Thursday, September 25, 2014

Yuran Semester - Mahasiswa Ambilan Kedua 'Ditindas'?

Selepas seminggu kemasukan mahasiswa Tahun Satu ambilan kedua, USIMKini mendapat laporan tentang isu yuran yang melibatkan mahasiswa Tahun Satu ambilan kedua ini.

Menurut maklumat yang diterima, mahasiswa Tahun Satu ambilan kedua seramai lebih kurang 300 orang mengadu 'dipaksa' membayar keseluruhan yuran untuk semester pertama, yang berjumlah RM1900 secara keseluruhan pada hari pendaftaran tersebut, 17 September lalu.

Perkara ini dilihat sebagai sesuatu yang mencurigakan apabila warta yang dikeluarkan oleh Jabatan Bendahari membenarkan yuran dibayar sepenuhnya sehingga akhir semester tersebut, dan bukannya pada hari pertama pendaftaran.

Majlis Perwakilan Pelajar ketika dihubungi menjelaskan bahawa mereka tidak mendapat apa-apa maklumat tentang isu yang dihadapi oleh mereka yang terlibat. "Kami langsung tidak tahu menahu tentang perkembangan mahasiswa ambilan kedua. MPP tidak terlibat dengan program hari taaruf mereka. Yang menguruskan keseluruhan program pada hari tersebut adalah Pembimbing Rakan Sebaya (PRU)," jelas Azmil Abu Seman, YDP MPP USIM.

Merujuk kepada surat tawaran yang diterima oleh mahasiswa ambilan kedua ini, jelas dinyatakan supaya mahasiswa yang menerima tawaran supaya melunaskan keseluruhan yuran pengajian pada hari pendaftaran tersebut.

Krew USIMKini masih cuba mendapatkan maklumat yang jelas berkenaan isu ini.

Wednesday, September 17, 2014

Mansuh Peraturan Bawa Kenderaan Bukan Penyelesaian

Mesyuarat MPP bersama Jabatan Pembangunan & Pengurusan Fasiliti (JPPF) dan Timbalan Naib Canselor HEPA baru-baru ini mendapat respon apabila pihak HEP hari ini mengeluarkan sepucuk surat yang membenarkan mahasiswa Tahun 1 dan pelajar Tamhidi untuk membawa kenderaan ke kampus dan Kolej Kediaman masing-masing. Namun demikian, mahasiswa Tahun Satu dan pelajar Tamhidi ambilan seterusnya iaitu pada sesi 2015/2016 masih tidak dibenarkan membawa kenderaan ke kampus dan Kolej Kediaman.

Walaupun perkembangan ini disifatkan MPP sebagai satu berita gembira, namun kebanyakan mahasiswa melihat ianya sekadar untuk merabunkan mata dan meredakan kemarahan mahasiswa Tahun Satu khususnya yang mengalami kesukaran untuk menggunakan perkhidmatan bas seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Umum mengetahui bahawa isu bas ini sudah berlanjutan sejak beberapa tahun kebelakangan dan masih juga tidak selesai walaupun sudah beberapa generasi MPP USIM keluar masuk bilik mesyuarat menyuarakan tentang perkara ini. Hakikatnya mahasiswa seolah-olah putus harapan dengan perkhidmatan bas di USIM. MPP pula dilihat seolah-olah berjaya memenangi hati mahasiswa Tahun Satu dengan berjaya mendesak pihak pengurusan universiti memansuhkan peraturan tersebut.

"Kami tak kisah kalau tak nak bagi kami bawa kenderaan pun. Universiti segah USM pun tak benarkan student Tahun 1 bawa kenderaan. Banyak lagi universiti yang kenakan peraturan macam tu. Tapi tak apa lah sebab perkhidmatan bas mereka elok. Tak banyak kena komplen macam kita..." luah salah seorang mahasiswa FST.

Seorang mahasiswa Fakulti Syariah & Undang-undang, ketika ditanya pendapat berkenaan isu ini, beliau menyatakan bahawa sepatutnya MPP meletakkan satu bebanan dan syarat kepada pihak JKPU dan HEP atas keputusan untuk tidak membenarkan mahasiswa Tahun Satu dan pelajar Tamhidi sesi akan datang untuk membawa kenderaan. MPP tidak boleh terus selesa dan senang dengan sepucuk surat yang dianggap beliau sebagai usaha untuk mengaburkan isu utama iaitu kelemahan sistem pengurusan bas di USIM.

Sebagai alternatif, beliau turut mencadangkan agar MPP meminta senarai bas yang digunakan sepenuhnya untuk pengangkutan mahasiswa ke kampus dan kolej kediaman, dan MPP dinasihatkan supaya membentuk satu jawatankuasa untuk menyusun sendiri jadual perjalanan bas dari Kolej Kediaman ke kampus mengikut waktu yang juga ditetapkan oleh jawatankuasa tersebut.



Tuesday, September 16, 2014

Yuran LSP - Mahasiswa Bersuara

Kecewa dengan hasil mesyuarat MPP bersama JKPU dan PPT, mahasiswa mula bersuara. Tinjauan USIMKini melihat rata-rata mahasiswa tidak yakin masalah yuran LSP ini akan berjaya diselesaikan dengan baik dan menyenangkan hati kedua-dua belah pihak, terutamanya mahasiswa yang terasa dianiaya dengan kecuaian PPT.

Perkara ini dilihat berpunca dari rekod-rekod pihak pengurusan universiti dalam menyelesaikan masalah pengurusan dan konflik yang melibatkan mahasiswa tidak bertambah baik, malahan kebanyakan masalah itu tetap berulang setiap tahun.

"Sampai bila ingin menyalahkan sistem atas segala isu yang berlaku. Ramai yang sudah muak dengan jawapan yang diberikan. Masalah sistem namun mahasiswa yang terpaksa menanggung bebanan itu." Luah Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM, Muhammad Azmil Abu Seman. Beliau yang dilihat agak tertekan dengan isu bas yang belum lagi selesai turut mendesak pihak pentadbiran agar dapat membuat perancangan yang teratur, pantas, berintegriti dan sistematik agar isu-isu yang disifatkan sebagai 'lagenda' itu tidak berulang kembali.

"Jangan buat luka yang baru selagi luka yang lama belum sembuh sebaiknya," kata beliau.

Isu ini turut mendapat perhatian pimpinan-pimpinan mahasiswa lain. Mantan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i (JAKSA) Kolej Kediaman 1, Syamil Hafizi Mahzir turut meluahkan rasa kecewa beliau. "Ini sudah masuk kali ketiga dalam masa hanya setengah tahun timbul isu yang melibatkan duit pelajar dan semuanya disebabkan kecuaian pihak pengurusan universiti. Mungkin sekali hampir semua pelajar sekarang ini meragui ketelusan dan kecekapan, malah hilang kepercayaan kepada pihak pengurusan universiti dalam mengendalikan duit pelajar." Beliau turut mengungkitkan kecuaian pihak PPT untuk memaklumkan tentang bayaran penginapan semasa program. Beliau turut menyertakan hashtag seolah-olah menjangka satu demonstrasi mahasiswa sekali lagi sekiranya isu tidak diselesaikan dengan baik.

Exco Kelab Debat USIM, Alif Omar pula mengkritik tentang kelemahan pentadbiran USIM walaupun masih dalam proses pembangunan. Tambahan lagi, USIM mula dikenali oleh masyarakat. "Sekadar minta maaf secara terbuka takkan meredakan kemarahan pelajar." Ujar beliau sambil memohon pihak pentadbiran mencari alternatif lain untuk menyelesaikan masalah ini.

Presiden Syariah & Law Club, Abdul Alem pula menyatakan ada kemungkinan dan kelebihan kepada mahasiswa sekiranya difailkan saman kepada pihak pentadbiran USIM atas kecuaian yang disifatkan keterlaluan.

Timbalan Pengerusi 1 SPP FPQS, Sheikhul Muhaffizurrahman dengan kesal menulis, "Kami mahasiswa/i USIM diajar untuk mempunyai sistem yang kemas sehingga ke kolej kediaman (dalam pengurusan organisasi mahasiswa). Tetapi bagaimana boleh berlaku kepada pihak atasan sedemikian. Jangan disebabkan kelalaian itu menyebabkan mahasiswa/i sudah tidak percayakan jabatan-jabatan di USIM."

Isu yuran LSP yang dimaklumkan secara tiba-tiba selepas empat tahun berlalu berpunca daripada kelalaian dan kecuaian pihak PPT untuk menyerahkan senarai nama pelajar yang menyertai LSP kepada pihak Bendahari selama 4 tahun, yang akhirnya telah dikesan oleh Bahagian Audit Dalam USIM apabila wang sebanyak RM860,785 yang sepatutnya ada, tidak dapat dikesan.

Yuran LSP - Cadangan MPP ditolak

Keputusan mesyuarat MPP bersama JKPU yang diadakan petang semalam dilihat tidak membantu menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh Pusat Pengajian Teras berikutan caj yang dikenakan untuk penglibatan Program Pengukuhan Bahasa (LSP).

Dua cadangan awal daripada MPP untuk sama ada dihapuskan terus caj yuran LSP atau dikurangkan kadar caj yuran LSP langsung tidak diterima oleh pihak pentadbiran. Menurut maklumat yang diterima, pihak pentadbiran berkeras dengan bayaran itu dan menyifatkan bahawa cadangan untuk dimansuhkan atau dikurangkan itu sebagai tidak logik, dan mahasiswa tetap perlu membayar yuran tersebut walaupun diakui kesalahan makluman itu dari pihak PPT sendiri.

Dalam keadaan terdesak, MPP dilihat cuba memenangi hati mahasiswa apabila tetap menyediakan alternatif lain denan meminta PPT mengemaskini kenyataan di dalam e-Student agar lebih jelas dan mudah untuk difahami. Mereka juga menggesa pihak PPT agar membuat permohonan maaf secara terbuka (mengeluarkan kenyataan maaf di Estudent) kepada para mahasiswa yang terlibat. Ketiga, mencadangkan agar pembayaran caj tersebut boleh dibuat secara beransur-ansur. PPT juga diminta melampirkan hitam putih kos operasi LSP kepada MPP untuk dinilai, dan yang terakhir adalah meminta agar satu sesi dialog bersama PPT diadakan sekiranya perlu.

Sehingga kini, masih belum ada jawapan daripada PPT untuk cadangan alternatif daripada MPP.

USIMKini

Monday, September 15, 2014

Yuran LSP - Mesyuarat Tergempar MPP & JKPU

Berikutan isu yuran penglibatan LSP yang baru dikeluarkan notis oleh Pusat Pengajian Teras, Majlis Perwakilan Pelajar USIM akan mengadakan satu mesyuarat tergempar bersama Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Musa Ahmad dan Jawatankuasa Pengurusan Universiti bagi mendapatkan penjelasan dan penyelesaian berkaitan isu ini.

Naib Yang Di-Pertua 1 MPP, Azizi Alias (gambar) secara peribadi menyifatkan bahawa notis yang dikeluarkan tersebut tidak masuk akal sama sekali. Beliau bagaimanapun meminta agar mahasiswa bertenang dan menyerahkan hal ini kepada MPP terlebih dahulu.

Maklumat terkini yang diterima oleh pihak USIMKini mengesahkan bahawa mesyuarat tergempar bersama JKPU pada jam 8 pagi, 15 September seperti yang dimaklumkan oleh Saudara Azizi Alias itu dilewatkan hingga jam 6 petang hari yang sama. Walaubagaimanapun, menurut maklumat yang diterima, TNC HEPA, Profesor Dato' Dr. Mohamed Asin Dollah tidak dapat menghadiri mesyuarat tersebut disebabkan beliau masih lagi bercuti. 

Menurut lampiran caj yuran penglibatan pelajar, bayaran yang dikenakan oleh Pusat Pengajian Teras untuk Program Pengukuhan Bahasa tersebut adalah untuk perlu membuat penyediaan bahan dan modul, membayar pembekal dan lain-lain kos berdasarkan kepada jumlah keseluruhan pelajar yang mendaftar bagi setiap sesi kemasukan pelajar baru. .

Yuran LSP - Kelemahan Pengurusan

"Sudahlah buat waktu cuti, tinggal di Kolej Kediaman kena caj penginapan, pergi ALSP, ELSP kena beli buku program, akhirnya kena bayar juga semuanya. Kalau LSP tu jadikan pelajar makin mahir berbahasa, tentu ramai yang dapat lepas MUET lepas LSP. Tapi tak juga..." keluh seorang mahasiswa kepada pihak USIMKini.

Belum pun selesai isu bas yang mendera mahasiswa Tahun Satu, hari ini mahasiswa dikejutkan lagi dengan satu notis tentang bayaran yuran Program Pengukuhan Bahasa (Language Support Programme) yang diwajibkan kepada semua mahasiswa USIM.

Program Pengukuhan Bahasa yang dikelolakan oleh Pusat Pengajian Teras (PPT) sebanyak tiga siri untuk setiap mahasiswa itu dijalankan untuk membiasakan mahasiswa USIM dengan sistem pembelajaran yang menggunapakai Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab sebagai bahasa perantara.

Apa yang mengejutkan mahasiswa adalah notis yang dikeluarkan pada 12 September 2014 tersebut ditujukan kepada semua mahasiswa kemasukan sesi 2010/2011 hingga 2013/2014. Antara kenyataan yang terkandung adalah "program ini mengenakan caj yuran penglibatan ke atas setiap pelajar yang terlibat tanpa mengambil kira status kehadiran pelajar."

Lebih mengejutkan mahasiswa, keputusan mesyuarat yang dikatakan dipersetujui bersama Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) itu sudah dikeluarkan sejak tahun 2011 lagi, namun tidak dimaklumkan walau sepatah pun kepada mahasiswa sebelum ini. Menurut lampiran tersebut, keputusan tersebut antaranya diluluskan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa pada ketika itu, Profesor Dato' Dr. Musa Ahmad, dan juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Profesor Dato' Dr. Mohamed Asin Dollah.

Mahasiswa yang ditemui rata-rata terkejut dan tidak dapat menerima keputusan ini. Mereka menyifatkan ianya sebagai satu kecuaian dan kelemahan yang besar apabila tidak memaklumkan tentang yuran tersebut lebih awal. Bahkan mahasiswa ambilan 2010/2011 kini sudahpun berada di tahun akhir pengajian dan baru dimaklumkan walaupun sudah lebih tiga tahun berlalu.



Notis Yuran LSP: Klik di sini
Caj-Caj Yuran: Klik di sini

USIMKini

Monday, September 08, 2014

Isu Bas Berulang Lagi

Dalam kesibukan dan keterujaan kemasukan pelajar baru dan kemasukan semester baharu, isu-isu yang sentiasa berulang menjadi satu rutin bagi mahasiswa USIM. Hari pertama perkuliahan, sudah kedengaran beberapa mahasiswa mula merungut tentang jadual bas yang tidak konsisten.

Kebanyakan mahasiswa Tahun 1 bekas pelajar Tamhidi USIM meluahkan rasa tidak puas hati dengan perkhidmatan bas yang disediakan. Ketika ditanya oleh krew USIMKini, mereka mengatakan masih mampu bersabar dan mengharapkan yang terbaik daripada Jabatan Pembangunan & Pengurusan Fasiliti USIM (JPPF).

Walaubagaimanapun, mahasiswa Tahun 2 dan ke atas meluahkan rasa kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh JPPF memandangkan isu bas sudah berlarutan dari tahun ke tahun dan tidak pernah selesai.

Majlis Perwakilan Pelajar dilihat mengambil berat dengan luahan mahasiswa dengan meminta mahasiswa yang terlibat untuk mengambil gambar yang berkaitan dan menghantarnya kepada MPP untuk susulan lanjut bersama pihak pentadbiran. Isu bas ini juga dilihat sebagai satu peluang kepada MPP untuk memansuhkan peraturan yang dikenakan oleh pihak pengurusan universiti kepada mahasiswa Tahun 1 yang tidak dibenarkan membawa kenderaan ke kampus.

"Pihak MPP juga akan bertegas dengan keputusan kami untuk membatalkan kembali peraturan tidak membenarkan pelajar Tahun 1 dari membawa kenderaan," respon saudara Azizi Alias, Naib Yang Di-Pertua 1 MPP.

Saudara Azmil Abu Seman, YDP MPP pula memaklumkan bahawa satu mesyuarat bersama MPP, JPPF, dan TNC HEPA pula akan diadakan pada esok hari bagi membincangkan tentang pergerakan bas.

Namun demikian, berdasarkan hasil daripada mesyuarat-mesyuarat sebelumnya yang diadakan oleh MPP bersama pihak pentadbiran sejak beberapa tahun yang lalu tidak menunjukkan satu kesan yang konsisten dan berterusan. Langkah yang diambil seolah-olah hanya meredakan kemarahan mahasiswa untuk satu tempoh masa, dan kemudiannya perkara yang sama berulang lagi.

Hal ini menyebabkan ramai mahasiswa lebih selesa menggunakan kenderaan sendiri berbanding menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh USIM, yang antara objektif pencapaian kualitinya adalah 'menyediakan perkhidmatan dan produk berkualiti yang memenuhi kepuasan pelanggan berdasarkan skop yang diluluskan dengan purata markah melebuhi 60%', namun hakikatnya jauh panggang dari api.

"Buat apa tiap-tiap tahun keluarkan jadual bas berlainan? Kolej Kediaman ada sebanyak itu juga. Waktu kuliah mula jam 8 pagi habis jam 10 malam juga." Luah salah seorang pelajar.