Tuesday, July 01, 2014

Pelajar Kecewa Bayaran Penginapan Dikenakan Semasa A/ELSP


1 Julai 2014 – Majoriti pelajar tahun 1 yang sedang mengikuti Program Pengukuhan Bahasa untuk Bahasa Inggeris dan Arab (A/ELSP) meluahkan rasa kecewa apabila mengetahui mereka dikehendaki membayar yuran penginapan kolej kediaman semasa program sedang dijalankan. Malah terdapat sebahagian daripada mereka memberontak dan ingin memboikot baki program yang akan dilangsungkan. 


                Perkara ini diketahui semasa taklimat untuk ELSP dijalankan semalam. Pihak jawatankuasa ELSP mengumumkan para pelajar yang menginap di kolej kediaman semasa program A/ELSP perlu membayar kepada pihak fakulti yuran penginapan. Pelajar-pelajar tahun 1 pada tahun ini ditempatkan di Kolej Kediaman 1 dan terdapat sebahagiannya di Kolej Kediaman Sutera Indah dan Kolej Kediaman Nilam Court.

                Ramai pelajar merungut dengan perkara ini kerana mereka tidak dimaklumkan lebih awal tentang yuran ini. Menurut pelajar tahun 1 FST, Muhammad Akmal, beliau hanya mengetahui tentang yuran ini pada hari pertama ELSP, bukan semasa daftar keluar atau daftar LSP di pejabat Kolej Kediaman. Manakala seorang lagi pelajar tahun 1 dari FKP, Siti Hawa memberitahu kepada krew USIMKini mereka dimaklumkan boleh tinggal di kolej kediaman semasa A/ELSP tetapi tidak dimaklumkan mengenai bayaran tersebut ; “setiap bilik di KK1 dapat notis yang kami boleh tinggal semasa A/ELSP dan tidak kena bayaran. Dalam notis tersebut, cuma ditulis kami akan kena bayar kalau tinggal bermula 9/7/2014 iaitu selepas A/ELSP”. 

                Setiap tahun pelajar tahun 1 diwajibkan untuk menyertai A/ELSP pada setiap hujung semester dengan objektif untuk membolehkan para pelajar lebih fasih berbahasa Arab dan mencapai pangkat Band 3 dalam peperiksaan MUET. Pelajar perlu menempuh 3 fasa dan fasa terakhir tahun ini dijalankan terus antara ALSP dan ELSP, berlangsung selama 8 hari berterusan mengambil kira faktor pelajar yang sedang berpuasa. 

                Jika mengikut tahun-tahun sebelum ini, pelajar perlu mengosongkan kolej kediaman semasa A/ELSP dijalankan dengan pindah ke kolej kediaman pada semester seterusnya atau pindah ke rumah sewa sendiri. Namun, pada tahun para pelajar mendapat peluang untuk tinggal di kolej kediaman masing-masing semasa program dijalankan.

                Krew USIMKini sempat menghubungi Pengerusi Jawatankusa Kebajikan Siswa/Siswi (JAKSA) KK1, Syamil Hafizi Mahzir untuk mendapatkan respon beliau tentang perkara ini. Beliau sendiri terkejut dengan berita ini selepas dimaklukan sendiri oleh pelajar tahun 1 dan mengaku baru mengetahui perkara ini ; “Kami JAKSA pun baru tahu tentang perkara ini. Pada mulanya saya amat bersyukur kerana pelajar-pelajar ini boleh tinggal di sini semasa program sebab masih ramai dari mereka masih mencari dan belum masuk ke rumah sewa, tapi tak sangka pula kena bayaran.” Menurut beliau, pihak JAKSA akan merujuk perkara ini kepada pihak HEP dan pengurusan kolej kediaman dalam tempoh terdekat. Beliau respon di facebook beliau ; “Sepatutnya bayaran penginapan kolej kediaman semasa LSP memang dikenakan kepada pelajar tetapi pihak pengurusan asrama telah membuat rayuan kepada JKPU untuk mengecualikan bayaran kepada pelajar yg masih menghuni kolej kediaman semasa LSP. Pihak kami sedang menunggu jawapan daripada pihak JKPU dan HEP utk pengesahan rasmi”.