Wednesday, September 17, 2014

Mansuh Peraturan Bawa Kenderaan Bukan Penyelesaian

Mesyuarat MPP bersama Jabatan Pembangunan & Pengurusan Fasiliti (JPPF) dan Timbalan Naib Canselor HEPA baru-baru ini mendapat respon apabila pihak HEP hari ini mengeluarkan sepucuk surat yang membenarkan mahasiswa Tahun 1 dan pelajar Tamhidi untuk membawa kenderaan ke kampus dan Kolej Kediaman masing-masing. Namun demikian, mahasiswa Tahun Satu dan pelajar Tamhidi ambilan seterusnya iaitu pada sesi 2015/2016 masih tidak dibenarkan membawa kenderaan ke kampus dan Kolej Kediaman.

Walaupun perkembangan ini disifatkan MPP sebagai satu berita gembira, namun kebanyakan mahasiswa melihat ianya sekadar untuk merabunkan mata dan meredakan kemarahan mahasiswa Tahun Satu khususnya yang mengalami kesukaran untuk menggunakan perkhidmatan bas seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Umum mengetahui bahawa isu bas ini sudah berlanjutan sejak beberapa tahun kebelakangan dan masih juga tidak selesai walaupun sudah beberapa generasi MPP USIM keluar masuk bilik mesyuarat menyuarakan tentang perkara ini. Hakikatnya mahasiswa seolah-olah putus harapan dengan perkhidmatan bas di USIM. MPP pula dilihat seolah-olah berjaya memenangi hati mahasiswa Tahun Satu dengan berjaya mendesak pihak pengurusan universiti memansuhkan peraturan tersebut.

"Kami tak kisah kalau tak nak bagi kami bawa kenderaan pun. Universiti segah USM pun tak benarkan student Tahun 1 bawa kenderaan. Banyak lagi universiti yang kenakan peraturan macam tu. Tapi tak apa lah sebab perkhidmatan bas mereka elok. Tak banyak kena komplen macam kita..." luah salah seorang mahasiswa FST.

Seorang mahasiswa Fakulti Syariah & Undang-undang, ketika ditanya pendapat berkenaan isu ini, beliau menyatakan bahawa sepatutnya MPP meletakkan satu bebanan dan syarat kepada pihak JKPU dan HEP atas keputusan untuk tidak membenarkan mahasiswa Tahun Satu dan pelajar Tamhidi sesi akan datang untuk membawa kenderaan. MPP tidak boleh terus selesa dan senang dengan sepucuk surat yang dianggap beliau sebagai usaha untuk mengaburkan isu utama iaitu kelemahan sistem pengurusan bas di USIM.

Sebagai alternatif, beliau turut mencadangkan agar MPP meminta senarai bas yang digunakan sepenuhnya untuk pengangkutan mahasiswa ke kampus dan kolej kediaman, dan MPP dinasihatkan supaya membentuk satu jawatankuasa untuk menyusun sendiri jadual perjalanan bas dari Kolej Kediaman ke kampus mengikut waktu yang juga ditetapkan oleh jawatankuasa tersebut.



1 comment:

  1. Ada pro dan contra juga berkenaan dengan pemansuhan peraturan bawa kenderaan. Dan isu bas pula tak pernah selesai dengan kelewatan lagi satu pula tidak mengikut jadual yang ditetapkan. Janji datang pukul 9 tapi datang 9.30 maka yang menunggu ni mesti naik tension lagi budak-budak yang sentiasa mengikuti masa dengan tepat.

    Nak perbanyakkan bas pula takut USIM tak mampu pula dengan kos penyelenggaraannya lagi, Diharap masa akan datang cuba memikirkan jalan terbaik untuk mengatasi perkara ini.

    Buat masa ini, pemansuhan kenderaan mungkin adalah jalan terbaik sebelum kembali kepada peraturan sebelumnya sekiranya ada penambahbaikan.

    Contranya kalau dilihat pelajar tahun 1 masih baru lagi dalam suasana di USIM dan juga di Nilai yang boleh dikatakan tempat yang sibuk. Boleh jadi berlakunya pelajar tahun ni mudah ditimpa kecelakaan lagi-lagi melibatkan kematian seperti apa yang berlaku pelajar tahun 1 dahulu di atas jalan raya.

    ReplyDelete