Thursday, September 13, 2012

HEP keluar notis, proses PRK mula 19 Sept

13 Sept, Nilai - Bahang pilihan raya kampus (PRK) kian dirasai apabila Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah mula mengeluarkan dan menampal notis rasmi bagi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM.

Tinjauan terkini krew Usimkini di beberapa fakulti dan kolej kediaman utama, antaranya Kolej Kediaman 1, KKSI dan KKDJ mendapati Notis Pemilihan MPP bagi sesi 2012 mula ditampal di papan kenyataan utama kolej dan fakulti

Notis tersebut antara lain menyatakan, makluman proses pemilihan MPP adalah berdasarkan peruntukan dalam Peraturan 11, Peraturan Universiti Sains Islam Malaysia (Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar).

Bagi proses pendaftaran calon untuk kampus Nilai, proses tersebut akan dijalankan pada 19 dan 20 September 2012, seawal jam 8.00 pagi sehingga 4.00 petang bertempat di Bilik Mesyuarat Persatuan Pelajar, Bangunan HEP.

Manakala bagi penamaan calon, proses akan dilakukan pada hari Jumaat, 21 September 2012 dari jam 9.00 pagi sehingga jam 3.00 petang, di Bilik Mesyuarat Utama HEP.

Tempoh bantahan bagi mana-mana penamaan calon pula diberi selama 30 minit bermula jam 4.00 petang hari yang sama, dengan menggunakan sistem e-Voting.

Notis yang ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (HEPA) selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MPP itu juga memaklumkan tawaran kepada mana-mana pelajar yang berminat untuk bertanding agar mendapatkan Buku Peraturan Pemilihan MPP 2011 pada hari pendaftaran calon.

Setakat ini, tarikh rasmi bagi hari pengundian untuk Pemilihan MPP 2012 adalah 25 September, hari Selasa bermula 9.00 pagi hingga 5.00 petang. -Usimkini

No comments:

Post a Comment