kami hanya menyedari poster tersebut tiada bila hadir ke kampus pagi tadi. Semua tiada. Hanya saki-baki poster yang berada di sudut terpencil masih ada," ujarnya kepada wakil Usimkini tengah hari tadi.

Difahamkan, beberapa kumpulan penyokong calon kerusi umum dan fakulti mengambil peluang untuk menggantungkan poster mereka sendiri di kawasan sekitar kampus dan kolej kediaman setelah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pemilihan.

Walau bagaimanapun, insiden menurunkan poster secara mengejut ini cukup dikesali mereka sebaik sahaja menyedari semua poster hilang.

Seorang pencadang bagi calon, Hafizullah memberitahu dalam temubual ringkas, bahawa tindakan pihak terbabit yang seolah-olah mensabotaj calon adalah satu tindakan yang menafikan hak calon yang bertanding.

"Dalam peraturan kempen tidak menjadi satu kesalahan untuk mana-mana calon dan penyokongnya menggantung poster di tempat-tempat yang dibenarkan, setelah poster dan risalah mereka itu mendapat kebenaran dan pengesahan pegawai Jawatankuasa Pemilihan.

Ini bukan menuduh sesiapa, tetapi jika ianya bertujuan untuk menafikan hak kempen calon, maka ia seolah-olah membuktikan demokrasi kampus dalam pemilihan MPP masih lagi retorik dan hanya untuk mempermainkan pelajar semata-mata," katanya.

Beliau turut menegaskan, poster kempen akan terus dinaikkan selagi mana tidak berlanggaran dengan peraturan pilihan raya kampus.

Krew Usimkini cuba mendapatkan respon lanjut daripada beberapa calon yang bertanding dalam hal ini, namun semua menyerahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan untuk memberi respon lanjut.

Seorang penyokong dari calon fakulti FSU kemudiannya mengirimkan mesej berikut kepada Usimkini, yang menurutnya, diperoleh daripada Pegawai Jawatankuasa Pemilihan yang juga pegawai HEP, Encik Nasrul Hakim.

"Tiada sebarang penjelasan terhadap dakwaan tersebut kerana tiada arahan sebegitu (untuk menurunkan poster calon) dikeluarkan daripada Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, atau Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP 2012.

Sekiranya wujud keterangan tentang pelakunya, sila kemukakan secara bertulis untuk tindakan lanjut Bahagian Undang-undang. Terima kasih."

Wakil jentera HEP setakat dimaklumkan, masih belum memberi apa-apa respon dalam hal ini. Tiada bantahan bertulis dikemukakan dan tiada sebarang lanjut dibuat oleh pihak yang berkaitan.

Kempen poster daripada calon sendiri sama ada secara bercetak mahupun elektronik antara peraturan pilihan raya kampus yang dibenarkan dengan syarat mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan.

Sehingga jam 8.00 malam tadi, suasana kampus masih dalam keadaan aman dengan perang poster kelihatan semakin meriah apabila beberapa calon pilihan di kerusi umum terutamanya, tampil dengan poster-poster yang menarik perhatian para pelajar. -Usimkini

No comments:

Post a Comment