Tuesday, June 23, 2015

PROF. DATO’ DR. HASSAN BASRI BIN AWANG MAT DAHAN DILANTIK SEBAGAI TIMBALAN NAIB CANSELOR (HAL EHWAL PELAJAR DAN ALUMNI) USIM



NILAI (Selasa) – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) baharu apabila YAB Menteri Pendidikan telah bersetuju untuk melantik Pengarah Akademi Pendidikan/Sekolah Makmal Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri bin Awang Mat Dahan ke jawatan itu.

Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri yang melaporkan diri bertugas di USIM pada hari ini dilantik ke jawatan ini berkuatkuasa 15 Jun 2015 sehingga 14 Jun 2018 (tiga tahun). Perlantikan beliau menggantikan Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah yang menamatkan perkhidmatan dan bersara pada 15 April lalu.

Berlatar belakang pendidikan dalam Bahasa Arab, Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) Universiti Kuwait (1987); Sarjana (Kesusasteraan) Universiti St Andrews, Scotland (1992) dan mendapat Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Edinburgh, Scotland (2000).

Antara kerjaya awal beliau ialah bertugas sebagai penterjemah Kedutaan Malaysia di Kuwait dan pembantu penyelidik Kuwait Zakat House. Sebagai ahli akademik, beliau memulakan tugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya (1987-2007) sebelum dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pelajaran Malaysia, University Cairo Mesir (2007-2011). Sekembalinya ke Malaysia, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI.

Sebagai seorang ahli akademik, beliau amat aktif dalam penulisan ilmiah dengan lebih 30 buah buku/bab buku dan 20 jurnal akademik dan prosiding yang ditulis oleh beliau diterbitkan di Malaysia dan antarabangsa. Selain itu, beliau turut aktif memberi konsultansi sebagai pensyarah pelawat, penilai luar dan ahli lembaga penasihat akademik kepada beberapa institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Dalam aspek kepimpinan dan pengiktirafan, Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri telah dilantik oleh YAB Perdana Menteri sebagai Ahli Majlis Perundingan Islam (MPI) pada 2014, Ketua Panel Menggubal Kurikulum Bahasa Arab bagi Sekolah Agama di Malaysia, Lembaga Pendidikan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (2012-2015) dan merupakan ahli Yayasan Fulbright, Amerika Syarikat sejak 2007.

Beliau juga amat aktif dalam Angkatan Tentera Malaysia sebagai Askar Wataniah dan dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Setia (berkhidmat melebihi 15 tahun) oleh Kementerian Pertahanan (2006) dan merupakan Pegawai Memerintah (Commanding Officer) Batalion 516, Regimen Askar Wataniah Malaysia.

Pengurusan USIM juga mengambil peluang ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah sepanjang berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dengan penuh komited dan dedikasi. Ucapan penghargaan dan tahniah diucapkan kepada Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri atas pelantikan beliau ke jawatan ini dan selamat bertugas.

Pegawai untuk dihubungi : Mohd Zaini Othman (013-222 3741)

Sumber: Laman Facebook Universiti Sains Islam Malaysia

No comments:

Post a Comment