Thursday, June 05, 2014

Isu Yuran: Masuk Peperiksaan Dengan Bersyarat

Rundingan Majlis Perwakilan Pelajar bersama Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa berkenaan isu yuran dilihat membuahkan hasil yang positif. Menurut kenyataan daripada Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar, saudara Azmil Abu Seman, pihak pentadbiran universiti bersetuju untuk memberikan pelepasan dan membenarkan semua mahasiswa yang berhutang untuk menduduki peperiksaan akhir semester ini berdasarkan syarat yang telah dibincangkan.

Beliau juga menaruh harapan kepada mahasiswa agar mengikuti syarat-syarat yang dipersetujui antara MPP dan pihak pentadbiran demi menyelesaikan masalah yang dihadapi bersama.

Menurut sumber, jumlah hutang terkini yang tertunggak mencecah sebanyak RM 6.5 juta. Jumlah itu memberi impak yang sangat besar kepada pengurusan universiti dalam mengurustadbir USIM. Walaubagaimanapun, jumlah itu berkurangan sebanyak 30% apabila Jabatan Bendahari mengambil pendekatan memaklumkan tunggakan yuran kepada ibu bapa dan penjaga mahasiswa melalui Sistem Pesanan Ringkas pada pertengahan semester baru-baru ini.

Walaupun perkembangan terbaru dilihat memberi sedikit keselesaan kepada mahasiswa untuk menduduki peperiksaan akhir semester, namun pihak MPP masih belum mendedahkan syarat-syarat yang dipersetujui. Besar kemungkinan mereka mengharapkan agar mahasiswa turun ke sesi taklimat bagi kumpulan mahasiswa yang masih berhutang dan tidak boleh mencetak slip peperiksaan pada esok hari (Jumaat, 6 Jun), jam 3 petang di Dewan Senat, aras 3 bangunan Canselori.

Hasil siasatan krew USIMKini, kemungkinan besar mahasiswa yang gagal melangsaikan hutang sebelum pendaftaran semester 1 sesi pengajian 2014/2015 akan berhadapan dengan beberapa tindakan daripada Jabatan Bendahari. Antaranya:
  • Keputusan peperiksaan akhir semester disekat;
  • Keputusan peperiksaan akhir semester tidak dihantar kepada pembiaya pinjaman/biasiswa;
Menyebabkan:
  • Tidak dibenarkan mendaftar kursus pada semester 1 sesi pengajian 2014/2015
  • Tidak mendapat pembiayaan untuk semester tersebut.
Sekiranya benar tindakan ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Bendahari bagi memaksa mahasiswa melunaskan bayaran hutang, ianya dianggap drastik dan bakal menyebabkan lebih banyak masalah birokrasi akan berlaku pada pendaftaran semester akan datang, sekaligus merencatkan proses pembelajaran mahasiswa USIM khususnya yang mendapat pembiayaan daripada PTPTN.

USIMKini

No comments:

Post a Comment