Friday, June 06, 2014

Kenyataan Bendahari Majlis Perwakilan Pelajar

  1. Sepanjang permulaan kami terpilih sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar USIM 2013/2014, antara isu yang kami hadapi ialah mengenai Jabatan Bendahari. Isu ini berkaitan dengan penahanan pelajar daripada mencetak slip peperiksaan akibat gagal melunaskan hutang tertunggak. Perkara ini juga telah berlaku ketika MPP USIM 2012/2013 lagi.
  2. Semasa Peperiksaan Akhir Semester 1, Sesi Akademik 2013/2014 perkara ini telah berlaku. Pada ketika itu, pihak Jabatan Bendahari USIM telah menyekat mana-mana pelajar yang gagal melunaskan bayaran tertunggak untuk mencetak slip peperiksaan. Namun, atas perbincangan dengan Pegawai Bendahari, polisi yang ada yang membolehkan pelajar yang gagal mencetak slip peperiksaan ditangguhkan.
  3. Semasa pendaftaran Semester II, Sesi akademi 2013/2014, polisi penahanan pelajar daripada membuat pendaftaran kursus akibat gagal melunaskan hutang yang sedia ada telah dikuatkuasakan. Akibatnya, terdapat ramai pelajar yang gagal mendaftar secara atas talian bagi pendaftaran kursus bagi Semester II, Sesi akademi 2013/2014. Namun, atas perbincangan dengan pihak pentadbiran USIM, terdapat beberapa resolusi yang telah dikeluarkan oleh MPP USIM dan Pihak pentadbiran USIM (rujuk kenyataan MPP USIM 2013/2014 sebelum ini).
  4. Dalam beberapa pertemuan dengan Jawatankuasa Pengurusan Universiti ketika itu, antara perkara yang sering dibincangkan adalah mengenai isu hutang tertunggak pelajar yang gagal dilunaskan.
  5. Polisi penahanan pelajar yang gagal melunaskan hutang tertunggak bagi mencetak slip peperiksaan telah lama diperkenalkan, tetapi ianya tidak dapat dikuatkuasakan sepenuhnya kerana beberapa sebab.
  6. Setelah sekian lama, polisi yang lama akan dikuatkuasakan demi mengurangkan nilai hutang tertunggak pelajar yang buat masa sekarang merupakan antara yang tertinggi dalam IPTA. Pihak MPP dan Pentadbiran USIM juga telah kerap kali mengingatkan pelajar tentang polisi yang akan dikuatkuasakan oleh pihak Jabatan Bendahari.
  7. Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang saya rasakan perlu diperbaiki dan diperbetulkan oleh Jabatan Bendahari USIM sebelum menguatkuasakan perkara tersebut:
    1. Lejer pelajar yang lambat dikemaskini oleh Jabatan Bemdahari meskipun sudah lama pembayaran dibuat.
    2. Terdapat pelajar yang lambat menerima tajaan mahupun yang tidak menerima tajaan secara langsung dan ini menyebabkan pelajar tersebut tidak punyai kewangan yang kukuh berbanding mereka yang menerima.
    3. Polisi sebegini perlu mendapat kerjasama pihak HEP agar pelajar yang betul-betul mempunyai masalah kewangan dapat dibantu oleh pihak HEP.
  8. Akhirnya, masalah ini perlu diselesaikan secara 'win-win situation' dengan pelajar yang betul-betul mempunyai masalah kewangan dapat dibantu dan pihak Bendahari USIM dapat mengurangkan jumlah hutang tertunggak secara maksima. Pelajar yang baik adalah pelajar yang mampu mengendalikan  kewangan peribadinya secara teratur dan meletakkan sesuatu tempat pada asalnya. Tajaan atau biasiswa pelajaran adalah untuk digunakan membiayai kos pelajaran dan bukan perkara lain.
Kenyataan ini adalah dikeluarkan oleh Saudara Fathi Saiful Bahrin, Bendahari MPP USIM berikutan isu yuran.

No comments:

Post a Comment