Wednesday, September 19, 2012

PRK: Pendaftaran calon bermula hari ini

19 Sept, Nilai - Proses awal pilihan raya kampus bagi Pemilihan MPP USIM sesi 2012 bermula hari ini apabila sesi pendaftaran calon dibuka seawal jam 9.00 pagi tadi.

Tinjauan wakil Usimkini ke Bangunan Hal Ehwal Pelajar (HEP) tengah hari tadi mendapati suasana di ruang legar tingkat bawah dipenuhi dengan pelajar yang hadir untuk menguruskan proses pendaftaran calon yang dijalankan di Bilik Mesyuarat Persatuan.

Menurut seorang wakil petugas pelajar Jawatankuasa Pemilihan, setakat ini seramai 12 orang telah selamat mendaftarkan nama mereka sebagai calon yang akan bertanding.

Sesi pendaftaran melibatkan bayaran proses sebanyak RM20 sebagai wang cagaran Borang Penamaan Calon. Pelajar-pelajar yang mendaftar diminta untuk memasukkan butiran peribadi mereka ke dalam sistem e-Undi dan mengambil gambar sebagai rekod.

Kebanyakan pelajar yang ingin bertanding hadir bersama-sama dengan pencadang dan penyokong masing-masing. Menurut peraturan terbaru, setiap pencalonan perlu disokong oleh dua orang penyokong dan seorang pencadang. Ia berbeza berbanding sesi lepas yang mensyaratkan 5 orang sebagai penyokong untuk setiap calon.

Hasil pemerhatian dan tinjauan rambang krew Usimkini mendapati, proses pendaftaran calon pada hari ini turut dihadiri oleh mantan pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar, termasuk bekas Yang Dipertua sesi lepas saudara Ibrahim Hussin.

Usimkini dimaklumkan, beberapa calon dilihat hadir mendaftar dengan ditemani oleh bekas MPP terdahulu yang menjadi pencadang mereka. Beberapa bekas pimpinan JAKSA dan sekretariat fakulti juga hadir untuk mendaftarkan diri sebagai calon.

Proses pendaftaran akan diteruskan sehingga petang ini dan akan berakhir petang esok. Manakala proses penamaan calon akan diadakan pada hari Jumaat ini, disusuli dengan pembentangan manifesto dalam sesi pengenalan calon pada sebelah malam hari yang sama. -Usimkini

No comments:

Post a Comment