Wednesday, June 17, 2015

USIM: Antara Gagasan Akli Nakli dan Kebobrokan Sistem


Tulisan ini terlalu berat untuk ditulis. Namun, atas dasar kemandulan aktivisme dan kelembapan merespon mahasiswa USIM, luahan ini terpaksa diunjurkan. Tulisan ini sedikit panjang dan berat. Berat dalam menghadap rakyat yang malas membaca.

USIM sebagai Universiti Awam (UA) ke-12 ditubuhkan dan juga merupakan Universiti Islam pertama milik kerajaan Malaysia. USIM menetapkan syarat khas Bahasa Arab dan 2 subjek agama lainnya sebagai syarat khas kemasukan berbeza dengan UIAM yang dimiliki oleh OIC, masih mengekalkan syarat sama seperti UA yang lain. Meneliti dari sudut pandang ini, penubuhannya adalah berakar bagi membantu lepasan sekolah agama dalam meneruskan pengajian peringkat tinggi. Dengan kata lain, memberikan keistimewaan khusus kepada anak MELAYU.

Penubuhan USIM yang baru berusia 15 tahun sememangnya masih muda dalam arena pendidikan negara. Namun, usia setahun jagung bukanlah penghalang USIM menempah kejayaan baik dalam dan luar negara. Namun, kebobrokan serta salah urus tadbir yang berlaku cukup mengecewakan. Alasan untuk menjaga nama baik universiti bukanlah lesen untuk kita mendiamkan segala keburukan yang ada. 'Setiap kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab atas apa yang kamu pimpin'. Ini antara mahfum hadis yang kita sering laungkan.

Bermula dengan isu bendahari. Andai Universiti lain sedikit kurang 'selesa' dengan HEP, namun berbeza dengan USIM yang kerap 'berperang' dengan Jabatan Bendahari. Pelik bukan? Pertemuan, perbincangan, dialog yang akhirnya tak tertahan, meletus hingga penganjuran demonstrasi pelajar. Demonstrasi yang menghangatkan seketika suasana alam kampus baik rakan di luar negara, pelajar dalam negara mahupun staf USIM sendiri. Walupun akhirnya demonstrasi yang dirancang di'hijack' oleh golongan tertentu. Keserabutan yang kian lama berakar seakan tidak menemui jalan penyelesaian apabila isu ini kembali panas akhir ini. Pembeliaan serta pengaplikasian sistem dari UPSI dalam menyelaras kewangan (yuran) baru-baru ini seakan memberi sinar baru. Namun, semuanya ibarat tikus membaiki labu. Sistem percubaan ini seakan gagal membuka jalan penyelasaian. Salah status mendaftar, penama lain dalam sistem, no-linking system antara BPA dan Jabatan Bendahari, kekurangan 'man-power', tidak mesra pelanggan, kelambatan mengemaskini lejar, kesilapan mengkreditkan wang dalam akaun pelajar, 'emailing system' yang tidak effisien dll. Itulah antara rungutan pelajar yang tidak berkesudahan. Sedih.

Keduanya, isu Young Muslim Leadership of Future (YMLF) yang diasaskan oleh mantan NC USIM, Prof Muhammad Muda. Program yang bertujuan bagi melahirkan pemimpin muda dilihat baik pada awalnya namun indah khabar dari rupa apabila program ini seakan gagal memberi impak kepada masharakat kampus khususnya walhal sebanyak RM 40 000 diperuntukkan bagi setiap pelajar berjumlah 40 orang kesemuanya. Program berbentuk 'syok sendiri' seperti ke Pulau Kapas dan Pendakian Gunung Kinabalu memberi tanda tanya akan punca sumber dan perjalanan urus tadbir kewangan yang sepatutnya boleh dimanfaatkan bagi kebaikan semua pihak berbanding perbelanjaan yang hanya menguntungkan sebilangan kecil sahaja. Kita tidak menyalahkan peserta, namun ketirisan penganjuran dan modul pelaksanaan yang kita persoalkan. Rata-rata peserta merupakan sahabat baik saya sendiri. Dan akhirnya, langkah bijak NC ketiga USIM, Prof Dato. Dr Asma 'menggantung' program ini tidak bertali dilihat suatu transformasi awal yang baik.

Ketiganya ialah isu kredibiliti Naib Canselor. Semasa pentadbiran Prof Dato' Dr Asma(Mantan NC USIM Ke-3), pembangunan infrastruktur berkembang pesat(penyambungan pembinaan Masjid yang tergendala, kerjasama waqaf dlm pembinaan Klinik Pakar), kecekapan pentadbiran (pewujudan Stracomm dalam usaha penjenamaan USIM di media), serta respon yang baik dalam usaha menjaga kebajikan pelajar. Namun, harapan melihat NC baru terus memacu USIM untuk bersaing dengan UA awam yang lain hanya boleh tinggal harapan. Imej Prof Musa menjadi 'bualan' anak muda kampus bilamana di dinding Fb beliau dipaparkan gambar-gambar pendakian, basikal keliling kampus, lawatan luar negara yang akhirnya di tempel atas nama USIM dan Integrasi Nakli Akli. Lebih setahun pentadbiran NC Ke-4 USIM gagal mengetangahkan idea dan dasar baru bagi memacu USIM ke suatu tahap yang lain. Projek Kolej Kediaman terbengkalai, masih tetap terbengkalai. 15 tahun USIM dengan hanya sebuah kolej kediaman dalam kampus. Sekali lagi sedih. Saya berharap ada dasar dan wawasan besar yang ditunjukkan selepas ini. Kata kita mahu menjadi setaraf Oxford bukan?

Dan terakhir. Antara lainnya adalah isu Arabic/English Language Support Programme (ALSP/ELSP). Program yang pernah mendapat kritikan hebat; baik dari tenaga pengajar apatah lagi mahasiswa sendiri. Program wajib universiti ini dijalankan sebanyak 3 kali secara percuma pada awalnya akhirnya mendapat respon negatif bilamana pentadbiran mengarahkan pelajar membayar semula yuran bagi sesiapa yang pernah menghadiri program ini. Tanpa notis dan kenyataan rasmi pihak pentadbiran, mahasiswa seperti lembu dicucuk hidung, akur membayar. Program yang pernah diletakkan di bawah Pusat Pengajian Teras, kemudian diasingkan kepada FPBU ini akhirnya tetap dijalankan. Modul yang tidak efisyen, tarikh program yang sering bertukar, mewajibkan pembayaran yuran tanpa makluman awal adalah antara yang terus merunsingkan.

Setahun duduk dalam kepimpinan MPP USIM membuat diri ini terasa tidak berguna. Pincang dalam berhujah. Gagal dalam melaksana. Tersepit antara dalaman dan menghadap realiti. Kepimpinan MPP ibarat daging burger. Tersepit antara dua roti. Lunyai di tengah-tengah. Antara muwajah silmiyah dengan pentadbiran dan memenangi isu pelajar. Sungguh ini membuat kita untuk terus berjiwa besar.
Terlalu banyak untuk dicatatkan. Juga terlalu banyak kebaikan yang sebenarnya ada. Namun, muhasabahlah. Sungguh terlalu berat untuk menghamburkan segala kritik yang ada. Bukan niat memburukkan, jauh lagi mengaibkan. Sebaliknya, moga kita melihat ianya sebagai suatu refleksi dalam mewujudkan kerja buat yang lebih baik dalam membawa nama Islam itu sendiri.
USIM adalah tempat yang banyak mengajar dan mendewasakan. Moga kritik yang ada tidak membuatkan semua PTJ, staf fakulti, pegawai lainnya dan sahabat USIM umumnya merenggang ukhuwah bersama penulis.

Yang pencen,
Muhammad Irsyad,
Mantan BPSK MPP USIM 13/14,
Mantan BPI SekreFaST 12/13,
Mantan Presiden Family Anak Borneo Usim 12/13.

Baca tulisan asal di sini.

*tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian USIMKini

No comments:

Post a Comment