Sunday, June 08, 2014

Teka-Teki Rencana 'Murahan'

Hasil 'terjahan mengejut' USIMKini menggunakan rencana rambang Majlis Cinta Rasul menunjukkan tahap mentaliti mahasiswa USIM dan kecaknaan mahasiswa dengan isu semasa. Kajian yang dijalankan bersempena 'USIMKini Kembali' ini penting bagi mengenalpasti kelompangan yang wujud dalam masyarakat mahasiswa USIM pada hari ini.

Data berikut adalah perbandingan antara rencana-rencana USIMKini dalam tempoh seminggu lalu menggunakan medium penyebaran yang sama bagi setiap rencana yang keluarkan tanpa ada beza. Data yang diperolehi adalah seperti berikut.


Dalam tempoh 6 jam selepas dimuatnaik, rencana kontroversi Majlis Cinta Rasul mencapai lebih 1000 capaian berbanding isu-isu lokal universiti lain. Data yang lebih tepat boleh dilihat pada jumlah hit di blog USIMKini yang mencatatkan 689 hit berbanding mana-mana pos terkini lain.

Kajian krew USIMKini melihat kepada beberapa perkara selain data di atas, antaranya ialah komentar pengunjung USIMKini, respon balas yang berbentuk positif dan negatif, keyakinan masyarakat terhadap USIMKini, kebolehpasaran rencana, kumpulan sasaran, mentaliti masyarakat siswa, kecaknaan terhadap isu, dan beberapa faktor lain berdasarkan data yang kami perolehi.

Antara komentar, adalah kekesalan dengan kredibiti dan kesahihan rencana tentang Majlis Cinta Rasul tersebut. Antara lain menyebut tentang rencana fitnah dan melaga-lagakan. Ada juga komentar yang menyifatkan USIMKini mula menjadi tabloid murahan, bahkan tidak kurang juga membandingkan USIMKini dengan media alternatif lain.

Krew USIMKini mengakui bahawa terdapat kesilapan fakta dan isu yang disengajakan dan diputarbelitkan dalam artikel Majlis Cinta Rasul semata-mata untuk tujuan kajian ini. Rencana tersebut dipadamkan setelah data dalam tempoh 12 jam diperolehi. Salah satu kajian yang dijalankan oleh salah seorang pensyarah Universiti Malaya menunjukkan 70% daripada keputusan PRU-12 adalah dipengaruhi oleh maklumat-maklumat daripada blog. Malangnya kajian secara khusus untuk mahasiswa tidak dijalankan secara terperinci.

Sebagai media alternatif yang menjadi rujukan mahasiswa, USIMKini sedar akan kepentingan menyediakan bahan yang segar, berkualiti dan sahih. Justeru berdasarkan data-data yang kami perolehi, langkah pencerahan dan pendidikan melalui media alternatif menjadi lebih berfokus dan lebih berkesan.

USIMKini
Telus - Berani - Benar

No comments:

Post a Comment