Sunday, June 08, 2014

Nasihat MPP Sempena Peperiksaan Akhir Semester



MPP mengingatkan mahasiswa tentang beberapa perkara menjelang peperiksaan akhir semester yang akan bermula esok hari.

Di musim peperiksaan ini mahasiswa/i haruslah menjaga kesihatan dan menjaga keselamatan diri masing-masing daripada terlibat dengan sebarang kejadian yang tidak diingini, di samping berterusan membuat persiapan akhir sebelum masuk ke dewan peperiksaan.

Selain itu, dinasihatkan juga agar berterusan menjaga baik hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Mintalah doa daripada kedua ibu-bapa, kerana doa mereka mustajab.

Exam adalah medan ujian yang akan menguji tahap kefahaman dan kesediaan kita terhadap subjek-subjek yang telah dipelajari sepanjang semester. Justeru, ketelusan dan kejujuran dalam menjawab soalan adalah amat diperlukan dalam usaha mengukur tahap kefahaman dan persedian mahasiswa, selain akan menentukan keberkatan ilmu yang dipelajari. Ilmu yang bermanfaat itu pasti akan membimbing pemiliknya untuk untuk taat kepada suruhan Allah dan menjauhi segala laranganNya.

Berusaha, berdoa, dan bertawakal insyaAllah, kejayaan pasti akan dimiliki.

Akhir kalam, semoga urusan semua calon dipermudahkan dan mendapat kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan akhir semester kedua yang akan membuka tirainya tidak lama lagi.

Bitaufik wa najah. Allahumma amiin wa taqobalullahu mina wa minkum.

Rencana di atas adalah daripada Saudara Mohd Taqwudin Mohd Yazid, Exco Akademik & Pembangunan Intelektual MPP.

Teka-Teki Rencana 'Murahan'

Hasil 'terjahan mengejut' USIMKini menggunakan rencana rambang Majlis Cinta Rasul menunjukkan tahap mentaliti mahasiswa USIM dan kecaknaan mahasiswa dengan isu semasa. Kajian yang dijalankan bersempena 'USIMKini Kembali' ini penting bagi mengenalpasti kelompangan yang wujud dalam masyarakat mahasiswa USIM pada hari ini.

Data berikut adalah perbandingan antara rencana-rencana USIMKini dalam tempoh seminggu lalu menggunakan medium penyebaran yang sama bagi setiap rencana yang keluarkan tanpa ada beza. Data yang diperolehi adalah seperti berikut.


Dalam tempoh 6 jam selepas dimuatnaik, rencana kontroversi Majlis Cinta Rasul mencapai lebih 1000 capaian berbanding isu-isu lokal universiti lain. Data yang lebih tepat boleh dilihat pada jumlah hit di blog USIMKini yang mencatatkan 689 hit berbanding mana-mana pos terkini lain.

Kajian krew USIMKini melihat kepada beberapa perkara selain data di atas, antaranya ialah komentar pengunjung USIMKini, respon balas yang berbentuk positif dan negatif, keyakinan masyarakat terhadap USIMKini, kebolehpasaran rencana, kumpulan sasaran, mentaliti masyarakat siswa, kecaknaan terhadap isu, dan beberapa faktor lain berdasarkan data yang kami perolehi.

Antara komentar, adalah kekesalan dengan kredibiti dan kesahihan rencana tentang Majlis Cinta Rasul tersebut. Antara lain menyebut tentang rencana fitnah dan melaga-lagakan. Ada juga komentar yang menyifatkan USIMKini mula menjadi tabloid murahan, bahkan tidak kurang juga membandingkan USIMKini dengan media alternatif lain.

Krew USIMKini mengakui bahawa terdapat kesilapan fakta dan isu yang disengajakan dan diputarbelitkan dalam artikel Majlis Cinta Rasul semata-mata untuk tujuan kajian ini. Rencana tersebut dipadamkan setelah data dalam tempoh 12 jam diperolehi. Salah satu kajian yang dijalankan oleh salah seorang pensyarah Universiti Malaya menunjukkan 70% daripada keputusan PRU-12 adalah dipengaruhi oleh maklumat-maklumat daripada blog. Malangnya kajian secara khusus untuk mahasiswa tidak dijalankan secara terperinci.

Sebagai media alternatif yang menjadi rujukan mahasiswa, USIMKini sedar akan kepentingan menyediakan bahan yang segar, berkualiti dan sahih. Justeru berdasarkan data-data yang kami perolehi, langkah pencerahan dan pendidikan melalui media alternatif menjadi lebih berfokus dan lebih berkesan.

USIMKini
Telus - Berani - Benar

Friday, June 06, 2014

Taklimat Yuran: Terma & Syarat Untuk Menduduki Peperiksaan Akhir Semester

Hasil mesyuarat antara pihak pentadbiran universiti & Majlis Perwakilan Pelajar pada 5 Jun lepas, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Prof. Dato' Dr. Musa Ahmad, bersetuju untuk membenarkan mahasiswa menduduki peperiksaan akhir semester walaupun masih berhutang dengan beberapa syarat.

Wakil Jabatan Undang-Undang USIM, Puan Yuhani Jamiran menjelaskan terma & syarat yang telah dipersetujui oleh mesyuarat bagi membenarkan mahasiswa menduduki peperiksaan akhir semester.

Terdapat dua (2) syarat yang dikenakan oleh pihak pengurusan.
  1. Tunjukkan komitmen dengan bayar hutang pada tahun ini dengan jumlah sekurang-kurangnya RM1000 ringgit.
  2. Mahasiswa perlu menandatangani surat akujanji di Jabatan Undang-Undang USIM. Antara terma dalam surat akujanji adalah mahasiswa mestilah jelaskan baki tunggakan yuran kepada universiti sebelum atau pada 31 Julai 2014. 
Sekiranya mahasiswa gagal jelaskan kesemua baki tunggakan hutang, mahasiswa akan ditahan daripada melihat keputusan peperiksaan akan datang, dan tidak dibenarkan mendaftar kursus pada semester hadapan.
Beliau menegaskan bahawa keputusan ini tergunapakai untuk semester ini sahaja, dan tidak semestinya terpakai pada semester berikutnya.

Bagi memudahkan urusan, Jabatan Bendahari dan Jabatan Undang-Undang akan membuka kaunter pada esok hari, Sabtu, 7 Jun bermula jam 10 pagi hingga 2 petang. Walaubagaimanapun, hanya urusan mengemaskini lejar sahaja yang akan dilayan. Urusan rayuan tidak akan dilayan sama sekali.

Sepanjang taklimat, kelihatan banyak persoalan ditimbulkan oleh mahasiswa antarabangsa, terutamanya tentang kemampuan untuk menjelaskan keseluruhan jumlah hutang tertunggak sebelum 31 Julai. Namun jawapan yang diberikan tetap tidak ada kompromi.

MPP Seru Mahasiswa Dengar Taklimat

Majlis Perwakilan Pelajar dalam kenyataannya menggesa seluruh mahasiswa yang terlibat dalam kes dihalang menduduki peperiksaan disebabkan yuran tertunggak untuk turun beramai-ramai ke Dewan Senat USIM pada 6 Jun, 3 petang.

Taklimat berkenaan akan menerangkan tentang peraturan-peraturan yuran dan tindakan-tindakan yang diambil sekiranya tidak menjelaskan yuran. Pihak Jabatan Bendahari sebelum ini telahpun mengadakan satu sesi dialog bersama mahasiswa, namun kehadiran yang diharapkan tidak memenuhi dewan.

Saudara Azmil, Yang Di-Pertua MPP menegaskan bahawa sudah menjadi tanggungjawab mahasiswa untuk hadir dan menyelesaikan masalah ini selepas MPP bertungkus lumus berusaha. Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang masalah yang berlaku selepas ini disebabkan yuran, MPP tidak akan bertanggungjawab dan menyerahkan urusan tersebut kepada mahasiswa sendiri. Beliau berharap agar mahasiswa tidak menuding jari dan menyalahkan MPP sekiranya maklumat yang disampaikan pada petang ini tidak diambil peduli oleh mahasiswa.

Sesi taklimat tersebut akan diadakan pada hari ini, jam 3 petang di Dewan Senat, bangunan Canselori USIM.

USIMKini

Kenyataan Bendahari Majlis Perwakilan Pelajar

  1. Sepanjang permulaan kami terpilih sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar USIM 2013/2014, antara isu yang kami hadapi ialah mengenai Jabatan Bendahari. Isu ini berkaitan dengan penahanan pelajar daripada mencetak slip peperiksaan akibat gagal melunaskan hutang tertunggak. Perkara ini juga telah berlaku ketika MPP USIM 2012/2013 lagi.
  2. Semasa Peperiksaan Akhir Semester 1, Sesi Akademik 2013/2014 perkara ini telah berlaku. Pada ketika itu, pihak Jabatan Bendahari USIM telah menyekat mana-mana pelajar yang gagal melunaskan bayaran tertunggak untuk mencetak slip peperiksaan. Namun, atas perbincangan dengan Pegawai Bendahari, polisi yang ada yang membolehkan pelajar yang gagal mencetak slip peperiksaan ditangguhkan.
  3. Semasa pendaftaran Semester II, Sesi akademi 2013/2014, polisi penahanan pelajar daripada membuat pendaftaran kursus akibat gagal melunaskan hutang yang sedia ada telah dikuatkuasakan. Akibatnya, terdapat ramai pelajar yang gagal mendaftar secara atas talian bagi pendaftaran kursus bagi Semester II, Sesi akademi 2013/2014. Namun, atas perbincangan dengan pihak pentadbiran USIM, terdapat beberapa resolusi yang telah dikeluarkan oleh MPP USIM dan Pihak pentadbiran USIM (rujuk kenyataan MPP USIM 2013/2014 sebelum ini).
  4. Dalam beberapa pertemuan dengan Jawatankuasa Pengurusan Universiti ketika itu, antara perkara yang sering dibincangkan adalah mengenai isu hutang tertunggak pelajar yang gagal dilunaskan.
  5. Polisi penahanan pelajar yang gagal melunaskan hutang tertunggak bagi mencetak slip peperiksaan telah lama diperkenalkan, tetapi ianya tidak dapat dikuatkuasakan sepenuhnya kerana beberapa sebab.
  6. Setelah sekian lama, polisi yang lama akan dikuatkuasakan demi mengurangkan nilai hutang tertunggak pelajar yang buat masa sekarang merupakan antara yang tertinggi dalam IPTA. Pihak MPP dan Pentadbiran USIM juga telah kerap kali mengingatkan pelajar tentang polisi yang akan dikuatkuasakan oleh pihak Jabatan Bendahari.
  7. Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang saya rasakan perlu diperbaiki dan diperbetulkan oleh Jabatan Bendahari USIM sebelum menguatkuasakan perkara tersebut:
    1. Lejer pelajar yang lambat dikemaskini oleh Jabatan Bemdahari meskipun sudah lama pembayaran dibuat.
    2. Terdapat pelajar yang lambat menerima tajaan mahupun yang tidak menerima tajaan secara langsung dan ini menyebabkan pelajar tersebut tidak punyai kewangan yang kukuh berbanding mereka yang menerima.
    3. Polisi sebegini perlu mendapat kerjasama pihak HEP agar pelajar yang betul-betul mempunyai masalah kewangan dapat dibantu oleh pihak HEP.
  8. Akhirnya, masalah ini perlu diselesaikan secara 'win-win situation' dengan pelajar yang betul-betul mempunyai masalah kewangan dapat dibantu dan pihak Bendahari USIM dapat mengurangkan jumlah hutang tertunggak secara maksima. Pelajar yang baik adalah pelajar yang mampu mengendalikan  kewangan peribadinya secara teratur dan meletakkan sesuatu tempat pada asalnya. Tajaan atau biasiswa pelajaran adalah untuk digunakan membiayai kos pelajaran dan bukan perkara lain.
Kenyataan ini adalah dikeluarkan oleh Saudara Fathi Saiful Bahrin, Bendahari MPP USIM berikutan isu yuran.

Thursday, June 05, 2014

Isu Yuran: Masuk Peperiksaan Dengan Bersyarat

Rundingan Majlis Perwakilan Pelajar bersama Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa berkenaan isu yuran dilihat membuahkan hasil yang positif. Menurut kenyataan daripada Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar, saudara Azmil Abu Seman, pihak pentadbiran universiti bersetuju untuk memberikan pelepasan dan membenarkan semua mahasiswa yang berhutang untuk menduduki peperiksaan akhir semester ini berdasarkan syarat yang telah dibincangkan.

Beliau juga menaruh harapan kepada mahasiswa agar mengikuti syarat-syarat yang dipersetujui antara MPP dan pihak pentadbiran demi menyelesaikan masalah yang dihadapi bersama.

Menurut sumber, jumlah hutang terkini yang tertunggak mencecah sebanyak RM 6.5 juta. Jumlah itu memberi impak yang sangat besar kepada pengurusan universiti dalam mengurustadbir USIM. Walaubagaimanapun, jumlah itu berkurangan sebanyak 30% apabila Jabatan Bendahari mengambil pendekatan memaklumkan tunggakan yuran kepada ibu bapa dan penjaga mahasiswa melalui Sistem Pesanan Ringkas pada pertengahan semester baru-baru ini.

Walaupun perkembangan terbaru dilihat memberi sedikit keselesaan kepada mahasiswa untuk menduduki peperiksaan akhir semester, namun pihak MPP masih belum mendedahkan syarat-syarat yang dipersetujui. Besar kemungkinan mereka mengharapkan agar mahasiswa turun ke sesi taklimat bagi kumpulan mahasiswa yang masih berhutang dan tidak boleh mencetak slip peperiksaan pada esok hari (Jumaat, 6 Jun), jam 3 petang di Dewan Senat, aras 3 bangunan Canselori.

Hasil siasatan krew USIMKini, kemungkinan besar mahasiswa yang gagal melangsaikan hutang sebelum pendaftaran semester 1 sesi pengajian 2014/2015 akan berhadapan dengan beberapa tindakan daripada Jabatan Bendahari. Antaranya:
  • Keputusan peperiksaan akhir semester disekat;
  • Keputusan peperiksaan akhir semester tidak dihantar kepada pembiaya pinjaman/biasiswa;
Menyebabkan:
  • Tidak dibenarkan mendaftar kursus pada semester 1 sesi pengajian 2014/2015
  • Tidak mendapat pembiayaan untuk semester tersebut.
Sekiranya benar tindakan ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Bendahari bagi memaksa mahasiswa melunaskan bayaran hutang, ianya dianggap drastik dan bakal menyebabkan lebih banyak masalah birokrasi akan berlaku pada pendaftaran semester akan datang, sekaligus merencatkan proses pembelajaran mahasiswa USIM khususnya yang mendapat pembiayaan daripada PTPTN.

USIMKini

Wednesday, June 04, 2014

MPP Akan Jumpa TNCAA Selesaikan Masalah Yuran

Naib Yang Di-Pertua I MPP, Saudara Azizi bin Alias (gambar) menyatakan bahawa MPP akan mengadakan satu perjumpaan bersama Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa, Profesor Dato' Dr. Musa bin Ahmad bagi menyelesaikan masalah yang menimpa mahasiswa. Beliau turut menegaskan bahawa notis awal berkenaan halangan bagi mahasiswa yang tidak menyelesaikan yuran semester sudahpun dikeluarkan sejak 7 Mac lalu.

Beliau dipetik dari laman Facebook beliau sebagai berkata, "Suka untuk saya jelaskan kembali , peraturan tidak membenarkan pelajar yang berhutang mengambil peperiksaan telah dilaksanakan bermula pada tahun 2010 lagi.Namun setiap semester, pihak MPP akan turun naik merayu meminta agar Bendahari melepaskan juga pelajar-pelajar ini untuk mengambil peperiksaan."

Tambah beliau lagi, "Namun tahun ini, Pihak Bendahari telah memutuskan agar peraturan ini benar-benar dilaksanakan bermula semester ini . Malah satu memo khas pada 7 Mac 2014 telah dikeluarkan selepas isu panas PTPTN 5 Mac 2014 meminta pelajar membayar yuran & sesiapa yang gagal menjelaskan hutang tidak akan dibenarkan mengambil peperiksaan. Saya fikir ini bukan tindakan terburu-buru dari Pihak Bendahari. Tindakan ini hadir setelah 4 tahun memberi peluang kepada pelajar untuk melangsaikan hutang pengajian. Esok pihak MPP akan berjumpa dengan Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa USIM, Prof Dato' Dr Musa Ahmad bagi mencari lagi lubang-lubang peluang untuk membantu rakan mahasiswa/i yang tersepit kala ini."

Krew USIMKini walaubagaimanapun mendapat ura-ura daripada segelintir mahasiswa untuk mengadakan mogok untuk memboikot peperiksaan akhir semester ini sekiranya masalah yuran tidak dapat diselesaikan oleh pihak-pihak yang berkenaan.

USIMKini

Isu Yuran, Respon Mahasiswa

Berikutan isu yuran, USIMKini cuba mendapatkan pendapat daripada mahasiswa USIM tentang isu ini. Berdasarkan tinjauan rambang krew USIMKini, ramai mahasiswa yang belum melangsaikan hutang adalah tergolong dalam kumpulan ketiga, merujuk kepada tiga kumpulan seperti dalam kenyataan yang dikeluarkan MPP.

Antara isu yang diutarakan adalah sikap toleransi staf di Jabatan Bendahari yang tidak mahu bertolak ansur. Saudara Farhan, mahasiswa FST menyuarakan kekesalan beliau dengan staf Jabatan Bendahari kerana menolak permohonan beliau untuk melunaskan keseluruhan yuran sebelum semester baru dibuka walaupun disertakan bersama surat rasmi. Beliau kesal kerana staf tersebut cuma menyatakan bahawa mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana sistem menetapkan sedemikian.

Seorang lagi mahasiswa FST yang terlibat merasakan bahawa tidak sepatutnya staf Jabatan Bendahari memberi alasan mudah sebegitu tanpa ada jalan keluar melainkan terpaksa untuk tidak masuk peperiksaan sedangkan beliau cuma berhutang untuk semester ini sahaja. Beliau turut menggesa agar Jabatan Bendahari membentangkan sistem pengurusan baru yang lebih sistematik seperti yang dijanjikan dengan lebih cepat dan pantas demi menyelesaikan masalah yang saban semester tidak selesai.

Saudara Safwan dari FKP juga turut mengingatkan rakan-rakan yang ingin menangguhkan semester, sekiranya mereka memohon penangguhan semester dalam tempoh empat minggu selepas tarikh daftar kursus pengajian, mereka terpaksa membayar keseluruhan yuran, dan cuma 50% ditolak daripada yuran pengajian sastera.

Beliau yang pernah memohon penangguhan semester untuk isteri beliau terpaksa berhadapan dengan situasi sedemikian, bahkan bantahan beliau terhadap perkara yang berlaku menyebabkan beliau seolah-olah diugut dengan dihalang daripada memasuki peperiksaan akhir semester.

Ketika ditanya oleh pihak USIMKini, tentang cadangan penyelesaian yang lebih baik sama ada memotong yuran daripada akaun tajaan mahasiswa sama ada PTPTN, biasiswa, bantuan kerajaan dan sebagainya, atau diteruskan dengan cara mahasiswa membayar sendiri yuran pengajian, saudara Safwan berpendapat bahawa releven untuk dipotong terus dari wang tajaan sekiranya pihak Jabatan Bendahari boleh berlaku adil dalam pemotongan wang mahasiswa dan kemaskini yang berterusan dan lengkap dari Jabatan Bendahari untuk setiap transaksi.

Isu ini juga mendapat perhatian daripada mahasiswa UTM, Saudara Zulhafiz, apabila beliau mencadangkan agar USIM menggunakan sistem pengurusan kewangan seperti yang digunapakai di UTM, yang disifatkan beliau mudah, pantas, dan dikemaskini sentiasa. UTM bagaimanapun menggunakan perkhidmatan bank CIMB dalam menguruskan akaun universiti, manakala USIM menggunakan perkhidmatan Bank Islam Berhad.

Saudara Fathi, Bendahari Kehormat Majlis Perwakilan Pelajar USIM ketika diminta memberi respon terhadap sistem & pendekatan yang digunapakai oleh pihak Jabatan Bendahari bagaimanapun masih belum memberi respon terhadap isu yang berlaku.

Sehingga hari ini, masing-masing dilihat beralasan, berusaha melepaskan diri, dan saling menuding jari kepada pihak lain daripada saling bekerjasama dalam menyelesaikan masalah yuran, sama ada daripada pihak Jabatan Bendahari mahupun mahasiswa.

USIMKini

Hubungi MPP Untuk Selesaikan Masalah Yuran

Jabatan Bendahari sekali lagi mengeluarkan kenyataan berkenaan mahasiswa yang gagal melunaskan hutang yuran pengajian semester yang tertunggak dengan menghalang daripada menduduki peperiksaan akhir semester yang dijadualkan bermula pada 8 Jun 2014.

Berikutan isu yuran yang tidak pernah selesai, pihak Majlis Perwakilan Pelajar berusaha mewakili mahasiswa dalam membela rakan-rakan mahasiswa yang tidak dibenarkan mencetak slip masuk peperiksaan disebabkan yuran tertunggak.

Menurut kenyataan terbaru daripada Majlis Perwakilan Pelajar, mereka telah mengadakan perbincangan bersama Naib Canselor Akademik & Antarabangsa, Profesor Dato' Dr. Musa Ahmad, dan menyenaraikan beberapa masalah yang berlegar dalam kalangan mahasiswa, antaranya ialah mahasiswa sudahpun melunaskan semua hutang pengajian namun lejar akaun tidak dikemaskini & dihalang dari mencetak slip peperiksaan. Isu kedua ialah mahasiswa yang lambat menerima tajaan dari mana-mana persatuan @ yayasan negeri sekaligus gagal membayar yuran dan dihalang mencetak slip peperiksaan. Isu ketiga ialah berkenaan mahasiswa yang gagal melunaskan hutang dan tidak dibenarkan menduduki peperiksaan akhir semester tanpa ada alasan yang kukuh.

MPP menyarankan agar golongan ketiga ini berurusan secara langsung dengan pihak Jabatan Bendahari, manakala untuk kumpulan pertama dan kedua, diminta berurusan dengan MPP melalui Facebook MPP.

Isu yuran sentiasa menjadi isu yang kritikal di saat mahasiswa terpaksa berhadapan dengan peperiksaan akhir semester. Pihak Jabatan Bendahari sehingga kini belum membentangkan sistem yang kondusif dan proakif dalam menyelesaikan masalah ini walaupun sudah bertahun-tahun mengulangi perkara yang sama.

USIMKini