Friday, September 28, 2012

MPP: Kabinet bakal dibentuk, majlis watikah 8 Oktober

28 Sept, Nilai - 3 hari selepas proses pilihan raya kampus berlangsung, barisan baharu ahli Majlis Perwakilan Pelajar USIM dikhabarkan sedang membincangkan bentuk kabinet mereka sebelum dibentangkan di hadapan pimpinan tertinggi Universiti.

Usimkini difahamkan, ahli-ahli MPP yang telah menang dalam PRK lalu telah mula bermesyuarat bagi menyusun kabinet, termasuk exco dan portfolio yang akan diputuskan dalam masa terdekat.

Saudara Razif Fuad ketika dihubungi oleh krew Usimkini memaklumkan, antara perancangan setakat ini yang akan dijalankan oleh barisan kepimpinan MPP yang baharu adalah bengkel penyelarasan VMO dan perancangan strategik MPP.

"Kami perlu siapkan barisan kabinet sebelum majlis perlantikan watikah MPP yang dijadualkan pada 8 Oktober depan.

InshaAllah, dalam masa terdekat, kami akan war-warkan kepada warga USIM, terutamanya siswa-siswi," ujarnya ringkas.

Barisan MPP baharu juga dikhabarkan sudah mula melakukan beberapa siri pertemuan tidak rasmi antara Jabatan dan Bahagian tertentu di kampus, antaranya Bahagian Keselamatan USIM bagi mengajukan aduan dan perbincangan mengenai isu keselamatan pelajar luar kampus.

Beberapa isu yang melibatkan Bahagian Akademik dan Jabatan Bendahari juga akan diambil tindakan yang sama, dan dirancang dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, seluruh kelab dan persatuan pelajar termasuk JAKSA kolej kediaman yang telah dibubarkan sebelum ini, akan mengadakan AGM masing-masing dan dijangka akan mengadakan perlantikan baru untuk jawatankuasa mereka.

 Usimkini mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh warga kampus terutama mahasiswa-mahasiswi yang telah dan bakal dilantik sebagai ahli jawatankuasa bagi semua kelab dan persatuan pelajar di USIM - Usimkini

Tuesday, September 25, 2012

Keputusan PRK : Razif Fuad menang undi tertinggi

Nilai, 25 Sept - Debaran menantikan keputusan penuh pilihan raya kampus USIM akhirnya berakhir apabila calon umum dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) menang undian tertinggi bagi kerusi umum.

Razif mengatasi 10 calon umum yang lain dengan mendapat undian sebanyak 6214 undi.

Beliau disusuli oleh calon umum dari Fakulti Sains dan Teknologi, Nadrahtul Huda Misral yang beroleh 6019 undi. Calon-calon lain iaitu Nazmin Yusoff (FST) sebanyak 5748 undi; Adam Fariz dari FKP sebanyak 5672 undi; Mohd Shukri dari FEM sebanyak 5360 undi; Suhaimi dari FPBU - 4869 undi; Sawari dari FPQS sebanyak 4725 undi dan Safwan Hamdy dari FST sebanyak 4294 undi.

Manakala bagi 4 kawasan fakulti yang melibatkan pertandingan tiga penjuru, turut menyaksikan persaingan yang sengit dan sihat antara calon-calon yang bertanding.

Bagi perebutan dua kerusi FST, calon Nur Wajihah Atiqullah dan Mohd Azizi Alias dipilih sebagai pemenang dengan masing-masing mendapat 889 undi dan 730 undi, mengatasi calon seorang lagi, Syed Hafizin Jamil yang beroleh 489 undi.

Pertandingan di FPBU pula menyebelahi calon Fatimah Az-zahra' (495) dan Nur Afiah Abdul Shukor (426 undi), mengatasi calon Husnirulhuda yang mendapat 231 undi.

Bagi kerusi FKP, calon Mohd Ali Omar (827 undi) dan Nur Syuhadah Sudiro (764) dipilih untuk mewakili MPP FKP, mengatasi calon ketiga, Rafiq Akhmal yang beroleh 388 undi.

Kerusi FSU tidak kurang sengitnya apabila pengundi memilih Mohd Zuhdi dan Mohd Syakir yang masing-masing beroleh 785 undi dan 795 undi, menewaskan calon tahun 3, Rashid yang mendapat 460 undi.

Keputusan penuh ini melengkapkan calon-calon yang akan mengisi kabinet kepimpinan MPP 2012 yang baharu setelah hampir setengah tahun kosong tanpa pemilihan pimpinan yang terbaru.

Keputusan diumumkan oleh TNC HEPA, Prof. Dato' Dr. Mohamed Asin Dollah yang mewakili Naib Canselor yang mempunyai urusan luar.

Tahun ini menyaksikan sebanyak 6533 pemilih atau 85.16% di kalangan pelajar Sarjana Muda, Sarjana dan PhD keluar mengundi. Manakala 1138 tidak hadir untuk mengundi.

Fakulti Pergigian mencatatkan keputusan keluar mengundi 100% dengan seramai 134 pelajar turun menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

Dalam ucapan aluan beliau, Dato' Asin mengucapkan syukur dan tahniah kepada semua pelajar dan Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan kerana proses pilihan raya kampus pada tahun ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dan mengekalkan rekod proses pemilihan MPP yang aman.

Usimkini mengucapkan tahniah kepada semua calon yang bertanding, tidak kira yang menang atau kalah, atas kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan dalam mendukung semangat kepimpinan mahasiswa di kampus. -Usimkini

Lintas Langsung Pemilihan MPP USIM

25 Sept, Nilai - Proses pilihan raya kampus bermula hari ini. Sebanyak 8 pusat pengundian dibuka seawal jam 9.00 pagi mengikut 8 fakulti di kampus Nilai dan Pandan. Dijangkakan seramai 7176 orang pelajar termasuk pelajar Sarjana dan PhD akan turun mengundi bagi Pemilihan MPP 2012.



4.29 petang - Peratusan keluar mengundi meningkat kepada 83%. Pihak fakulti dilihat bekerjasam memastikan semua pelajar turun mengundi.

4.00 petang - FEM mencatat peratusan keluar mengundi terendah setakat ini. Manakala Fakulti Pergigian yang hanya mempunyai seramai 134 orang pengundi mencatat 100% turun mengundi.

Setakat ini, 5805 pengundi atau 74.70% pelajar telah turun mengundi. Jentera HEP dikatakan sedang giat mengerahkan pelajar untuk membuang undi yang hanya berbaki 1 jam sahaja lagi.


2.18 petang - Di pusat mengundi FST, tidak kelihatan pelajar yang turun mengundi waktu ini berikutan kelas yang agak padat.

1.29 petang - FKP mengalami kesesakkan lalu lintas yang teruk dari semua arah. Ramai pelajar yang mengadu barangkali kaunter mengundi yang dibuka terlalu sedikit hingga menyebabkan proses pemilihan tidak berjalan lancar.
 
1.15 petang - Di kawasan tempat mengundi di FPQS dan FPBU pelajar masih beratur panjang. Pelajar ramai yang khuatir tidak dapat turun mengundi berikutan kelas di sebelah petang 

12.50 tgh hari - Peratusan keseluruhan yang turun mengundi setakat ini adalah sebanyak 44.47%. Peratusan mengikut fakulti : FPBU - 47.79%, FPQS - 44.27%, FPSK - 75.85%, Fpg - 52.24%, FSU - 43.32%, FEM - 36.50%, FKP - 37.29%, FST - 50.38%.

12.20 tgh hari - Suasana di beberapa pusat pengundian semakin meriah dengan pengundi yang berpusu-pusu hadir. Beberapa calon umum dilihat berlegar-legar di fakulti lain sambil beramah mesra dengan siswa/i.
Setakat ini, 37% pelajar sudah keluar mengundi.

11.31 pagi - Peratusan keluar mengundi semakin meningkat kepada 26%. Pelajar di tahun satu dan dua pengajian dilihat paling ramai keluar mengundi awal, sejak dibuka pusat pengundian pagi tadi.

11.10 pagi - Menjelang tengah hari, pelajar kian ramai beratur di pusat pengundian. Terdapat komen daripada pelajar yang selesai mengundi memaklumkan, sistem eUndi kadang kala mengalami masalah kerana terpaksa 'restart' sistem tersebut apabila alat pengimbas tidak dapat mengesa kad matrik pelajar.

10.50 pagi - Peratus terkini keseluruhan pelajar turun mengundi adalah sebanyak 21.87 %

10.35 pagi - Pelajar sudah mula beratur panjang untuk melakukan proses pemilihan. Kelihatan juga calon berlehar-legar di kawasan mengundi. Setakat ini tiada apa-apa kekecohan dilaporkan. Proses pemilihan berlangsung dengan aman.

10.28 pagiPeratus terkini pelajar USIM turun mengundi. FPBU - 16.44%, FPQS - 11.32%, FPSK - 21.88%, FPg - 38.81%, FSU - 15.10%, FEM - 13.31 %, FKP - 10.43%, FST - 17.43%

9.45 pagi - Tempat pengundian mula sibuk. Pegawai jawatankuasa dan pengawal keselamatan mengawal selia keadaan. Jentera pelajar juga kelihatan turut membantu.

Setakat ini FSU dan FST antara yang paling ramai turun mengundi  dengan masing-masing 130 dan 120 orang

9.10 pagi - Kawasan di Pusat pengundian masih lengang kerana baru dibuka. Kebanyakkan pelajar masih berada dalam kelas dan kuliah.

8.35 pagi - Pusat-pusat pengundian mula dibuka di kawasan fakulti-fakulti. Beberapa Pegawai Pusat Teknologi Maklumat (PTM) menyelenggara tempat pengundian sebelum dibuka untuk pengundian jam 9 pagi. Beberapa pengawal keselamatan turut berada di pusat pengundian untuk memantau keadaan.

Monday, September 24, 2012

Poster kempen calon PRK disabotaj

24 Sept, Nilai - Fasa kempen bagi pilihan raya kampus untuk Pemilihan MPP 2012 dicemari dengan insiden yang kurang demokratik apabila sebahagian pasukan penyokong bagi calon yang bertanding mendakwa, poster-poster yang digantung telah dibuang oleh pihak tertentu awal pagi semalam.

Menurut Basri, wakil penyokong bagi calon umum no.2, Razif Fuad, kebanyakan poster yang digantung malam semalam di kawasan tumpuan utama seperti PKP dan foyer fakulti-fakulti telah diturunkan oleh pihak tertentu.

"Kami hanya menyedari poster tersebut tiada bila hadir ke kampus pagi tadi. Semua tiada. Hanya saki-baki poster yang berada di sudut terpencil masih ada," ujarnya kepada wakil Usimkini tengah hari tadi.

Difahamkan, beberapa kumpulan penyokong calon kerusi umum dan fakulti mengambil peluang untuk menggantungkan poster mereka sendiri di kawasan sekitar kampus dan kolej kediaman setelah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pemilihan.

Walau bagaimanapun, insiden menurunkan poster secara mengejut ini cukup dikesali mereka sebaik sahaja menyedari semua poster hilang.

Seorang pencadang bagi calon, Hafizullah memberitahu dalam temubual ringkas, bahawa tindakan pihak terbabit yang seolah-olah mensabotaj calon adalah satu tindakan yang menafikan hak calon yang bertanding.

"Dalam peraturan kempen tidak menjadi satu kesalahan untuk mana-mana calon dan penyokongnya menggantung poster di tempat-tempat yang dibenarkan, setelah poster dan risalah mereka itu mendapat kebenaran dan pengesahan pegawai Jawatankuasa Pemilihan.

Ini bukan menuduh sesiapa, tetapi jika ianya bertujuan untuk menafikan hak kempen calon, maka ia seolah-olah membuktikan demokrasi kampus dalam pemilihan MPP masih lagi retorik dan hanya untuk mempermainkan pelajar semata-mata," katanya.

Beliau turut menegaskan, poster kempen akan terus dinaikkan selagi mana tidak berlanggaran dengan peraturan pilihan raya kampus.

Krew Usimkini cuba mendapatkan respon lanjut daripada beberapa calon yang bertanding dalam hal ini, namun semua menyerahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan untuk memberi respon lanjut.

Seorang penyokong dari calon fakulti FSU kemudiannya mengirimkan mesej berikut kepada Usimkini, yang menurutnya, diperoleh daripada Pegawai Jawatankuasa Pemilihan yang juga pegawai HEP, Encik Nasrul Hakim.

"Tiada sebarang penjelasan terhadap dakwaan tersebut kerana tiada arahan sebegitu (untuk menurunkan poster calon) dikeluarkan daripada Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, atau Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP 2012.

Sekiranya wujud keterangan tentang pelakunya, sila kemukakan secara bertulis untuk tindakan lanjut Bahagian Undang-undang. Terima kasih."

Wakil jentera HEP setakat dimaklumkan, masih belum memberi apa-apa respon dalam hal ini. Tiada bantahan bertulis dikemukakan dan tiada sebarang lanjut dibuat oleh pihak yang berkaitan.

Kempen poster daripada calon sendiri sama ada secara bercetak mahupun elektronik antara peraturan pilihan raya kampus yang dibenarkan dengan syarat mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan.

Sehingga jam 8.00 malam tadi, suasana kampus masih dalam keadaan aman dengan perang poster kelihatan semakin meriah apabila beberapa calon pilihan di kerusi umum terutamanya, tampil dengan poster-poster yang menarik perhatian para pelajar. -Usimkini

Sunday, September 23, 2012

Ramai pelajar buntu tentang Sistem e-Undi

Nilai, 23 Sept - Tidak kurang 36 jam sahaja lagi pilihan raya kampus USIM akan diadakan, kebanyakan pelajar didapati masih buntu tentang proses pengundian menggunakan sistem e-Undi.

Tinjauan krew Usimkini ke Kolej Kediaman 1 bagi mendapatkan respon daripada pelajar di tahun satu pengajian dimaklumkan, kebanyakan pelajar baru tidak memahami cara pengundian yang sebenar.

"Berkenaan sistem berkomputer itu kami tahu, tapi bagaimana cara undi dan apakah prosedurnya, kami pun tak dimaklumkan," menurut Hafiz Haikal, penghuni KK1.

Jika sebelum ini, Pusat Teknologi Maklumat USIM akan membuat 'roadshow' setiap kali menjelang pilihan raya kampus, namun kali ini hari simulasi e-Undi tidak diadakan. Dibimbangi akan menjadi suatu kesulitan bagi petugas jawatankuasa pemilihan untuk menerangkan satu persatu prosedur yang sebenar.

Bekas Naib Yang Dipertua 2 MPP sesi lepas, Maisarah Rafie memberi respon berikut berhubung isu ini.

"Tahun Satu dan Tahun Dua dikenal pasti sebagai kelompok siswa-siswi yang belum ada pengalaman mengundi. Sudah pasti ia menjadi kerisauan kerana dalam hasrat HEP untuk memastikan semua turun mengundi, tetapi akan berlaku sebaliknya.

Mereka yang turun mungkin tersilap cara dan boleh mengakibatkan undi rosak. Harap ada panduan yang jelas diberikan sebelum hari pengundian," ujarnya dalam satu respon ringkas di laman sosial Facebook.

Sehingga kini, notis yang dikeluarkan berkaitan pengundian adalah notis semakan daftar pemilih pada 13 September lalu.

Dalam perkembangan lain, petugas-petugas PTM dikatakan sedang sibuk memastikan penyenggaraan sistem e-Undi berkeadaan baik dan tiada sebarang gangguan sewaktu hari kejadian. (Gambar: kredit kepada En. Suffian, Pusat Teknologi Maklumat)
(gambar)

Antara persiapan yang dimaklumkan telah dilakukan adalah kemaskini daftar pemilih dan kerja-kerja teknikal, termasuk pengendalian server yang rapi.

Pusat-pusat pengundian akan dijalankan di setiap kawasan fakulti masing-masing.

Sistem e-Undi meskipun tiada sebarang masalah yang berlaku pada PRK sebelum ini, menjadi sedikit isu terutama berkaitan masalah teknikal yang boleh berlaku dan penyimpanan data undi yang didakwa boleh sahaja dimanipulasi.

Walau bagaimanapun, USIM difahamkan sangat menitikberatkan pengurusan sistem yang teliti dan sentiasa berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Usimkini mengingatkan agar semua pelajar bersedia dengan kad matrik yang berfungsi baik bagi memastikan proses pembuangan undi pada 25 September ini berjalan lancar. -Usimkini

Saturday, September 22, 2012

Kampus suram, calon fokus kempen di FB

22 Sept, Nilai - Meskipun tempoh berkempen sudah bermula, namun masih belum ada sebarang poster dan kain rentang yang dinaikkan di kawasan sekitar kampus dan fakulti.

Tinjauan krew Usimkini mendapati, tempat-tempat tumpuan utama seperti PKP, foyer-foyer fakulti dan tempat menunggu bas masih belum kelihatan sebarang poster kempen calon-calon yang bertanding.

Berbanding tahun-tahun sebelumnya, poster dan sepanduk akan dinaikkan sebaik sahaja selesai sesi pengenalan calon dan semua jentera pelajar dikerah untuk menggantung bahan-bahan kempen di segenap kampus.

Suasana suram ini menimbulkan tanda tanya di kalangan pelajar, terutama mengenai tenaga kerja jentera HEP yang seolah-olah tidak berperanan dengan baik dalam menjayakan pilihan raya kampus kali ini.

Malahan, jentera pelajar HEP juga seakan-akan kurang menonjol pada malam sesi pengenalan calon kerana tiada sebarang pakaian rasmi atau tag nama yang dipakai bagi menzahirkan kumpulan pelajar yang membantu HEP mengurus selia PRK kali ini.

Dalam masa yang sama, kebanyakan calon lebih cenderung memilih untuk memulakan perang poster di laman sosial Facebook dan blog, seawal pagi semalam.

Rata-rata calon yang ditinjau Usimkini di laman Facebook mendapati setiap calon dan penyokong sudah membuat persiapan awal untuk memulakan kempen di media. 

Terdapat pelbagai poster dengan reka bentuk yang menarik dipamerkan bertujuan untuk membentangkan misi kepimpinan dan manifesto masing-masing, dengan gaya yang tersendiri. Malah, ada calon yang menampilkan tema poster kempen ala Presiden Barrack Obama.

Usimkini dimaklumkan, Jawatankuasa Pemilihan MPP telah membenarkan calon-calon yang membuat permohonan untuk menampal dan mempamerkan poster daripada mereka sendiri setelah mendapat kelulusan semalam. -Usimkini

PROMO: Program Mega i-CEPS kembali lagi


Konvensyen Keusahawanan Islam (iceps) merupakan program tahunan yang wajib dianjurkan oleh mahasiswa-mahasiswi tahun akhir Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM).

Konvensyen ini merupakan projek mega pelajar tahun akhir FEM dalam menguji keupayaan mereka menguruskan majlis yang besar seperti ini yang melibatkan pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan dan swasta, ahli korporat dan sebagainya.

Elemen utama yang diterapkan di dalam konvensyen ini adalah elemen keusahawanan yang merupakan elemen terpenting bagi seseorang yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Dalam konteks yang lebih moden dan terkini, elemen keusahawanan merupakan suatu aset penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Objektif utama penganjuran Konvensyen Keusahawanan Islam kali ke 8 (ICEPS8) 2012 adalah untuk memberikan pengetahuan serta pemahaman yang jelas kepada peserta berkaitan keusahawanan dan konsep perlaksanaannya.

Di samping itu, ia menyediakan ruang dan peluang kepada para peserta bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang keusahawanan agar ia mampu untuk dijadikan sebagai medium untuk membangunkan umat Islam di negara ini.

Ia juga turut menggalakkan peserta khususnya mahasiswa/i melibatkan diri secara aktif dalam program keusahawanan demi meningkatkan ekonomi negara sekaligus membuka ruang baru membina jaringan perniagaan. Program ini memberi peluang kepada mahasiswa/i untuk melibatkan diri secara langsung dalam bidang keusahawanan.

Oleh yang demikian, melalui kesinambungan dari ICEPS yang lepas, Konvensyen Keusahawanan Islam Kali ke 8 (ICEPS8) 2012 akan diadakan pada 27 hingga 30 September 2012 bertempat di Perkarangan Fakulti Ekonomi dan Muamalat yang bertempat di kampus utama Nilai, bertemakan "Mahasiswa Pemangkin Keusahawanan Islam".Diharapkan ICEPS-8 2012 kali ini dapat menjadi satu landasan bagi mewujudkan serta melahirkan usahawanan yang berlandaskan syariah Islam di Malaysia khususnya dan di peringkat global amnya.

Antara program-program menarik sempena i-CEPS 8:


Kiriman oleh : Unit Promosi i-CEPS

30 calon pamer ucapan bertenaga, tempoh kempen bermula

22 Sept, Nilai - 30 orang calon yang bertanding dalam pilihan raya kampus (PRK) bagi Pemilihan MPP 2012 selesai membentangkan ucapan manifesto dalam majlis pengenalan calon, semalam.

Sesi tersebut yang menjadi pemula bagi fasa kempen calon-calon diadakan di ruang legar pejabat Kolej Kediaman 1 USIM dan dihadiri oleh tidak kurang 400 orang pelajar yang memenuhi ruang sehingga melimpah ke luar dewan makan.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir termasuk Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Muhammad Muda, serta kedua-dua Timbalan Naib Canselor HEPA dan akademik. Turut kelihatan, timbalan dekan dari beberapa fakulti. 

Sesi pengenalan calon yang bermula kira-kira jam 9.00 malam itu menampilkan semua calon yang bertanding kali ini bagi merebut kerusi dalam barisan kabinet MPP.


Setiap calon masing-masing diberi peluang selama 3 hingga 5 minit untuk menyampaikan ucapan manifesto dan memperkenalkan diri kepada semua hadirin. Kebanyakan calon memperjuangkan misi kepimpinan yang sama, seperti kebajikan mahasiswa, pembangunan ilmu dan memajukan hal ehwal akademik.

Sesi pengenalan tersebut yang dipengerusikan oleh Encik Safwan, pensyarah Bahasa Arab.

Sambutan pelajar yang hadir pada majlis tersebut sangat menggalakkan. Bunyi sorak dan tepukan diberikan ketika calon-calon pilihan mereka tampil memberikan ucapan bersemangat dan menarik minat mereka.

Antara calon-calon yang mencuri perhatian hadirin pada malam tadi adalah Mohamad Razif Fuad, calon umum dari FKP dan Nazmin Yusof dari FST yang juga bertanding kerusi umum.

Kebanyakan calon tampil menyampaikan ucapan yang bersifat umum dan tidak memberi sebarang jaminan. Sebaliknya, ucapan hampir semua calon lebih berkisar mengenai harapan dan kehendak mahasiswa.

Setakat ini, calon-calon dari 3 fakulti telah mengesahkan tempat dalam barisan kabinet MPP apabila menang tanpa bertanding, iaitu FEM, FPSK dan FPQS.

Manakala FST dan FSU diramal wujud persaingan sengit apabila melibatkan pertandingan 3 penjuru di fakulti masing-masing. Calon-calon dari kedua-kedua fakulti tersebut dikatakan mempunyai pengaruh yang kuat dan kredibiliti yang tersendiri.

Menurut seorang wakil jentera pelajar yang ditemui, proses pilihan raya kali ini masih lagi terkawal dan berjalan dalam keadaan baik. Walau bagaimanapun, beberapa langkah berjaga-jaga sudah mula diambil terutama ketika tempoh berkempen berlangsung, bagi mengelakkan sebarang kekecohan atau keadaan yang tidak diingini.

Dalam majlis pengenalan calon itu juga, kelihatan ramai pegawai keselamatan yang memantau keadaan di dalam dan luar kafeteria KK1.

Terdapat maklumat mengatakan, kehadiran wakil pihak berkuasa polis disedari ketika majlis berlangsung. Namun, krew Usimkini tidak dapat mengesahkan sumber maklumat tersebut.

Tempoh kempen yang bermula semalam sehingga Isnin ini dijangkakan akan berlangsung seperti biasa, memandangkan tiada sebarang perkumpulan pelajar dibenarkan untuk berkempen atau berarak melainkan dengan kelulusan Jawatankuasa Pemilihan. -Usimkini

Friday, September 21, 2012

PRK : Proses penamaan calon MPP berlangsung aman

21 Sept, Nilai - Proses penamaan calon berakhir kira-kira 3 petang tadi dengan satu lagi pertandingan bagi kerusi fakulti di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) bakal berlaku.

Menurut seorang jentera pelajar yang bertugas membantu pegawai Jawatankuasa Pemilihan, proses penamaan calon diteruskan dengan sesi bantahan dibuka selama setengah jam bermula 4 petang nanti.

Proses penamaan calon yang bermula lewat iaitu kira-kira 9.45 pagi tadi berlangsung dalam keadaan teratur dan lancar, tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Hampir kesemua calon yang bakal bertanding hadir bersama-sama pasukan penyokong dan pencadang masing-masing ke HEP pada sebelah pagi.

Setakat ini, empat fakulti disahkan akan berlaku pertandingan, masing-masing dengan persaingan 3 penjuru, iaitu Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) serta yang terkini, iaitu FKP.

Bagi calon-calon fakulti di FEM, FPQS, FPg dan FPSK, semua calon telah menang tanpa bertanding.

Manakala bagi kerusi umum menyaksikan 10 orang calon bakal merebut tempat dalam kabinet MPP akan datang. Seorang calon umum dari FSU dilaporkan menarik diri di saat akhir tanpa memaklumkan sebab penarikan diri kepada Jawatankuasa Pemilihan.

Seorang calon dari kampus Pandan juga dikatakan akan bertanding bagi kerusi umum.

Sumber Usimkini memberitahu, proses penamaan bagi calon-calon fakulti dari FKP pada sebelah pagi tadi tergendala seketika apabila dekan tidak meluluskan borang pencalonan mereka. Salah faham maklumat antara pengurusan fakulti dan Jawatankuasa Pemilihan MPP dikatakan menjadi punca masalah tersebut.

Walau bagaimanapun, isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik dan calon-calon tersebut dibenarkan untuk menghantar borang sebelum berakhir tempoh penamaan sebentar tadi. 

Semua calon dijangka akan hadir bersama pencadang dan penyokong pada pukul 4.30 petang ini untuk sesi taklimat dan cabutan undi bagi giliran untuk sesi pengenalan calon malam ini.

Dengan berakhirnya proses penamaan calon, tempoh berkempen akan bermula selama 4 hari bermula petang ini. -Usimkini

[KEMASKINI LANJUT AKAN MENYUSUL]

Thursday, September 20, 2012

PRK: Proses pendaftaran ditutup, 30 calon diramal bertanding

Nilai, 20 Sept - Proses pendaftaran calon bagi Pemilihan MPP 2012 ditutup tepat jam 4.00 petang tadi yang menyaksikan 30 orang pelajar telah mengesahkan pendaftaran dalam sistem e-Undi sebagai calon bagi pilihan raya kampus Usim kali ini.

Krew Usimkini dimaklumkan, proses pendaftaran berjalan dalam keadaan baik dan lancar tanpa sebarang kekalutan dialami pegawai dan ahli jawatankuasa pemilihan yang mengendalikan proses tersebut.

Maklumat daripada jentera pelajar HEP memberitahu, seramai 30 orang bakal calon telah selamat mendaftarkan diri masing-masing sebelum mengesahkan untuk layak bertanding pada hari penamaan keesokan hari.

"Semua borang pencalonan yang telah disahkan oleh dekan fakulti perlu diserahkan pada hari penamaan calon esok sebelum 3.00 petang.

Manakala masa bantahan adalah bermula pukul 4.00 petang," kata seorang ahli jentera pemilihan kepada krew Usimkini.

Setakat ini, hanya 3 fakulti yang mempunyai pencalonan yang diramal melibatkan pertandingan, iaitu Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) dan Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU).

Manakala calon-calon yang mendaftar dari fakulti-fakulti lain diramalkan akan menang tanpa bertanding, sekiranya tiada bantahan atau penarikan diri ketika proses penamaan calon.

Manakala bagi kerusi umum, dijangkakan seramai 11 orang akan merebut 8 kerusi umum yang dipertandingkan.

Beberapa nama pelajar yang menjadi pilihan kali ini telah mula disebut-sebut, antaranya dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dan Fakulti Sains dan Teknologi (FST). Walau bagaimanapun, tiada sebarang kempen masih belum dibenarkan buat masa sekarang sehingga selesai proses penamaan calon.

Proses penamaan calon akan bermula jam 9.00 pagi esok, bertempat di Bangunan Hal Ehwal Pelajar (HEP). - Usimkini

Wednesday, September 19, 2012

PRK: Pendaftaran calon bermula hari ini

19 Sept, Nilai - Proses awal pilihan raya kampus bagi Pemilihan MPP USIM sesi 2012 bermula hari ini apabila sesi pendaftaran calon dibuka seawal jam 9.00 pagi tadi.

Tinjauan wakil Usimkini ke Bangunan Hal Ehwal Pelajar (HEP) tengah hari tadi mendapati suasana di ruang legar tingkat bawah dipenuhi dengan pelajar yang hadir untuk menguruskan proses pendaftaran calon yang dijalankan di Bilik Mesyuarat Persatuan.

Menurut seorang wakil petugas pelajar Jawatankuasa Pemilihan, setakat ini seramai 12 orang telah selamat mendaftarkan nama mereka sebagai calon yang akan bertanding.

Sesi pendaftaran melibatkan bayaran proses sebanyak RM20 sebagai wang cagaran Borang Penamaan Calon. Pelajar-pelajar yang mendaftar diminta untuk memasukkan butiran peribadi mereka ke dalam sistem e-Undi dan mengambil gambar sebagai rekod.

Kebanyakan pelajar yang ingin bertanding hadir bersama-sama dengan pencadang dan penyokong masing-masing. Menurut peraturan terbaru, setiap pencalonan perlu disokong oleh dua orang penyokong dan seorang pencadang. Ia berbeza berbanding sesi lepas yang mensyaratkan 5 orang sebagai penyokong untuk setiap calon.

Hasil pemerhatian dan tinjauan rambang krew Usimkini mendapati, proses pendaftaran calon pada hari ini turut dihadiri oleh mantan pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar, termasuk bekas Yang Dipertua sesi lepas saudara Ibrahim Hussin.

Usimkini dimaklumkan, beberapa calon dilihat hadir mendaftar dengan ditemani oleh bekas MPP terdahulu yang menjadi pencadang mereka. Beberapa bekas pimpinan JAKSA dan sekretariat fakulti juga hadir untuk mendaftarkan diri sebagai calon.

Proses pendaftaran akan diteruskan sehingga petang ini dan akan berakhir petang esok. Manakala proses penamaan calon akan diadakan pada hari Jumaat ini, disusuli dengan pembentangan manifesto dalam sesi pengenalan calon pada sebelah malam hari yang sama. -Usimkini

Isu MUET: NC umum pelajar MUET Tahap 2 layak bergraduasi

[KEMASKINI] 18 Sept, Nilai - Berita baik akhirnya diterima oleh kumpulan pelajar yang telah selesai pengajian sesi lepas apabila Naib Canselor USIM, Prof. Dato' Dr. Muhammad Muda memaklumkan semua pelajar yang mendapat MUET Tahap 2 layak untuk bergraduasi dan diberi peluang untuk menyertai majlis konvokesyen akan datang.

Pengumuman itu dibuat ketika Majlis Naib Canselor Bertemu Mahasiswa di Dewan Kuliah Pusat 3, malam tadi.

Makluman tersebut memberi kelegaan kepada ramai pelajar, terutamanya yang masih tidak melepasi MUET Tahap 3 yang sebelum ini menjadi syarat utama untuk bergraduasi, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat Senat yang terbaru.

Majlis konvokesyen USIM dijangkakan akan diadakan pada hujung bulan November depan. Isu syarat MUET untuk bergraduasi sebelum ini cukup hangat diperkatakan di kalangan pelajar senior yang tersekat untuk meneruskan proses graduasi dan mendapatkan transkrip akademik mereka.

Walau bagaimanapun, Dato' NC mengingatkan bahawa pihak pengurusan Universiti sentiasa mengharapkan agar pelajar terus berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk melepasi syarat tersebut kerana kelonggaran kali ini berkemungkinan hanya untuk pelajar senior sebelum ini sahaja dan yang terakhir akan diberikan.

Dalam penerangan lanjut NC, beliau bersama-sama Timbalan Naib Canselor (Akademik) akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat dengan pelajar tahun 4 sesi akademik kali ini bagi membincangkan rangka prospek dan kerjaya masa hadapan pelajar.

Hal ini termasuk membincangkan hasil usaha pelajar dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) yang banyak menghasilkan projek dan produk bermutu tetapi tidak dikomersialkan dengan baik.

Dalam majlis itu juga, beberapa pengumuman dan sesi penerangan beberapa isu juga dibentangkan oleh Naib Canselor. Antaranya, isu pembangunan kampus seperti pembinaan kolej kediaman di dalam kampus yang kedua dan pembangunan prasarana fakulti-fakulti.

Tinjauan krew Usimkini yang mengikuti sesi majlis tersebut mendapati, kebanyakan soalan yang diutarakan oleh pelajar ketika sesi dialog berkisar mengenai isu-isu kebajikan dan kewangan seperti bayaran yuran antarabangsa, pengurusan Usim Tijarah dan hal ehwal kolej kediaman. 

Meskipun kehadiran pelajar sedikit mengecewakan dan banyak kerusi kosong dengan anggaran kira-kira 180 orang sahaja yang hadir, namun majlis tetap diteruskan dengan lancar. - Usimkini

Monday, September 17, 2012

Program Hari NC Bertemu Mahasiswa dianjur kembali

17 Sept, Nilai - Hari Naib Canselor USIM bertemu Mahasiswa/i kini diadakan semula selepas lebih setahun tidak diadakan.

Program yang dianjurkan oleh Pejabat Canselori dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) itu dijadualkan pada 18 September, hari Selasa jam 8.30 malam bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3 (DKP3).

Sebelum ini, majlis rasmi Prof. Dato' Dr. Muhammad Muda bersama para pelajar itu merupakan program bulanan yang diadakan bertujuan merapatkan hubungan antara pengurusan Universiti dengan pelajar serta sebagai sesi penerangan rasmi mengenai isu-isu semasa kampus.

Kali terakhir program ini diadakan pada Mac tahun lalu yang diadakan di ruang dewan makan Kolej Kediaman Satu.

Desas-desus di kalangan pelajar mengatakan, program ramah mesra NC itu dianjurkan berikutan beberapa isu yang membabitkan hal ehwal kebajikan hangat ditimbulkan oleh pelajar kebelakangan ini.

Program ini juga dikhabarkan bertujuan sebagai sesi penerangan awal dan amanat rasmi oleh pihak tertinggi Universiti menjelang pilihan raya kampus yang akan berlangsung minggu hadapan.

Seluruh siswa-siswa dan warga USIM dijemput hadir ke majlis tersebut untuk mengambil peluang berdialong dan berkongsi pandangan bersama Dato' NC. - Usimkini

Sunday, September 16, 2012

300 siswa Pandan desak kekalkan dekan FPSK

16 Sept, Nilai - Kira-kira 300 pelajar di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Kampus Pandan hadir dalam satu pertemuan tergempar bersama Naib Canselor USIM, Prof. Dato' Dr. Muhammad Muda pada hari Khamis, 13 September yang lalu. 

Pertemuan tersebut diadakan atas kehendak NC sendiri berikutan satu memorandum yang diterima oleh beliau daripada wakil pelajar FPSK berhubung isu kontrak dekan fakulti tersebut yang ditamatkan dan tidak diteruskan lagi.

Menurut seorang siswa dari kampus Pandan yang enggan disebutkan nama, pertemuan pada malam Jumaat itu diadakan di Dewan Ibn Sina, FPSK.

"Kami dimaklumkan, Dato' (NC) nak jumpa semua pelajar yang turunkan tandatangan menyokong memorandum tersebut. Beliau kelihatan sangat kesal dengan kami walaupun apa yang kami buat adalah untuk kebaikan fakulti. Sekurang-kurangnya, dengarlah suara kami.

Yang pasti, ucapan Dato' pada malam itu sedikit mengejutkan kami," ujarnya melalui laman sosial Facebook.

Katanya, memorandum tersebut adalah pernyataan bertulis biasa daripada pimpinan pelajar di fakulti itu, bertujuan untuk mendapatkan penjelasan mengenai penamatan kontrak dekan, Prof. Dato' Dr. Nik Mohd Nasri Nik Ismail (gambar) yang dilihat dibuat secara 'tergesa-gesa'.

"Sekarang fakulti kami dalam tempoh bersiap sedia menghadapi kunjungan daripada MQA untuk meninjau program perubatan di sini. Isu ini sedikit merencatkan proses persiapan apabila dekan yang sudah lama bersama-sama kami tidak diteruskan khidmatnya walaupun rekod beliau sebelum ini cemerlang," tambah pelajar itu lagi.

Dalam pertemuan pada malam tersebut turut dihadiri oleh beberapa pegawai pentadbiran fakulti, beberapa wakil dekan fakulti lain dan pegawai kanan Canselori dan HEP.

Dato' NC dalam ucapan beliau mengatakan, keputusan tersebut telah diterima di peringkat pengurusan Universiti dan sudah ada pemangku dekan selepas Prof. Dato' Dr. Nik Mohd Nasri.

Tambah beliau lagi, pihak Universiti juga telah mengemukakan cadangan yang lebih baik dan tidak akan meminggirkan fakulti di Pandan Indah tersebut.

Walau bagaimanapun, rata-rata pelajar yang turun hadir ke pertemuan pada malam tersebut tidak berpuas hati kerana tiada sebarang penjelasan yang menyakinkan diberikan oleh Dato' NC, sebaliknya hanya penegasan beliau terhadap keputusan sedia ada akan dikekalkan.

Mereka dikatakan tetap dengan pendirian untuk mengekalkan dekan terdahulu bagi memenuhi keperluan persediaan fakulti dan kehendak pelajar untuk selesa serta yakin menghadapi kunjungan wakil MQA.

Pada 29 Ogos lalu, satu notis telah dikeluarkan mengenai makluman penamatan kontrak dekan FPSK yang mengejutkan semua warga fakulti tersebut. Prof. Dato' Dr. Nik Mohd Nasri merupakan dekan pertama FPSK sejak 8 tahun lalu. Beliau menerajui fakulti itu dengan cemerlang dan telah membawa pelbagai kemajuan dalam pentadbiran serta pengurusan fakulti.

Wakil Usimkini kini sedang cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada sumber terdekat atau terus daripada pimpinan Medical Student Club (MSC) yang membuat memorandum tersebut. - Usimkini

Saturday, September 15, 2012

15 pelajar sertai bengkel calon

14 sept, Nilai - Seramai 15 orang pelajar tajaan HEP dilaporkan menyertai bengkel bakal calon di Mersing, Johor. Bengkel yang bermula hari ini hingga Ahad tersebut dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri.

Menurut seorang peserta dari FST, bengkel bakal calon itu merupakan program wajib bagi semua pelajar yang telah dibawa menemui Menteri Besar baru-baru ini. 


"Kami diberitahu, ia wajib bagi mana-mana pelajar yang terima tawaran (daripada HEP)," ujarnya yang masih berkira-kira untuk bertanding dalam PRK akan datang.

Proses pilihan raya kampus akan dijalankan serentak di semua kampus seluruh negara  pada 25 September.

Dalam perkembangan lain, semua jentera HEP termasuk Jawatankuasa Pemilihan MPP USIM kini sedang sibuk melakukan persiapan untuk menghadapi proses PRK yang bermula Rabu depan.

Difahamkan, dalam pertemuan bersama bakal-bakal calon pada minggu lepas, Bahagian HEP kini sedang cuba mencukupkan bilangan 30 orang calon tajaan untuk persaingan dalam pemilihan MPP.

Kerahan di peringkat fakulti sedang diusahakan dengan menyaring pelajar-pelajar yang mempunyai rekod akademik cemerlang.

Pertandingan dalam pilihan raya kampus di USIM diadakan secara terbuka dan mana-mana pelajar yang sah berdaftar layak untuk mendaftar sebagai calon, termasuk pelajar antarabangsa. -Usimkini


Thursday, September 13, 2012

HEP keluar notis, proses PRK mula 19 Sept

13 Sept, Nilai - Bahang pilihan raya kampus (PRK) kian dirasai apabila Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah mula mengeluarkan dan menampal notis rasmi bagi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM.

Tinjauan terkini krew Usimkini di beberapa fakulti dan kolej kediaman utama, antaranya Kolej Kediaman 1, KKSI dan KKDJ mendapati Notis Pemilihan MPP bagi sesi 2012 mula ditampal di papan kenyataan utama kolej dan fakulti

Notis tersebut antara lain menyatakan, makluman proses pemilihan MPP adalah berdasarkan peruntukan dalam Peraturan 11, Peraturan Universiti Sains Islam Malaysia (Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar).

Bagi proses pendaftaran calon untuk kampus Nilai, proses tersebut akan dijalankan pada 19 dan 20 September 2012, seawal jam 8.00 pagi sehingga 4.00 petang bertempat di Bilik Mesyuarat Persatuan Pelajar, Bangunan HEP.

Manakala bagi penamaan calon, proses akan dilakukan pada hari Jumaat, 21 September 2012 dari jam 9.00 pagi sehingga jam 3.00 petang, di Bilik Mesyuarat Utama HEP.

Tempoh bantahan bagi mana-mana penamaan calon pula diberi selama 30 minit bermula jam 4.00 petang hari yang sama, dengan menggunakan sistem e-Voting.

Notis yang ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (HEPA) selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MPP itu juga memaklumkan tawaran kepada mana-mana pelajar yang berminat untuk bertanding agar mendapatkan Buku Peraturan Pemilihan MPP 2011 pada hari pendaftaran calon.

Setakat ini, tarikh rasmi bagi hari pengundian untuk Pemilihan MPP 2012 adalah 25 September, hari Selasa bermula 9.00 pagi hingga 5.00 petang. -Usimkini

Wednesday, September 12, 2012

Memo: Agihan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia



Perhatian kepada semua pelajar.

Dimaklumkan bahawa Majlis Simbolik Penyerahan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) akan diadakan pada 14 September 2012 (Jumaat) bertempat di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah bermula jam 11.00 pagi sehingga 1.00 tengah hari.

Majlis ini akan disempurnakan oleh Menteri Mentor USIM, Yang Berhormat Senator Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B).

KADS1M ini dikhususkan untuk pelajar sepenuh masa warganegara sahaja dan sah laku kad ini adalah sepanjang tempoh pengajian mereka. Butiran agihan KADS1M adalah seperti berikut:

Peringkat Pengajian : Tamhidi
Lokasi Agihan : Pejabat Pusat Tamhidi
Urusetia Agihan : Pentadbiran Pusat Tamhidi
Tempoh Agihan : Mulai 21 September 2012 (Jumaat), jam 2.30 petang

Peringkat Pengajian : Sarjana Muda
Lokasi Agihan : Pejabat Fakulti
Urusetia Agihan : Pentadbiran Fakulti
Tempoh Agihan : Mulai 14 September 2012 (Jumaat) jam 3.30 petang

Peringkat Pengajian : Siswazah
Lokasi Agihan : Pejabat Pusat Pengajian Siswazah
Urusetia Agihan : Pentadbiran Pusat Pengajian Siswazah
Tempoh Agihan :  Mulai 14 September 2012 (Jumaat), jam 3.30 petang

Agihan KADS1M untuk kumpulan pelajar Sarjana Muda dan Siswazah Semester Pertama (yang mula mendaftar pada September 2012) akan dibuat sebelum akhir tahun 2012.

Sebarang pertanyaan lanjut tentang KADS1M ini bolehlah diajukan kepada Pentadbiran Fakulti masing-masing atau Unit Penajaan, Kebajikan dan Tatatertib, Bahagian Hal Ehwal Pelajar.


Pilihanraya kampus USIM disahkan pada 25 Sept

12 Sept, Nilai - Tarikh terkini bagi proses pilihanraya kampus (PRK) bagi pemilihan barisan kabinet Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPTA/S disahkan pada 25 September 2012.

Sumber Bahagian Hal Ehwal Pelajar dari semua universiti awam tempatan mengesahkan tarikh pilihanraya yang akan diadakan serentak di seluruh kampus pada Selasa, 25 September depan.

Walau bagaimanapun, hanya empat kampus yang memilih untuk mengadakan PRK 5 hari lebih lebih awal, iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM).

Keempat-keempat IPT tersebut dijadual akan mengadakan PRK pada 20 September depan.

Berita terbaru ini sekaligus melenyapkan teka-teki tarikh PRK yang didakwa sebilangan pihak sebagai cubaan pihak tertinggi Kementerian Pengajian Tinggi untuk merahsiakan dahulu tarikh tersebut bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 terlebih dahulu.

Dalam masa kira-kira tiga minggu sahaja lagi, bahang PRK diramalkan akan mulai terasa di seluruh kampus, terutama di IPT-IPT sekitar lembah Klang yang akan menyaksikan kembali pertembungan dua kumpulan aktivis mahasiswa utama, iaitu Aspirasi Mahasiswa dan Pro-Mahasiswa.

Walau bagaiamanapun, rekod perjalanan PRK bagi kampus USIM sebelum ini berjalan dengan aman dan lancar tanpa sebarang pertandingan membabitkan kumpulan tertentu. - Usimkini

MB Negeri Sembilan dekati bakal calon PRK

12 Sept, Nilai - Pilihanraya kampus bagi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar MPP diramalkan semakin hampir berikutan satu pertemuan tertutup sekumpulan pelajar bersama Menteri Besar, YAB Dato' Seri Mohammad Hassan telah diadakan di Bangunan Canselori, petang semalam.


Sumber terdekat dari Jabatan Canselori memaklumkan, pertemuan tersebut dihadiri oleh 22 orang pelajar, dipercayai calon tajaan HEP dari beberapa fakulti. Majlis minum petang bersama MB itu dikhabarkan sekadar majlis ramah mesra beliau bersama barian calon kepimpinan pelajar USIM.

Kebanyakan bakal calon yang menghadiri majlis tersebut merupakan muka-muka baru yang terdiri daripada siswa-siswi semester empat dan enam.

Usimkini difahamkan, majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof. Dato' Dr. Mohamed Asin Dollah dan pegawai kanan HEP. Agenda kemudiannya diteruskan pada sebelah malam dengan sesi perbincangan bersama kepimpinan tertinggi HEP dengan semua bakal calon. 

Pertemuan tertutup yang diadakan itu menguatkan lagi ramalan bahawa PRK bagi peringkat USIM akan diadakan dalam masa terdekat.

Menurut seorang bekas ahli jentera HEP, pertemuan tertutup sebegitu merupakan rutin biasa yang dilakukan oleh pihak HEP di semua kampus bertujuan sebagai program penerangan tentang aspirasi kepimpinan pelajar dan dianggap proses 'saringan' awal untuk bakal-bakal calon.

"Tahun-tahun sebelumnya (juga) diadakan. Dulu di kedai-kedai makan luar kampus. Ia hanya program suai kenal dan ramah mesra biasa-biasa saja," katanya dalam satu perbualan bersama wakil krew Usimkini.

Tinjauan awal Usimkini pada dua hari pertama semester baharu sesi ini mendapati masih belum ada sebarang notis atau poster berkaitan pemilihan MPP di papan-papan kenyataan utama kampus. -Usimkini

[RALAT* Kemaskini pada laporan ini kerana terdapat kesilapan nama yang tidak disengajakan. Admin memohon maaf atas kesilapan terdahulu.]

Monday, September 10, 2012

Tarikh PRK USIM masih jadi teka-teki?

10 Sept, Nilai - Terus menjadi teka-teki. Mungkin itu ungkapan paling sesuai digambarkan mengenai tarikh pilihanraya kampus (PRK) bagi pemilihan MPP USIM yang masih belum diumumkan oleh pihak pengurusan Universiti sehingga sekarang.


Tarikh PRK dilihat sebagai sangat penting dan dengan kegiatan pelajar di kampus kerana semua kelab dan persatuan yang bernaung di Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) sudah dibubarkan dan perlu menunggu penubuhan kabinet MPP terlebih dahulu sebelum setiap persatuan mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing.

Menurut seorang bekas pimpinan MPP USIM yang enggan dinamakan, tarikh pilihanraya kampus tidak harus disembunyikan oleh HEP kerana ia mengganggu perancangan takwim aktiviti persatuan pelaja.

"Sudah ditangguh sejak Mac lalu. 6 bulan tanpa sebarang notis untuk pemilihan MPP adalah suatu yang membantutkan perancangan aktiviti mahasiswa," ujarnya yang bakal bergraduasi pada bulan November ini.

Penundaan tarikh pilihanraya kampus sebelum ini ekoran daripada arahan di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang ingin menjalankan pilihanraya kampus secara serentak di semua IPT seluruh negara. Walau bagaimanapun, tarikh sebenar PRK tidak dimaklumkan secara khusus.

Baru-baru ini, kenyataan daripada Datuk Maslan Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menguatkan lagi dakwaan bahawa PRK akan dijalankan dalam masa terdekat.

Ekoran daripada kenyataan tersebut, beberapa kampus dilaporkan telah mula membuat persiapan untuk pemilihan MPP walaupun notis rasmi daripada bahagian HEP dan KPT belum lagi dikeluarkan.

Usimkini telah menghubungi Encik Hazrul Fareeza Harun, Penolong Pendaftar Unit Pengurusan Fasiliti dan Perkhidmatan HEP (gambar) untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tarikh PRK.

"Saya memohon maaf kerana tiada hak untuk mengeluarkan apa-apa komen atau kenyataan berkenaan pemilihan MPP ini. Mohon rujuk segala notis yang akan atau dikeluarkan jika ada. Terima kasih," kata beliau ringkas melalui laman sosial Facebook.

Pilihanraya kampus merupakan penganjuran yang dinanti-nantikan oleh kebanyakan mahasiswa di seluruh kampus kerana ia bertujuan memilih kepimpinan tertinggi di peringkat mahasiswa dalam kabinet Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). - Usimkini

Perutusan YAB Perdana Menteri kepada Pelajar IPT


Perutusan YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kepada pelajar-pelajar IPT sempena pembukaan semester baharu sesi akademik 2012/2013.

Friday, September 07, 2012

"Graduasi hanya untuk MUET Band 3 "- NC

Nilai, 7 Sept - Keputusan Majlis Senat adalah kekal. Begitu antara penegasan yang dinyatakan oleh pimpinan pentadbiran Universiti diketuai oleh Prof. Dr. Muhammad Muda kepada sekumpulan pelajar yang mengadakan pertemuan dengan mereka, kelmarin.

Pertemuan tersebut dihadiri oleh sembilan orang pelajar dari beberapa fakulti yang menemui Naib Canselor dalam satu perbincangan tertutup.

Pertemuan itu juga dihadiri oleh Prof. Musa Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Pengantarabangsaan), beberapa orang dekan fakulti serta pegawai kanan daripada Unit Bahasa dan Bahagian Canselori. 

Menurut seorang wakil pelajar dari FEM, Nurul Mu'azzah Roalli, pertemuan tersebut bertujuan untuk membuat rayuan terhadap keputusan Senat yang hanya membenarkan pelajar yang melepasi MUET tahap 3 sahaja yang layak untuk bergraduasi.

Menurutnya, beberapa justifikasi telah dibawa kepada pihak pengurusan Universiti untuk dipertimbangkan. Dalam permohonan rayuan tersebut, tiga implikasi utama yang dihadapi pelajar yang tidak dibenarkan bergraduasi telah dikemukakan - kesukaran untuk memohon kerjaya tetap, isu pinjaman PTPTN yang perlu dijelaskan selepas enam bulan tamat pengajian dan membantutkan pelajar yang berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana.

"Isu utama adalah transkrip disekat daripada dikeluarkan kepada pelajar. Itu suatu yang menyulitkan, selepas  4 tahun pengajian tetapi tidak berpeluang untuk mendapatkan transkrip akademik yang penting bagi semua pelajar," ulasnya dalam suatu kenyataan di laman sosial Facebook.

Beliau turut memaklumkan beberapa respon daripada NC sebaik selesai mendengar permohonan rayuan mereka.

Antaranya, penegasan peraturan polisi bergraduasi dengan syarat Band 3 adalah kekal sepertimana diputuskan dalam mesyuarat Senat. Menurut beliau, sekiranya kelonggaran masih diberikan kali ini, ia akan memberi suatu keputusan yang tidak adil kepada pelajar yang telah melepasi syarat Band 3.

Tambahan lagi dalam kenyataan balas tersebut, sudah 9 kali kelonggaran diberikan dan ia adalah tempoh yang lama diberikan kepada pelajar untuk membantu bersama-sama pihak Universiti memartabatkan Bahasa Inggeris, dan menaikkan imej graduan Islam.

Pelbagai usaha juga telah diadakan untuk membantu pelajar dalam meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris seperti ELSP, BI 3 dan program pengantarabangsaan. 

Hasil pertemuan tersebut, beberapa alternatif telah diberikan oleh pihak pentadbiran Universiti bagi mencukupkan syarat bergraduasi. 

Pertama, pelajar boleh mengambil ujian alternatif kepada MUET, iaitu IELTS dan TOEFL kerana kekerapan ujian yang dijalankan.

Kedua, kelas intensif bahasa akan diadakan sekitar bulan November untuk membantu mana-mana pelajar yang ingin melepasi MUET band 3.

Ketiga, sekiranya dalam masa dua tahun pelajar masih belum juga melepasi MUET band 3, pelajar terbabit perlu hadir ke kelas bahasa inggeris dan terus memohon transkrip.

Keempat, bagi mana-mana pelajar yang telah melepasi syarat MUET walaupun setelah tamat upacara konvokesyen, pelajar terbabit boleh terus memaklumkan kepada Bahagian Akademik untuk mengeluarkan transkrip yang sah dan dibenarkan untuk bergraduasi pada majlis konvokesyen yang berikutnya.

Nurul Muazzah dalam kenyataan akhir beliau juga menyatakan harapan di peringkat wakil kumpulan pelajar terbabit yang mengharapkan perubahan keputusan mesyuarat Senat berhubung isu tersebut. Difahamkan, mesyuarat Senat yang seterusnya akan diadakan pada Oktober depan.

Isu MUET Band 3 sebagai syarat bergraduasi kembali hangat diperkatakan berikutan lebih 400 pelajar sesi akademik lepas tidak dibenarkan untuk bergraduasi pada upacara konvokesyen USIM yang dijadualkan pada akhir November depan. -Usimkini

Thursday, September 06, 2012

eStudent laman portal baru untuk pelajar

6 Sept, Nilai - Semua siswa USIM kini boleh mengakses laman portal yang baharu dibangunkan oleh pihak USIM untuk kemaskini maklumat peribadi pelajar. 

Laman eStudent, portal terbaru yang dibangunkan oleh Pusat Teknologi Maklumat USIM kini boleh diakses oleh pelajar prasiswazah bagi tujuan pendaftaran, cetakan jadual kuliah dan lain-lain fungsi seperti portal pelajar eWadi sebelum ini.

Tinjauan kasar krew Usimkini mendapati, ramai pelajar berpuas hati dengan prestasi mengakses eStudent yang dilihat lebih cepat, kemas dan teratur.

Kebanyakan pelajar prasiswazah sudah boleh mengakses portal tersebut melalui dua server yang disediakan. Bagi tujuan pendaftaran kursus dan mencetak jadual waktu kuliah untuk semester I, sesi akademik 2012/2013, pelajar boleh mengakses untuk tujuan tersebut bermula hari ini sehingga 10 September.

Sesi perkuliahan bagi akademik baharu akan bermula pada 10 September depan. -Usimkini


1,908 pelajar baharu Sarjana Muda mendaftar di USIM


[Sumber: Buletin Web USIM]


Nilai - Seramai 1,908 pelajar Ijazah Sarjana Muda mendaftar secara rasmi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada hari pendaftaran universiti pada 1 September, baru-baru ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 555 orang ialah pelajar lelaki manakala 1,353 orang lagi merupakan pelajar wanita yang mengikuti pengajian di lapan fakulti pengajian di USIM.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato' Dr. Muhamad Muda berkata, pendaftaran pada tahun ini universiti sekali lagi berjaya memperbaiki sistem pendaftaran universiti yang hanya mengambil masa selama 6 minit bagi seseorang pelajar.

"Saya juga mendapat maklumbalas yang sangat positif dari para ibu bapa yang mengatakan inilah yang seharusnya dilaksanakan oleh sebuah universiti, apatah lagi bagi sebuah universiti Islam yang mana kita seharusnya mementingkan kecekapan dan keberkesanan di dalam apa jua kerja yang kita laksanakan terutamanya di dalam sistem pentadbiran."

"Pada tahun ini juga USIM turut menerima bilangan pelajar teramai iaitu seramai 1,908 orang iaitu mencatat nisbah pendaftaran sebanyak 84.8% dan merupakan nisbah penerimaan yang paling tinggi sejak penubuhannya," beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan pada Majlis Bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti sempena Minggu Taaruf Pelajar Baharu Sarjana Muda Sesi Akademik 2012/2013 USIM di Stadium Tertutup Nilai, semalam.

Beliau turut menambah, pertambahan bilangan pelajar ini membuktikan kepercayaan ibu bapa dan juga para pelajar terhadap sistem pendidikan USIM.

Sejarah turut terukiir pada sesi pendaftaran kali ini apabila USIM menerima pelajar sulung seramai 28 orang bagi Program Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan kepujian.

Oleh: Khairul Azizi Elias, PRO USIM

Pilihanraya kampus berjalan serentak 25 Sept

Teka-teki tarikh pilihanraya kampus (PRK) yang hampir setengah tahun tertangguh akhirnya terjawab apabila Datuk Maslan Ahmad, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri memaklumkan bahawa PRK akan dijalankan serentak di semua kampus pada 25 September.

Walau bagaimanapun, makluman tersebut masih belum disahkan secara rasmi oleh mana-mana pihak berkenaan termasuk menteri di Kementerian Pengajian Tinggi.

Tarikh tersebut diumumkan oleh beliau dalam satu program di Universiti Putra Malaysia, baru-baru ini.

Usimkini difahamkan, cadangan tarikh tersebut kini menjadi tarikh tumpuan oleh semua Bahagian Hal Ehwal Kampus di semua IPTA. Beberapa jentera pilihanraya kampus di beberapa IPT tempatan yang utama juga sudah mula digerakkan semula setelah beberapa bulan dikhabarkan tidak digerakkan.

Pilihanraya kampus di kebanyakan IPT pada tahun ini diramal akan berlaku pertembungan sengit antara dua kumpulan gerakan mahasiswa tradisi, iaitu Pro-Mahasiswa dan Penggerak Mahasiswa atau lebih dikenali sebagai kumpulan Aspirasi.

Siswa persoal Datuk Maslan

Dalam perkembangan lain, seorang siswa dari Universiti Malaya mempersoalkan autoriti Datuk Maslan Ahmad yang mengumumkan tarikh pilihanraya kampus.

Mohd Taufik Abdul melalui twitternya mempertikaikan YB Datuk Ahmad Maslan sebagai tidak layak untuk mengumumkan tarikh PRK memandangkan kedudukan 

"Siapa YB Ahmad Maslan (untuk umumkan tarikh PRK)? Adakah dia Naib Canselor Universiti?" kata Mohd Taufiq yang juga merupakan Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional.

Siswa tersebut juga menegaskan berdasarkan ucapan Datuk Maslan itu, menguatkan lagi pendedahan terbaru oleh kumpulan Pro Mahasiswa sebelum ini yang mendakwa penangguhan PRK didalangi sendiri oleh Jabatan Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, belum ada respon lanjut daripada KPT bagi menjawab pelbagai spekulasi yang timbul susulan daripada pendedahan yang dinamakan sebagai OPS 2020 tersebut.

Terdapat beberapa kampus tempatan seperti UNIMAP dan USM dikatakan tidak akan mengadakan pilihanraya kampus dalam masa terdekat kerana bertembung dengan hari konvokesyen.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dijangka akan menerima tarikh 25 September sebagai tarikh pilihanraya kampus berdasarkan sumber terdekat Usimkini yang memaklumkan Bahagian HEP sudah mula melakukan persiapan jentera dan menyusun tarikh untuk tujuan berkenaan.

USIM antara kampus yang mengadakan pilihanraya kampus bagi pemilihan MPP secara aman tanpa sebarang pertembungan dua kumpulan Pro Mahasiswa dan Pro Aspirasi. - Usimkini