Wednesday, June 04, 2014

Isu Yuran, Respon Mahasiswa

Berikutan isu yuran, USIMKini cuba mendapatkan pendapat daripada mahasiswa USIM tentang isu ini. Berdasarkan tinjauan rambang krew USIMKini, ramai mahasiswa yang belum melangsaikan hutang adalah tergolong dalam kumpulan ketiga, merujuk kepada tiga kumpulan seperti dalam kenyataan yang dikeluarkan MPP.

Antara isu yang diutarakan adalah sikap toleransi staf di Jabatan Bendahari yang tidak mahu bertolak ansur. Saudara Farhan, mahasiswa FST menyuarakan kekesalan beliau dengan staf Jabatan Bendahari kerana menolak permohonan beliau untuk melunaskan keseluruhan yuran sebelum semester baru dibuka walaupun disertakan bersama surat rasmi. Beliau kesal kerana staf tersebut cuma menyatakan bahawa mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana sistem menetapkan sedemikian.

Seorang lagi mahasiswa FST yang terlibat merasakan bahawa tidak sepatutnya staf Jabatan Bendahari memberi alasan mudah sebegitu tanpa ada jalan keluar melainkan terpaksa untuk tidak masuk peperiksaan sedangkan beliau cuma berhutang untuk semester ini sahaja. Beliau turut menggesa agar Jabatan Bendahari membentangkan sistem pengurusan baru yang lebih sistematik seperti yang dijanjikan dengan lebih cepat dan pantas demi menyelesaikan masalah yang saban semester tidak selesai.

Saudara Safwan dari FKP juga turut mengingatkan rakan-rakan yang ingin menangguhkan semester, sekiranya mereka memohon penangguhan semester dalam tempoh empat minggu selepas tarikh daftar kursus pengajian, mereka terpaksa membayar keseluruhan yuran, dan cuma 50% ditolak daripada yuran pengajian sastera.

Beliau yang pernah memohon penangguhan semester untuk isteri beliau terpaksa berhadapan dengan situasi sedemikian, bahkan bantahan beliau terhadap perkara yang berlaku menyebabkan beliau seolah-olah diugut dengan dihalang daripada memasuki peperiksaan akhir semester.

Ketika ditanya oleh pihak USIMKini, tentang cadangan penyelesaian yang lebih baik sama ada memotong yuran daripada akaun tajaan mahasiswa sama ada PTPTN, biasiswa, bantuan kerajaan dan sebagainya, atau diteruskan dengan cara mahasiswa membayar sendiri yuran pengajian, saudara Safwan berpendapat bahawa releven untuk dipotong terus dari wang tajaan sekiranya pihak Jabatan Bendahari boleh berlaku adil dalam pemotongan wang mahasiswa dan kemaskini yang berterusan dan lengkap dari Jabatan Bendahari untuk setiap transaksi.

Isu ini juga mendapat perhatian daripada mahasiswa UTM, Saudara Zulhafiz, apabila beliau mencadangkan agar USIM menggunakan sistem pengurusan kewangan seperti yang digunapakai di UTM, yang disifatkan beliau mudah, pantas, dan dikemaskini sentiasa. UTM bagaimanapun menggunakan perkhidmatan bank CIMB dalam menguruskan akaun universiti, manakala USIM menggunakan perkhidmatan Bank Islam Berhad.

Saudara Fathi, Bendahari Kehormat Majlis Perwakilan Pelajar USIM ketika diminta memberi respon terhadap sistem & pendekatan yang digunapakai oleh pihak Jabatan Bendahari bagaimanapun masih belum memberi respon terhadap isu yang berlaku.

Sehingga hari ini, masing-masing dilihat beralasan, berusaha melepaskan diri, dan saling menuding jari kepada pihak lain daripada saling bekerjasama dalam menyelesaikan masalah yuran, sama ada daripada pihak Jabatan Bendahari mahupun mahasiswa.

USIMKini

No comments:

Post a Comment