Friday, August 29, 2014

Pembantu Urus Setia Minggu Taaruf Bersedia

Berbaki kurang tiga hari lagi menanti kemasukan mahasiswa Tahun Satu ambilan sesi pengajian 2014/2015, pihak pentadbiran universiti dilihat bertungkus lumus untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik dan lebih baik untuk menyambut kedatangan mahasiswa Tahun Satu. Kursus Persediaan Pembantu Urus Setia Minggu Pendaftaran Pelajar Baru yang berakhir petang tadi adalah antara persediaan awal bagi Pembantu Urus Setia (PU) dalam menguruskan perjalanan Minggu Taaruf yang akan bermula pada 1 September hingga 4 September nanti.

Kursus yang bermula sejak 28 Ogos itu disertai oleh lebih 160 orang sukarelawan mahasiswa yang diketuai oleh Saudara Ahmad Waqiuddin Wazin bin Abu Bakar (gambar), mahasiswa Tahun Tiga Fakulti Kepimpinan & Pengurusan, sehingga kini dikatakan sudahpun jelas tentang perjalanan keseluruhan Minggu Taaruf.

Beliau ketika diminta mengulas tentang Minggu Taaruf kali ini bagaimanapun mungkin berhadapan dengan beberapa kesukaran disebabkan terdapat banyak perubahan yang berlaku dalam perjalanan tentatif Minggu Taaruf yang tidak sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Walaubagaimanapun, beliau menaruh keyakinan tinggi terhadap rakan-rakan Pembantu Urus Setia yang terlibat dalam menjayakan Minggu Taaruf dengan sempurna. Maklumat-maklumat terkini berkenaan perjalanan Minggu Taaruf antara lain akan disalurkan di dalam Facebook Group yang dikelolakan oleh Majlis Perwakilan Pelajar.

Antara perubahan besar pada mahasiswa ambilan baru kali ini adalah kedudukan Kolej Kediaman untuk mahasiswa Tahun Satu tidak lagi berpusat di Kolej Kediaman 1 sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Antara lain, Stadium Tertutup Nilai tidak lagi digunakan sebagai sebahagian daripada tempat utama Minggu Taaruf.

USIMKini
Telus - Berani - Benar