Friday, September 28, 2012

MPP: Kabinet bakal dibentuk, majlis watikah 8 Oktober

28 Sept, Nilai - 3 hari selepas proses pilihan raya kampus berlangsung, barisan baharu ahli Majlis Perwakilan Pelajar USIM dikhabarkan sedang membincangkan bentuk kabinet mereka sebelum dibentangkan di hadapan pimpinan tertinggi Universiti.

Usimkini difahamkan, ahli-ahli MPP yang telah menang dalam PRK lalu telah mula bermesyuarat bagi menyusun kabinet, termasuk exco dan portfolio yang akan diputuskan dalam masa terdekat.

Saudara Razif Fuad ketika dihubungi oleh krew Usimkini memaklumkan, antara perancangan setakat ini yang akan dijalankan oleh barisan kepimpinan MPP yang baharu adalah bengkel penyelarasan VMO dan perancangan strategik MPP.

"Kami perlu siapkan barisan kabinet sebelum majlis perlantikan watikah MPP yang dijadualkan pada 8 Oktober depan.

InshaAllah, dalam masa terdekat, kami akan war-warkan kepada warga USIM, terutamanya siswa-siswi," ujarnya ringkas.

Barisan MPP baharu juga dikhabarkan sudah mula melakukan beberapa siri pertemuan tidak rasmi antara Jabatan dan Bahagian tertentu di kampus, antaranya Bahagian Keselamatan USIM bagi mengajukan aduan dan perbincangan mengenai isu keselamatan pelajar luar kampus.

Beberapa isu yang melibatkan Bahagian Akademik dan Jabatan Bendahari juga akan diambil tindakan yang sama, dan dirancang dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, seluruh kelab dan persatuan pelajar termasuk JAKSA kolej kediaman yang telah dibubarkan sebelum ini, akan mengadakan AGM masing-masing dan dijangka akan mengadakan perlantikan baru untuk jawatankuasa mereka.

 Usimkini mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh warga kampus terutama mahasiswa-mahasiswi yang telah dan bakal dilantik sebagai ahli jawatankuasa bagi semua kelab dan persatuan pelajar di USIM - Usimkini

Tuesday, September 25, 2012

Keputusan PRK : Razif Fuad menang undi tertinggi

Nilai, 25 Sept - Debaran menantikan keputusan penuh pilihan raya kampus USIM akhirnya berakhir apabila calon umum dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) menang undian tertinggi bagi kerusi umum.

Razif mengatasi 10 calon umum yang lain dengan mendapat undian sebanyak 6214 undi.

Beliau disusuli oleh calon umum dari Fakulti Sains dan Teknologi, Nadrahtul Huda Misral yang beroleh 6019 undi. Calon-calon lain iaitu Nazmin Yusoff (FST) sebanyak 5748 undi; Adam Fariz dari FKP sebanyak 5672 undi; Mohd Shukri dari FEM sebanyak 5360 undi; Suhaimi dari FPBU - 4869 undi; Sawari dari FPQS sebanyak 4725 undi dan Safwan Hamdy dari FST sebanyak 4294 undi.

Manakala bagi 4 kawasan fakulti yang melibatkan pertandingan tiga penjuru, turut menyaksikan persaingan yang sengit dan sihat antara calon-calon yang bertanding.

Bagi perebutan dua kerusi FST, calon Nur Wajihah Atiqullah dan Mohd Azizi Alias dipilih sebagai pemenang dengan masing-masing mendapat 889 undi dan 730 undi, mengatasi calon seorang lagi, Syed Hafizin Jamil yang beroleh 489 undi.

Pertandingan di FPBU pula menyebelahi calon Fatimah Az-zahra' (495) dan Nur Afiah Abdul Shukor (426 undi), mengatasi calon Husnirulhuda yang mendapat 231 undi.

Bagi kerusi FKP, calon Mohd Ali Omar (827 undi) dan Nur Syuhadah Sudiro (764) dipilih untuk mewakili MPP FKP, mengatasi calon ketiga, Rafiq Akhmal yang beroleh 388 undi.

Kerusi FSU tidak kurang sengitnya apabila pengundi memilih Mohd Zuhdi dan Mohd Syakir yang masing-masing beroleh 785 undi dan 795 undi, menewaskan calon tahun 3, Rashid yang mendapat 460 undi.

Keputusan penuh ini melengkapkan calon-calon yang akan mengisi kabinet kepimpinan MPP 2012 yang baharu setelah hampir setengah tahun kosong tanpa pemilihan pimpinan yang terbaru.

Keputusan diumumkan oleh TNC HEPA, Prof. Dato' Dr. Mohamed Asin Dollah yang mewakili Naib Canselor yang mempunyai urusan luar.

Tahun ini menyaksikan sebanyak 6533 pemilih atau 85.16% di kalangan pelajar Sarjana Muda, Sarjana dan PhD keluar mengundi. Manakala 1138 tidak hadir untuk mengundi.

Fakulti Pergigian mencatatkan keputusan keluar mengundi 100% dengan seramai 134 pelajar turun menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

Dalam ucapan aluan beliau, Dato' Asin mengucapkan syukur dan tahniah kepada semua pelajar dan Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan kerana proses pilihan raya kampus pada tahun ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dan mengekalkan rekod proses pemilihan MPP yang aman.

Usimkini mengucapkan tahniah kepada semua calon yang bertanding, tidak kira yang menang atau kalah, atas kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan dalam mendukung semangat kepimpinan mahasiswa di kampus. -Usimkini

Lintas Langsung Pemilihan MPP USIM

25 Sept, Nilai - Proses pilihan raya kampus bermula hari ini. Sebanyak 8 pusat pengundian dibuka seawal jam 9.00 pagi mengikut 8 fakulti di kampus Nilai dan Pandan. Dijangkakan seramai 7176 orang pelajar termasuk pelajar Sarjana dan PhD akan turun mengundi bagi Pemilihan MPP 2012.



4.29 petang - Peratusan keluar mengundi meningkat kepada 83%. Pihak fakulti dilihat bekerjasam memastikan semua pelajar turun mengundi.

4.00 petang - FEM mencatat peratusan keluar mengundi terendah setakat ini. Manakala Fakulti Pergigian yang hanya mempunyai seramai 134 orang pengundi mencatat 100% turun mengundi.

Setakat ini, 5805 pengundi atau 74.70% pelajar telah turun mengundi. Jentera HEP dikatakan sedang giat mengerahkan pelajar untuk membuang undi yang hanya berbaki 1 jam sahaja lagi.


2.18 petang - Di pusat mengundi FST, tidak kelihatan pelajar yang turun mengundi waktu ini berikutan kelas yang agak padat.

1.29 petang - FKP mengalami kesesakkan lalu lintas yang teruk dari semua arah. Ramai pelajar yang mengadu barangkali kaunter mengundi yang dibuka terlalu sedikit hingga menyebabkan proses pemilihan tidak berjalan lancar.
 
1.15 petang - Di kawasan tempat mengundi di FPQS dan FPBU pelajar masih beratur panjang. Pelajar ramai yang khuatir tidak dapat turun mengundi berikutan kelas di sebelah petang 

12.50 tgh hari - Peratusan keseluruhan yang turun mengundi setakat ini adalah sebanyak 44.47%. Peratusan mengikut fakulti : FPBU - 47.79%, FPQS - 44.27%, FPSK - 75.85%, Fpg - 52.24%, FSU - 43.32%, FEM - 36.50%, FKP - 37.29%, FST - 50.38%.

12.20 tgh hari - Suasana di beberapa pusat pengundian semakin meriah dengan pengundi yang berpusu-pusu hadir. Beberapa calon umum dilihat berlegar-legar di fakulti lain sambil beramah mesra dengan siswa/i.
Setakat ini, 37% pelajar sudah keluar mengundi.

11.31 pagi - Peratusan keluar mengundi semakin meningkat kepada 26%. Pelajar di tahun satu dan dua pengajian dilihat paling ramai keluar mengundi awal, sejak dibuka pusat pengundian pagi tadi.

11.10 pagi - Menjelang tengah hari, pelajar kian ramai beratur di pusat pengundian. Terdapat komen daripada pelajar yang selesai mengundi memaklumkan, sistem eUndi kadang kala mengalami masalah kerana terpaksa 'restart' sistem tersebut apabila alat pengimbas tidak dapat mengesa kad matrik pelajar.

10.50 pagi - Peratus terkini keseluruhan pelajar turun mengundi adalah sebanyak 21.87 %

10.35 pagi - Pelajar sudah mula beratur panjang untuk melakukan proses pemilihan. Kelihatan juga calon berlehar-legar di kawasan mengundi. Setakat ini tiada apa-apa kekecohan dilaporkan. Proses pemilihan berlangsung dengan aman.

10.28 pagiPeratus terkini pelajar USIM turun mengundi. FPBU - 16.44%, FPQS - 11.32%, FPSK - 21.88%, FPg - 38.81%, FSU - 15.10%, FEM - 13.31 %, FKP - 10.43%, FST - 17.43%

9.45 pagi - Tempat pengundian mula sibuk. Pegawai jawatankuasa dan pengawal keselamatan mengawal selia keadaan. Jentera pelajar juga kelihatan turut membantu.

Setakat ini FSU dan FST antara yang paling ramai turun mengundi  dengan masing-masing 130 dan 120 orang

9.10 pagi - Kawasan di Pusat pengundian masih lengang kerana baru dibuka. Kebanyakkan pelajar masih berada dalam kelas dan kuliah.

8.35 pagi - Pusat-pusat pengundian mula dibuka di kawasan fakulti-fakulti. Beberapa Pegawai Pusat Teknologi Maklumat (PTM) menyelenggara tempat pengundian sebelum dibuka untuk pengundian jam 9 pagi. Beberapa pengawal keselamatan turut berada di pusat pengundian untuk memantau keadaan.

Monday, September 24, 2012

Poster kempen calon PRK disabotaj

24 Sept, Nilai - Fasa kempen bagi pilihan raya kampus untuk Pemilihan MPP 2012 dicemari dengan insiden yang kurang demokratik apabila sebahagian pasukan penyokong bagi calon yang bertanding mendakwa, poster-poster yang digantung telah dibuang oleh pihak tertentu awal pagi semalam.

Menurut Basri, wakil penyokong bagi calon umum no.2, Razif Fuad, kebanyakan poster yang digantung malam semalam di kawasan tumpuan utama seperti PKP dan foyer fakulti-fakulti telah diturunkan oleh pihak tertentu.

"Kami hanya menyedari poster tersebut tiada bila hadir ke kampus pagi tadi. Semua tiada. Hanya saki-baki poster yang berada di sudut terpencil masih ada," ujarnya kepada wakil Usimkini tengah hari tadi.

Difahamkan, beberapa kumpulan penyokong calon kerusi umum dan fakulti mengambil peluang untuk menggantungkan poster mereka sendiri di kawasan sekitar kampus dan kolej kediaman setelah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pemilihan.

Walau bagaimanapun, insiden menurunkan poster secara mengejut ini cukup dikesali mereka sebaik sahaja menyedari semua poster hilang.

Seorang pencadang bagi calon, Hafizullah memberitahu dalam temubual ringkas, bahawa tindakan pihak terbabit yang seolah-olah mensabotaj calon adalah satu tindakan yang menafikan hak calon yang bertanding.

"Dalam peraturan kempen tidak menjadi satu kesalahan untuk mana-mana calon dan penyokongnya menggantung poster di tempat-tempat yang dibenarkan, setelah poster dan risalah mereka itu mendapat kebenaran dan pengesahan pegawai Jawatankuasa Pemilihan.

Ini bukan menuduh sesiapa, tetapi jika ianya bertujuan untuk menafikan hak kempen calon, maka ia seolah-olah membuktikan demokrasi kampus dalam pemilihan MPP masih lagi retorik dan hanya untuk mempermainkan pelajar semata-mata," katanya.

Beliau turut menegaskan, poster kempen akan terus dinaikkan selagi mana tidak berlanggaran dengan peraturan pilihan raya kampus.

Krew Usimkini cuba mendapatkan respon lanjut daripada beberapa calon yang bertanding dalam hal ini, namun semua menyerahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan untuk memberi respon lanjut.

Seorang penyokong dari calon fakulti FSU kemudiannya mengirimkan mesej berikut kepada Usimkini, yang menurutnya, diperoleh daripada Pegawai Jawatankuasa Pemilihan yang juga pegawai HEP, Encik Nasrul Hakim.

"Tiada sebarang penjelasan terhadap dakwaan tersebut kerana tiada arahan sebegitu (untuk menurunkan poster calon) dikeluarkan daripada Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, atau Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP 2012.

Sekiranya wujud keterangan tentang pelakunya, sila kemukakan secara bertulis untuk tindakan lanjut Bahagian Undang-undang. Terima kasih."

Wakil jentera HEP setakat dimaklumkan, masih belum memberi apa-apa respon dalam hal ini. Tiada bantahan bertulis dikemukakan dan tiada sebarang lanjut dibuat oleh pihak yang berkaitan.

Kempen poster daripada calon sendiri sama ada secara bercetak mahupun elektronik antara peraturan pilihan raya kampus yang dibenarkan dengan syarat mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan.

Sehingga jam 8.00 malam tadi, suasana kampus masih dalam keadaan aman dengan perang poster kelihatan semakin meriah apabila beberapa calon pilihan di kerusi umum terutamanya, tampil dengan poster-poster yang menarik perhatian para pelajar. -Usimkini

Sunday, September 23, 2012

Ramai pelajar buntu tentang Sistem e-Undi

Nilai, 23 Sept - Tidak kurang 36 jam sahaja lagi pilihan raya kampus USIM akan diadakan, kebanyakan pelajar didapati masih buntu tentang proses pengundian menggunakan sistem e-Undi.

Tinjauan krew Usimkini ke Kolej Kediaman 1 bagi mendapatkan respon daripada pelajar di tahun satu pengajian dimaklumkan, kebanyakan pelajar baru tidak memahami cara pengundian yang sebenar.

"Berkenaan sistem berkomputer itu kami tahu, tapi bagaimana cara undi dan apakah prosedurnya, kami pun tak dimaklumkan," menurut Hafiz Haikal, penghuni KK1.

Jika sebelum ini, Pusat Teknologi Maklumat USIM akan membuat 'roadshow' setiap kali menjelang pilihan raya kampus, namun kali ini hari simulasi e-Undi tidak diadakan. Dibimbangi akan menjadi suatu kesulitan bagi petugas jawatankuasa pemilihan untuk menerangkan satu persatu prosedur yang sebenar.

Bekas Naib Yang Dipertua 2 MPP sesi lepas, Maisarah Rafie memberi respon berikut berhubung isu ini.

"Tahun Satu dan Tahun Dua dikenal pasti sebagai kelompok siswa-siswi yang belum ada pengalaman mengundi. Sudah pasti ia menjadi kerisauan kerana dalam hasrat HEP untuk memastikan semua turun mengundi, tetapi akan berlaku sebaliknya.

Mereka yang turun mungkin tersilap cara dan boleh mengakibatkan undi rosak. Harap ada panduan yang jelas diberikan sebelum hari pengundian," ujarnya dalam satu respon ringkas di laman sosial Facebook.

Sehingga kini, notis yang dikeluarkan berkaitan pengundian adalah notis semakan daftar pemilih pada 13 September lalu.

Dalam perkembangan lain, petugas-petugas PTM dikatakan sedang sibuk memastikan penyenggaraan sistem e-Undi berkeadaan baik dan tiada sebarang gangguan sewaktu hari kejadian. (Gambar: kredit kepada En. Suffian, Pusat Teknologi Maklumat)
(gambar)

Antara persiapan yang dimaklumkan telah dilakukan adalah kemaskini daftar pemilih dan kerja-kerja teknikal, termasuk pengendalian server yang rapi.

Pusat-pusat pengundian akan dijalankan di setiap kawasan fakulti masing-masing.

Sistem e-Undi meskipun tiada sebarang masalah yang berlaku pada PRK sebelum ini, menjadi sedikit isu terutama berkaitan masalah teknikal yang boleh berlaku dan penyimpanan data undi yang didakwa boleh sahaja dimanipulasi.

Walau bagaimanapun, USIM difahamkan sangat menitikberatkan pengurusan sistem yang teliti dan sentiasa berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Usimkini mengingatkan agar semua pelajar bersedia dengan kad matrik yang berfungsi baik bagi memastikan proses pembuangan undi pada 25 September ini berjalan lancar. -Usimkini

Saturday, September 22, 2012

Kampus suram, calon fokus kempen di FB

22 Sept, Nilai - Meskipun tempoh berkempen sudah bermula, namun masih belum ada sebarang poster dan kain rentang yang dinaikkan di kawasan sekitar kampus dan fakulti.

Tinjauan krew Usimkini mendapati, tempat-tempat tumpuan utama seperti PKP, foyer-foyer fakulti dan tempat menunggu bas masih belum kelihatan sebarang poster kempen calon-calon yang bertanding.

Berbanding tahun-tahun sebelumnya, poster dan sepanduk akan dinaikkan sebaik sahaja selesai sesi pengenalan calon dan semua jentera pelajar dikerah untuk menggantung bahan-bahan kempen di segenap kampus.

Suasana suram ini menimbulkan tanda tanya di kalangan pelajar, terutama mengenai tenaga kerja jentera HEP yang seolah-olah tidak berperanan dengan baik dalam menjayakan pilihan raya kampus kali ini.

Malahan, jentera pelajar HEP juga seakan-akan kurang menonjol pada malam sesi pengenalan calon kerana tiada sebarang pakaian rasmi atau tag nama yang dipakai bagi menzahirkan kumpulan pelajar yang membantu HEP mengurus selia PRK kali ini.

Dalam masa yang sama, kebanyakan calon lebih cenderung memilih untuk memulakan perang poster di laman sosial Facebook dan blog, seawal pagi semalam.

Rata-rata calon yang ditinjau Usimkini di laman Facebook mendapati setiap calon dan penyokong sudah membuat persiapan awal untuk memulakan kempen di media. 

Terdapat pelbagai poster dengan reka bentuk yang menarik dipamerkan bertujuan untuk membentangkan misi kepimpinan dan manifesto masing-masing, dengan gaya yang tersendiri. Malah, ada calon yang menampilkan tema poster kempen ala Presiden Barrack Obama.

Usimkini dimaklumkan, Jawatankuasa Pemilihan MPP telah membenarkan calon-calon yang membuat permohonan untuk menampal dan mempamerkan poster daripada mereka sendiri setelah mendapat kelulusan semalam. -Usimkini

PROMO: Program Mega i-CEPS kembali lagi


Konvensyen Keusahawanan Islam (iceps) merupakan program tahunan yang wajib dianjurkan oleh mahasiswa-mahasiswi tahun akhir Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM).

Konvensyen ini merupakan projek mega pelajar tahun akhir FEM dalam menguji keupayaan mereka menguruskan majlis yang besar seperti ini yang melibatkan pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan dan swasta, ahli korporat dan sebagainya.

Elemen utama yang diterapkan di dalam konvensyen ini adalah elemen keusahawanan yang merupakan elemen terpenting bagi seseorang yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Dalam konteks yang lebih moden dan terkini, elemen keusahawanan merupakan suatu aset penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Objektif utama penganjuran Konvensyen Keusahawanan Islam kali ke 8 (ICEPS8) 2012 adalah untuk memberikan pengetahuan serta pemahaman yang jelas kepada peserta berkaitan keusahawanan dan konsep perlaksanaannya.

Di samping itu, ia menyediakan ruang dan peluang kepada para peserta bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang keusahawanan agar ia mampu untuk dijadikan sebagai medium untuk membangunkan umat Islam di negara ini.

Ia juga turut menggalakkan peserta khususnya mahasiswa/i melibatkan diri secara aktif dalam program keusahawanan demi meningkatkan ekonomi negara sekaligus membuka ruang baru membina jaringan perniagaan. Program ini memberi peluang kepada mahasiswa/i untuk melibatkan diri secara langsung dalam bidang keusahawanan.

Oleh yang demikian, melalui kesinambungan dari ICEPS yang lepas, Konvensyen Keusahawanan Islam Kali ke 8 (ICEPS8) 2012 akan diadakan pada 27 hingga 30 September 2012 bertempat di Perkarangan Fakulti Ekonomi dan Muamalat yang bertempat di kampus utama Nilai, bertemakan "Mahasiswa Pemangkin Keusahawanan Islam".Diharapkan ICEPS-8 2012 kali ini dapat menjadi satu landasan bagi mewujudkan serta melahirkan usahawanan yang berlandaskan syariah Islam di Malaysia khususnya dan di peringkat global amnya.

Antara program-program menarik sempena i-CEPS 8:


Kiriman oleh : Unit Promosi i-CEPS