22 Sept, Nilai - 30 orang calon yang bertanding dalam pilihan raya kampus (PRK) bagi Pemilihan MPP 2012 selesai membentangkan ucapan manifesto dalam majlis pengenalan calon, semalam.
Sesi tersebut yang menjadi pemula bagi fasa kempen calon-calon diadakan di ruang legar pejabat Kolej Kediaman 1 USIM dan dihadiri oleh tidak kurang 400 orang pelajar yang memenuhi ruang sehingga melimpah ke luar dewan makan.
Antara tetamu kehormat yang turut hadir termasuk Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Muhammad Muda, serta kedua-dua Timbalan Naib Canselor HEPA dan akademik. Turut kelihatan, timbalan dekan dari beberapa fakulti.
Sesi pengenalan calon yang bermula kira-kira jam 9.00 malam itu menampilkan semua calon yang bertanding kali ini bagi merebut kerusi dalam barisan kabinet MPP.
Setiap calon masing-masing diberi peluang selama 3 hingga 5 minit untuk menyampaikan ucapan manifesto dan memperkenalkan diri kepada semua hadirin. Kebanyakan calon memperjuangkan misi kepimpinan yang sama, seperti kebajikan mahasiswa, pembangunan ilmu dan memajukan hal ehwal akademik.
Sesi pengenalan tersebut yang dipengerusikan oleh Encik Safwan, pensyarah Bahasa Arab.
Sambutan pelajar yang hadir pada majlis tersebut sangat menggalakkan. Bunyi sorak dan tepukan diberikan ketika calon-calon pilihan mereka tampil memberikan ucapan bersemangat dan menarik minat mereka.
Antara calon-calon yang mencuri perhatian hadirin pada malam tadi adalah Mohamad Razif Fuad, calon umum dari FKP dan Nazmin Yusof dari FST yang juga bertanding kerusi umum.
Kebanyakan calon tampil menyampaikan ucapan yang bersifat umum dan tidak memberi sebarang jaminan. Sebaliknya, ucapan hampir semua calon lebih berkisar mengenai harapan dan kehendak mahasiswa.
Setakat ini, calon-calon dari 3 fakulti telah mengesahkan tempat dalam barisan kabinet MPP apabila menang tanpa bertanding, iaitu FEM, FPSK dan FPQS.
Manakala FST dan FSU diramal wujud persaingan sengit apabila melibatkan pertandingan 3 penjuru di fakulti masing-masing. Calon-calon dari kedua-kedua fakulti tersebut dikatakan mempunyai pengaruh yang kuat dan kredibiliti yang tersendiri.
Menurut seorang wakil jentera pelajar yang ditemui, proses pilihan raya kali ini masih lagi terkawal dan berjalan dalam keadaan baik. Walau bagaimanapun, beberapa langkah berjaga-jaga sudah mula diambil terutama ketika tempoh berkempen berlangsung, bagi mengelakkan sebarang kekecohan atau keadaan yang tidak diingini.
Dalam majlis pengenalan calon itu juga, kelihatan ramai pegawai keselamatan yang memantau keadaan di dalam dan luar kafeteria KK1.
Terdapat maklumat mengatakan, kehadiran wakil pihak berkuasa polis disedari ketika majlis berlangsung. Namun, krew Usimkini tidak dapat mengesahkan sumber maklumat tersebut.
Tempoh kempen yang bermula semalam sehingga Isnin ini dijangkakan akan berlangsung seperti biasa, memandangkan tiada sebarang perkumpulan pelajar dibenarkan untuk berkempen atau berarak melainkan dengan kelulusan Jawatankuasa Pemilihan. -Usimkini
No comments:
Post a Comment