Saturday, August 31, 2013

USIM Gondol 7 Pingat dan Anugerah Utama di NRIC 2013

USIM GONDOL 7 PINGAT DAN ANUGERAH UTAMA DI NOVEL RESEARCH & INNOVATION COMPETITION (NRIC) 2013

Sumber: http://tinyurl.com/qgb2vvj

PULAU PINANG, 22 Ogos – Sebanyak sepuluh (10) penyertaan projek penyelidikan daripada pelajar Prasiswazah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Novel Research & Innovation Competition (NRIC) 2013 anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) bermula pada 20 sehingga 22 Ogos 2013.

USIM mempertaruhkan tujuh (7) projek dalam kategori Social Transformation and Creative Arts dan tiga (3) produk dalam kategori Life Sciences telah membawa keceriaan kepada kontinjen penyelidik muda USIM ini yang diketuai oleh Pensyarah Pengiring, Prof Madya Dr. Norita Md Norwawi, Timbalan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi (FST).

Sebanyak tujuh (7) produk USIM telah berjaya menggondol pingat dalam NRIC yang berlangsung dari lima (5) produk berjaya merangkul pingat gangsa; E-Gelandangan, Module Laboratory Innovation Centre of Islamic Science Studies (ICISS), Clothline Cover (CLC), e-Mentoring dan Master Pie. Satu (1) pingat perak melalui produk Bambusia Pasta dan pingat emas bagi produk Easy Jawi. Produk Easy Jawi juga dinobatkan sebagai pemenang anugerah produk bagi Social Impact Policy Award dengan membawa pulang wang tunai RM 3000.00 dan sijil penghargaan.

Ketua Kumpulan Easy Jawi, Saudari Wan Nursyahirah Ramli, Pelajar Fakulti Quran dan Sunnah (FPQS) berkata “Produk ini  akan membantu kanak-kanak disleksia untuk belajar Jawi dengan lebih mudah. Kanak-kanak disleksia bukanlah cacat atau tidak pandai, tetapi sesetengah mereka mempunyai kesukaran untuk menyebut perkataan yang panjang, dan ada yang sukar mempelajari turutan seperti nama bulan, dan sifir. Bagi membantu pembacaan huruf dalam rumi sememangnya telah ada, tetapi bagi Jawi masih belum ada. Oleh itu, dari sini tercetusnya idea kami menggerakkan projek ini”.

Penyertaan sulung pelajar USIM dalam Community Research and Innovation Competition (CoRIC) dengan produk ‘Isee’ iaitu penciptaan kompas bagi kegunaan insan yang cacat penglihatan (OKU) juga amat dibanggakan apabila mendapat tempat ketiga dan saudari Riza Asma ‘a Saari pula dipilih sebagai Best Presenter CoRIC. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM 1000.00 dan RM 900.00 beserta sijil penghargaan.

NRIC pada kali ini yang bertemakan Bridging Firsts Class Research and Innovation Through Sustainability Environment mula dianjurkan sejak 2007 dan telah menunjukkan peningkatan penyertaan pasukan daripada IPT dalam dan luar negara serta kualiti projek penyelidikan. Sebanyak 132 projek penyelidikan NRIC dan 13 projek CoRIC telah menyertai pada tahun ini.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dato’ Omar Osman, Naib Canselor USM. Turut hadir bagi meraikan dan tanda sokongan kepada para peserta USIM adalah YBhg. Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail.


Disediakan oleh :                                   
Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar StraComm

No comments:

Post a Comment