Friday, September 07, 2012

"Graduasi hanya untuk MUET Band 3 "- NC

Nilai, 7 Sept - Keputusan Majlis Senat adalah kekal. Begitu antara penegasan yang dinyatakan oleh pimpinan pentadbiran Universiti diketuai oleh Prof. Dr. Muhammad Muda kepada sekumpulan pelajar yang mengadakan pertemuan dengan mereka, kelmarin.

Pertemuan tersebut dihadiri oleh sembilan orang pelajar dari beberapa fakulti yang menemui Naib Canselor dalam satu perbincangan tertutup.

Pertemuan itu juga dihadiri oleh Prof. Musa Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Pengantarabangsaan), beberapa orang dekan fakulti serta pegawai kanan daripada Unit Bahasa dan Bahagian Canselori. 

Menurut seorang wakil pelajar dari FEM, Nurul Mu'azzah Roalli, pertemuan tersebut bertujuan untuk membuat rayuan terhadap keputusan Senat yang hanya membenarkan pelajar yang melepasi MUET tahap 3 sahaja yang layak untuk bergraduasi.

Menurutnya, beberapa justifikasi telah dibawa kepada pihak pengurusan Universiti untuk dipertimbangkan. Dalam permohonan rayuan tersebut, tiga implikasi utama yang dihadapi pelajar yang tidak dibenarkan bergraduasi telah dikemukakan - kesukaran untuk memohon kerjaya tetap, isu pinjaman PTPTN yang perlu dijelaskan selepas enam bulan tamat pengajian dan membantutkan pelajar yang berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana.

"Isu utama adalah transkrip disekat daripada dikeluarkan kepada pelajar. Itu suatu yang menyulitkan, selepas  4 tahun pengajian tetapi tidak berpeluang untuk mendapatkan transkrip akademik yang penting bagi semua pelajar," ulasnya dalam suatu kenyataan di laman sosial Facebook.

Beliau turut memaklumkan beberapa respon daripada NC sebaik selesai mendengar permohonan rayuan mereka.

Antaranya, penegasan peraturan polisi bergraduasi dengan syarat Band 3 adalah kekal sepertimana diputuskan dalam mesyuarat Senat. Menurut beliau, sekiranya kelonggaran masih diberikan kali ini, ia akan memberi suatu keputusan yang tidak adil kepada pelajar yang telah melepasi syarat Band 3.

Tambahan lagi dalam kenyataan balas tersebut, sudah 9 kali kelonggaran diberikan dan ia adalah tempoh yang lama diberikan kepada pelajar untuk membantu bersama-sama pihak Universiti memartabatkan Bahasa Inggeris, dan menaikkan imej graduan Islam.

Pelbagai usaha juga telah diadakan untuk membantu pelajar dalam meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris seperti ELSP, BI 3 dan program pengantarabangsaan. 

Hasil pertemuan tersebut, beberapa alternatif telah diberikan oleh pihak pentadbiran Universiti bagi mencukupkan syarat bergraduasi. 

Pertama, pelajar boleh mengambil ujian alternatif kepada MUET, iaitu IELTS dan TOEFL kerana kekerapan ujian yang dijalankan.

Kedua, kelas intensif bahasa akan diadakan sekitar bulan November untuk membantu mana-mana pelajar yang ingin melepasi MUET band 3.

Ketiga, sekiranya dalam masa dua tahun pelajar masih belum juga melepasi MUET band 3, pelajar terbabit perlu hadir ke kelas bahasa inggeris dan terus memohon transkrip.

Keempat, bagi mana-mana pelajar yang telah melepasi syarat MUET walaupun setelah tamat upacara konvokesyen, pelajar terbabit boleh terus memaklumkan kepada Bahagian Akademik untuk mengeluarkan transkrip yang sah dan dibenarkan untuk bergraduasi pada majlis konvokesyen yang berikutnya.

Nurul Muazzah dalam kenyataan akhir beliau juga menyatakan harapan di peringkat wakil kumpulan pelajar terbabit yang mengharapkan perubahan keputusan mesyuarat Senat berhubung isu tersebut. Difahamkan, mesyuarat Senat yang seterusnya akan diadakan pada Oktober depan.

Isu MUET Band 3 sebagai syarat bergraduasi kembali hangat diperkatakan berikutan lebih 400 pelajar sesi akademik lepas tidak dibenarkan untuk bergraduasi pada upacara konvokesyen USIM yang dijadualkan pada akhir November depan. -Usimkini

No comments:

Post a Comment