Friday, September 21, 2012

PRK : Proses penamaan calon MPP berlangsung aman

21 Sept, Nilai - Proses penamaan calon berakhir kira-kira 3 petang tadi dengan satu lagi pertandingan bagi kerusi fakulti di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) bakal berlaku.

Menurut seorang jentera pelajar yang bertugas membantu pegawai Jawatankuasa Pemilihan, proses penamaan calon diteruskan dengan sesi bantahan dibuka selama setengah jam bermula 4 petang nanti.

Proses penamaan calon yang bermula lewat iaitu kira-kira 9.45 pagi tadi berlangsung dalam keadaan teratur dan lancar, tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Hampir kesemua calon yang bakal bertanding hadir bersama-sama pasukan penyokong dan pencadang masing-masing ke HEP pada sebelah pagi.

Setakat ini, empat fakulti disahkan akan berlaku pertandingan, masing-masing dengan persaingan 3 penjuru, iaitu Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) serta yang terkini, iaitu FKP.

Bagi calon-calon fakulti di FEM, FPQS, FPg dan FPSK, semua calon telah menang tanpa bertanding.

Manakala bagi kerusi umum menyaksikan 10 orang calon bakal merebut tempat dalam kabinet MPP akan datang. Seorang calon umum dari FSU dilaporkan menarik diri di saat akhir tanpa memaklumkan sebab penarikan diri kepada Jawatankuasa Pemilihan.

Seorang calon dari kampus Pandan juga dikatakan akan bertanding bagi kerusi umum.

Sumber Usimkini memberitahu, proses penamaan bagi calon-calon fakulti dari FKP pada sebelah pagi tadi tergendala seketika apabila dekan tidak meluluskan borang pencalonan mereka. Salah faham maklumat antara pengurusan fakulti dan Jawatankuasa Pemilihan MPP dikatakan menjadi punca masalah tersebut.

Walau bagaimanapun, isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik dan calon-calon tersebut dibenarkan untuk menghantar borang sebelum berakhir tempoh penamaan sebentar tadi. 

Semua calon dijangka akan hadir bersama pencadang dan penyokong pada pukul 4.30 petang ini untuk sesi taklimat dan cabutan undi bagi giliran untuk sesi pengenalan calon malam ini.

Dengan berakhirnya proses penamaan calon, tempoh berkempen akan bermula selama 4 hari bermula petang ini. -Usimkini

[KEMASKINI LANJUT AKAN MENYUSUL]

No comments:

Post a Comment