Monday, June 22, 2015

Jawapan Naib Canselor USIM - Artikel USIM: Antara Gagasan Akli Nakli dan Kebobrokan Sistem

Profesor Datuk Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM

Assalamualaikum anakanda Irsyad,

Tulisan anakanda bertajuk “USIM: Antara Gagasan Akli Nakli dan Kebobrokan Sistem”, ayahanda baca dengan penuh objektif dan ayahanda sentiasa berlapang dada dengan teguran yang diberikan. Ayahanda bukan yang terbaik untuk menjawat jawatan NC USIM & penuh sedar bahawa ia adalah satu amanah yang akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti. Baru masuk bulan ke 10 ayahanda meneraju USIM & tulisan anakanda menggambarkan betapa terlalu tinggi harapan yang anakanda gantungkan kepada ayahanda. In sya Allah ayahanda & rakan pengurusan universiti akan mencuba yang terbaik untuk merealisasikan harapan ini. Walaubagaimanapun ayahanda kurang senang apabila anakanda memilih untuk membuat teguran secara ‘siar-raya’ begini kerana ia boleh mengundang fitnah & memberi persepsi negatif mengenai universiti ini apatah lagi apabila ada maklumat yang anakanda persembah tidak tepat. Penggunaan perkataan ‘..kebobrokan serta salah urus tadbir..” adalah keterlaluan untuk USIM kerana ‘kebobrokan’ membawa konotasi ‘kebejatan’ atau ‘rusak sama sekali’ sedangkan apa yang anakanda utarakan hanyalah sekitar masalah yang menyangkut Pejabat Bendahari sahaja. Benarlah seperti hadith Nabi saw, ‘setiap perbuatan tergantung niatnya’. Kalau diniatkan untuk melihat keburukan, maka keburukan itulah yang akan diperlihat kepada anakanda. Sebaliknya sekiranya anakanda melihat kepada potensi untuk memajukan USIM, maka akan ternampak peluang untuk menyumbang bagi menyerlah potensi disamping berusaha untuk mengurangkan ‘kebrobokan’ berkenaan.

Sayugia diingatkan bahawa masalah di Pejabat Bendahari bukan sahaja menyangkut sistem & komitmen staf tetapi juga pelajar yang agak liat untuk melunaskan hutang yuran mereka walaupun mereka mempunyai tajaan. Suka saya tegaskan bahawa USIM tidak pernah membeli sistem UPSI, apa yang berlaku adalah semasa NC ke 3, USIM memutuskan untuk menyewa sistem berkenaan untuk tempoh 5 tahun untuk memperbaiki sistem dalaman USIM sendiri iaitu Al-Maliyah. Sistem UPSI dicadangkan oleh KPM kerana telah mencapai SAGA compliance & telahpun dibeli oleh beberapa UA tempatan. Kerana sistem UPSI ini juga dibangunkan melalui research & dedicated untuk universiti berkenaan, ayahanda memang menjangka ada beberapa mismatch semasa transisi data dari Al-Maliyah kepada sistem baru ini. In sya Allah masalah ini akan dapat universiti atasi sedikit masa lagi apabila USIM telah menguatkuasa peraturan berkaitan menjelaskan yuran, sistem yang ditambah baik serta kemungkinan USIM akan mendapat seorang Bendahari yang berpengalaman tidak lama lagi. Mohon didoakan.

Terpulang kepada anakanda untuk membanding prestasi ayahanda dengan NC USIM sebelumnya, namun apa yang menarik di USIM yang mungkin tidak berlaku di universiti lain adalah kerana kesemua NC terdahulu masih lagi menyumbang kepada USIM termasuklahlah Dato’ NC USIM yang ke 3 yang telah USIM lantik sebagai Penyelidik Bersekutu di ISI. Ini bermakna kami masih terus berinteraksi & saling berbincang dalam ehwal berkaitan masa depan USIM. Satu-satu projek yang berlaku atau disempurnakan dalam zaman seseorang NC sebenarnya telah dirancang semasa zaman NC yang terdahulu. Menilai prestasi ayahanda dalam tempoh 10 bulan berada di pejabat & berdasarkan posting ayahanda dalam laman sosial FB, umpama menilai prestasi pelajar berdasarkan ‘carry marks’ tanpa membenarkan pelajar berkenaan memasuki exam ! Namanya pun laman sosial, inilah tempat untuk ayahanda berkawan & keep intouch dengan rakan FB ayahanda yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat & pelbagai status jawatan dari dalam & luar Negara termasuklah kalangan pelajar USIM yang ingin berkawan dengan ayahanda. Kebanyakannya aktiviti yang ayahanda kongsikan adalah aktiviti luar waktu pejabat, hujung minggu & sewaktu outstation. Terlalu sedikit hal perancangan strategik USIM yang ayahanda kongsikan. Sekiranya anakanda melihat aktiviti berbasikal & outdoor seperti memanjat gunung sebagai aktiviti ‘tempelan’ ayahanda kira anakanda tidak dapat membaca ‘in between lines’ & seterusnya gagal menghayati aspirasi universiti untuk melahirkan kampus lestari & warga kampus yang sihat sesuai dalam konteks menghidupkan sunnah riadah. Riadah adalah sunnah Rasulullah saw yang penting kerana ia adalah hak badan. Warga yang sihat & cergas adalah penting untuk kerja yang lebih berkualiti di samping mudah untuk kita beribadah. Dalam konteks USIM ramai kalangan warga (staf & pelajar) yang tidak menitikberat aspek kesihatan malah bilangan warga yang obes turut meningkat. Ini ternyata apabila mereka memohon agar kemudahan ‘medical check-up screening’ yang lazimnya dilakukan pada usia 40 tahun, dilakukan pada usia 30 tahun ! Dari segi prestasi pencapaian sukan USIM juga pernah disebut oleh mantan NC ke 3 sebagai ‘kosong-kosong’ !

Sayugia diingatkan bahawa USIM adalah salah satu daripada 20 buah universiti awam (UA). Semua UA ini akan menggunakan dana yang sama dari kerajaan untuk tujuan projek pembangunan. Oleh itu, adalah logik bahawa projek pembangunan akan mengambil masa sedikit. Anakanda tentu maklum bahawa USIM mendapat KK1 semasa universiti ini menyambut ulangtahun ke 10 ! Kini USIM sedang menyambut ulang tahun ke 15 & kita maklum dalam tempoh 5 tahun kebelakang kita dapat projek seperti Dewan Besar, Permata Insan & Pusat Islam yang sedang pesat dibangunkan. USIM juga masih belum kukuh sumber dalaman yang memungkinkan untuk USIM membangunkan bangunan sendiri seperti universiti yang telah lama established atau seperti sebuah universiti swasta. Pun begitu, sekiranya pembangunan fizikal ini yang menjadi ukuran anakanda, di bawah ini ayahanda senaraikan perkembangan terkini aspek pembangunan di USIM sejak ayahanda mengambil alih jawatan ini:


  1. Projek KK3 & KK4 yang berkapasiti ~ 5000 pelajar telah diluluskan melalui PFI. Berita gembira ini telah disampaikan sendiri oleh Tan Sri KSN kepada ayahanda. Tiada halangan ia akan bermula hujung tahun ini.
  2. Pembinaan fakulti FPSK berjumlah RM80juta telah diluluskan dan sedang dalam tindakan JKR untuk kerja awal. Kerja tanah dijangka pada awal tahun hadapan.
  3. Pembinaan hospital pengajar ‘syariah compliance’ berkapasiti ~ 400 & asrama pelajar dalam peringkat akhir kelulusan. Pemakluman berkaitan projek ini telah dipersembah kepada Tuanku Canselor USIM oleh Dato’ Sri KSU II KPM.
  4. Di bawah inisiatif waqaf bersama MAINS & Kerajaan Negeri Sembilan, USIM akan mendapat 1 unit Klinik Bergerak berupa sebuah lori yang telah diubahsuai untuk kegunaan rawatan mata di negeri ini.
  5. USIM juga bakal mendapat satu lagi kampus satelit di Ulu Bendol untuk penempatan Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina. Pemakluman berkaitan projek ini telah dipersembah kepada Tuanku Canselor USIM oleh Dato’ Sri KSU II KPM.
  6. EPU turut menyokong permohonan USIM untuk mendapatkan bangunan Fakulti Pergigian, FPBU & sambungan Fakulti FST selain Bangunan Kokurikulum & Dewan Peperiksaan. Ayahanda sendiri yang mengetuai barisan ‘budget defence’ USIM untuk projek pembangunan ini.

Perkara di atas tidak termasuk projek pembangunan fizikal yang ingin USIM gerakkan melalui projek waqaf dari Timur Tengah. Sebuah syarikat tempatan turut berminat untuk membangunkan KK2 yang ‘terbengkalai’. Beberapa siri perbincangan berkaitan perkara ini telah diadakan yang dipengerusikan oleh ayahanda sendiri. Mohon untuk anakanda doakan agar pembangunan kepada semua projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Sukacita juga ayahanda maklumkan bahawa USIM telah menubuhkan Pusat Integrasi Naqli-Aqli yang diteraju oleh mantan Dato’ NC ke 2. Inisiatif ini adalah sebagai usaha untuk mensinergi aspirasi menjadikan USIM sebagai pusat rujukan Naqli-Aqli diperingkat global. Baru-baru ini sebanyak 9 buku berkaitan integrasi Naqli-Aqli telahpun dilancarkan oleh Tuanku Canselor. Untuk makluman anakanda semua yang ayahanda tulis disini tidak terdapat dalam FB ayahanda !

Berkaitan YMLF adalah tidak benar program ini digantung tak bertali oleh NC ke 3. Malah kelulusan ekspedisi Gunung Kinabalu adalah diluluskan semasa beliau menjadi NC. Mengatakan ia sebagai program ‘syok sendiri’ & ‘indah khabar dari rupa’ tidak menunjukkan rasa hormat anakanda kepada mantan NC terdahulu yang mengaspirasikan program ini. Ayahanda kira pandangan anakanda adalah sebagai ‘pemerhati luar’ yang memang tidak pernah terlibat langsung dalam program ini. Tidak berlaku sebarang ketirisan dalam mengurus kewangan program YMLF & membelanjakan RM40K untuk setiap orang tidak timbul kerana kelulusan kewangan dikawal oleh pengurusan universiti & mengikut aktiviti yang dilakukan. Tanpa YMLF, memang USIM ada beberapa projek yang dikhususkan kepada golongan pelajar yang berdaya saing, berbakat tinggi & boleh memberikan impak kepada universiti seperti BIS, summer camp yang melalui saringan untuk pemilihan. Penganjuran program berimpak ini tidak mengurangkan peruntukan yang diberikan kepada aktiviti pelajar khalayak.

Demikianlah sedikit sebanyak respons ayahanda untuk memberikan sedikit pencerahan & menjawab beberapa keresahan anakanda. Tidaklah menjadi hasrat ayahanda untuk memanjangkan bicara ini. Pesan ayahanda, dalam keghairahan kita untuk muhasabah orang lain ada kalanya elok kita muhasabah diri sendiri juga kerana apabila kita menunjuk kepada seseorang ada 4 jari lagi yang mengarah kepada kita. Berbaik sangka kepada orang lain mungkin formula yang terbaik walaupun mungkin kebaikan orang berkenna hanya 1 dan kejahatannya ada 99 ! Pohonan maaf dari ayahanda andai ada bicara ini yang mengguris hati anakanda.

Salam Ramadhan & muga kita digolongkan ke dalam golongan mereka yang dapat menghidupkan bulan yang mulia ini.

Ayahanda Musa Ahmad
NC USIM ke 4.

*tulisan di atas adalah jawapan yang dikirimkan oleh YBhg Naib Canselor USIM melalui laman FB beliau di page USIMKini. Baca tulisan asal di sini.

No comments:

Post a Comment